Hari Raya Korban adalah hari perayaan yang membawa bersama mesej dan pengajaran penting yang berkait rapat dengan kesatuan umat. Walaupun umat Islam di seluruh dunia terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa, warna kulit, budaya dan negara, namun mereka ialah umat yang satu dan menyembah Tuhan yang satu yakni Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran, ayat 103 yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu berpegang teguh dengan tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai.”

Daripada ayat di atas, jelas kepada kita bahawa pengajaran yang dapat kita jadikan iktibar di sebalik Aidiladha adalah betapa pentingnya menjaga kesatuan dan perpaduan ummah dalam masyarakat, selain memahami bahawa manusia itu adalah sama di sisi Allah SWT dan yang membezakan mereka adalah sifat takwa yang dimilikinya. Justeru, bagi mencapai matlamat perpaduan ini, maka perlu ada pengorbanan yang sangat besar dan kerjasama yang berterusan daripada semua pihak.

Sambutan Aidiladha juga adalah hari bagi seluruh umat Islam mengagungkan asma Allah dengan bertakbir, bertahmid dan bertasbih serta menegakkan syiar Islam dengan melaksanakan ibadah korban bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Antara hikmah disyariatkan ibadah korban adalah bagi meneladani perjuangan, pengorbanan dan ketaatan Nabi Ibrahim AS serta keluarganya terhadap perintah Allah SWT. Kehadiran Aidiladha sentiasa mengingatkan kita tentang peristiwa Nabi Ibrahim yang diuji oleh Allah SWT dengan perintah menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail AS sebagaimana yang terakam dalam surah as-Saffat, ayat 102 yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”

Ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail dalam melaksanakan perintah Allah jelas menunjukkan betapa teguhnya keimanan mereka terhadap Allah. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail memberi makna yang amat besar kepada seluruh umat Islam dan ini memperlihatkan secara jelas sifat ketakwaan dan ketaatan seorang hamba Allah yang sanggup melakukan apa sahaja demi menegakkan syiar Islam.

Kesanggupan Nabi Ibrahim ‘menyembelih’ anak kesayangannya Nabi Ismail bukan semata-mata didorong oleh perasaan taat setia secara membuta tuli, sebaliknya didorong oleh keyakinan bahawa perintah Allah itu suatu yang harus dipatuhi dan dilaksanakan dengan penuh keikhlasan.

Penyembelihan binatang korban adalah ibadah sunat yang sangat dituntut di dalam Islam dan harus dilaksanakan oleh mereka yang mampu sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Kautsar, ayat 1-2 yang bermaksud: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Nabi Muhammad) nikmat yang banyak (antaranya sungai al-Kautsar di syurga), maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan sembelihlah binatang korban (kerana mensyukuri nikmat-nikmat-Nya).”

Pelaksanaan ibadah korban adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Selain itu, ibadah korban juga dapat melatih umat Islam agar dapat mengikis sifat tamak dan bakhil dalam mengeluarkan harta serta melahirkan sifat murah hati untuk membelanjakan harta ke jalan Allah SWT demi membela dan membantu golongan yang lebih memerlukan seperti golongan fakir dan miskin.

Semangat berkorban ini harus disuburkan dalam diri kita dan seluruh anggota masyarakat, yakni semangat untuk memberi dan bukan menerima yang seharusnya menjadi sebahagian daripada budaya hidup kita. Semangat tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah inilah yang sewajarnya diterapkan dan menjadi sifat utama orang yang bertakwa yang sentiasa berinfaq baik dalam keadaan lapang mahupun sempit.

Aidiladha masa yang tepat untuk kita mendalami makna di sebalik ibadah haji yang melambangkan kebersamaan dan kesatuan umat. Hikmah ibadah haji adalah cukup indah, yakni proses pentarbiahan kita tentang solidariti sosial, ukhuwah Islamiyah, perdamaian, kesucian, kebersihan, serta kepedulian terhadap umat Islam yang lain melalui pengagihan sembelihan korban.

Syariat berkorban menegaskan bahawa umat Islam memiliki empati dan simpati antara sesama insan, memperkukuh dan menguatkan hubungan dengan Allah serta mengeratkan hubungan sesama manusia yang secara jelas memperlihatkan penegasan bahawa kebersamaan adalah nilai keutuhan umat.

Oleh itu, ibadah korban adalah bentuk pengorbanan yang bertitik-tolak daripada kesedaran tentang nilai-nilai luhur terutamanya dalam hal-hal yang berkait rapat dengan perjuangan menghindari sifat ego dalam diri sendiri. Setiap daripada kita perlu menyedari bahawa semua umat Islam adalah bersaudara dan tunjang utamanya adalah ketakwaan kepada Allah. Justeru, hanya generasi yang bertakwa sahaja mampu memimpin umat untuk bersatu hati menjiwai semangat kesatuan. Firman Allah dalam surah al-Hujjurat, ayat 10 yang bermaksud:“Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, maka kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”