Talbiah ini bergema di seluruh pelosok Kota Suci Mekah ketika jutaan umat Islam berkumpul di Arafah untuk berwukuf sebelum bertolak bagi bermalam di Muzdalifah dan melontar di Mina.

Apabila sudah melaksanakan kesemua rukun dan wajib haji tersebut maka sempurnalah pengorbanan seorang hamba Allah yang dijemput menjadi tetamu-Nya bagi menunaikan ibadah haji.

Hari ini dianggap kemuncak pengorbanan seorang insan yang dijadikan Allah SWT daripada setitis air mani dan segumpal darah untuk bertakwa kepada Allah.

Ibadah haji melengkapkan Rukun Islam kelima dan merupakan rukun terakhir yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW sebelum baginda wafat.

Allah SWT berfirman dalam surah al-Maidah, ayat 3 bermaksud, “… Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, oleh sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Ku sempurnakan kepadamu nikmat-Ku dan Ku restui Islam itu menjadi agama bagimu.”

Pelaksanaan ibadah haji bukanlah dilakukan suka-suka atau hanya disebabkan ditaja oleh mana-mana pihak, sebaliknya menuntut pengorbanan yang cukup besar daripada hamba Allah.

Ini memandangkan selain pelaksanaan rukun dan wajib haji, umat Islam juga perlu berkorban bagi membolehkan menjejakkan kaki ke tanah suci sekali gus menjadi dhuyufurrahman (tetamu Allah).

Ibadah haji bukan berkaitan soal mengemaskan beg dan terus berangkat apabila menerima surat tawaran tetapi lebih daripada itu yang memerlukan pemahaman tinggi sebelum melaksanakannya.

Kita sering dipaparkan bagaimana ada dalam kalangan jemaah haji yang mengumpul wang berpuluh-puluh tahun dan menanti bertahun-tahun untuk menunaikan ibadah tersebut.

Semuanya itu adalah pengorbanan yang mereka lakukan bagi menyahut panggilan Allah SWT seperti firman-Nya dalam surah al-Hajj, ayat 27 bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia 
untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”

Pengorbanan mereka bukan berkisar soal wang sahaja, sebaliknya ibadah itu sendiri memerlukan pengorbanan.

Bayangkanlah jumlah umat Islam berkumpul bukanlah sedikit malah boleh mencecah sehingga 4 juta pada satu-satu masa. Sudah pastilah dalam keadaan ini kesabaran amat penting kerana kita bertemu dengan pelbagai jenis manusia.

Begitulah juga apabila berkumpul di Arafah, Muzdalifah dan Mina, semua memerlukan pengorbanan, namun harus dilakukan secara ikhlas dan kehadiran mereka menunaikan haji dengan harta yang halal.

Daripada Abu Hurairah r.a. Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang jemaah haji berangkat dengan harta haram dan menjejakkan kaki di kenderaannya kemudian dia membaca Labbaik allahumma labbaik, maka ada suara (jawapan) dari langit: “Tidak ada labbaik dan tidak ada sa’daik (kebahagiaan) bagimu kerana bekalmu haram, kenderaanmu haram, hajimu penuh dosa, tidak diterima (tertolak),” – Riwayat Thabrani.

Hari ini adalah kemuncak pengorbanan seorang hamba dalam usaha meningkatkan ketakwaan kepada-Nya. Semoga semua jemaah haji beroleh Haji Mabrur kerana tiada balasan lain untuk haji tersebut melainkan syurga.