Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Mencari keseimbangan dunia, akhirat

Posted by epondok di September 7, 2016


Oleh Prof Dr Muhaya Mohamad

KITA selalu berhadapan masalah ketidakseimbangan dalam menangani kehidupan kita antara dunia dan akhirat. Biasanya, kita akan terkejar-kejar dan berusaha keras bagi menentukan semua urusan dunia dengan sesama manusia berjalan lancar seperti dirancang.

Ada kala semasa proses itu menyebabkan kita lalai perintah Allah SWT seperti firman-Nya yang bermaksud: “Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak pinak, pangkat dan pengaruh). Hingga kamu masuk kubur.” (Surah al-Takathur, 1-2 )

Hairannya, kita tidak berasa tertekan atau bersalah jika urusan dengan Allah SWT untuk kehidupan di akhirat tidak diurus secara baik dan berjalan lancar. Bahkan kita sering melambat-lambatkan melaksana perintah-Nya atau melakukan tidak sepenuh jiwa tetapi sambil lewa.

Ingatlah, jika asyik menjunjung dunia, kelak dunia itu yang akan menghempap kita. Banyak kejadian bencana seperti gempa bumi, letupan gunung berapi, banjir besar, tanah runtuh dan seumpamanya yang berlaku adalah sebab Allah SWT menunjukkan kemurkaan-Nya.

Kelemahan manusia ialah ketika memiliki wang yang banyak akan berbelanja lebih dan diberi kesihatan serta kebahagiaan, lupa kepada Allah SWT. Apabila Allah SWT sentap kebahagiaan hidup dengan malapetaka, barulah kita sedar tiada kuasa boleh menghalang kehendak-Nya. Elak tekanan Hendak tahu sama ada hidup kita seimbang atau tidak, caranya ialah lihat dan nilai diri (muhasabah). Jika kita sibuk melihat dan mencari kelemahan diri, kita tidak akan ada masa untuk melihat kekurangan orang lain. Tinggalkan tabiat suka melihat kelemahan orang baik yang kecil apa lagi yang besar.

Kedua, nilai diri adakah kita sering mengalami tekanan? Jika sentiasa berdepan tekanan dan sering sakit, ia menunjukkan sudah berlaku ketidakseimbangan dalam kehidupan. Tekanan adalah petunjuk hati tidak tenang kerana banyak membuat kesilapan kepada orang atau berdosa dengan Allah SWT. Justeru, jika sentiasa mengalami tekanan, mohonlah maaf kepada orang yang pernah kita lukai hatinya, banyakkan bertaubat serta tingkatkan keimanan dan ketakwaan.

Tekanan boleh diatasi dengan memperbaiki akhlak, sentiasa ikhlas dan berbaik sangka terhadap Allah SWT. Tekanan yang tidak terkawal dan berpanjangan akan memberi gangguan kepada mental serta menyebabkan penyakit seperti, gastrik, sakit kepala, pening, migrain, selesema dan sinus. Jika dibiarkan berterusan, penyakit itu boleh melarat menjadi lebih kronik seperti sakit pinggang, darah tinggi dan jantung.

Badan sihat hasil daripada fikiran yang sihat dan positif. Badan dan fikiran yang sihat akan menghasilkan emosi positif yang menjadikan setiap tindakan dalam kehidupan juga positif. Sentiasa positif Setiap hari niatkan diri untuk menjadi lebih baik daripada semalam. Insya-Allah bermula dengan niat baik dan positif, sepanjang hayat akan baik serta positif.

Walau di mana berada, jadilah diri sendiri dan jangan mudah dipengaruhi oleh orang lain serta persekitaran. Orang yang dapat keseimbangan hidup mempunyai pendirian serta tidak mudah dipengaruhi. Jadilah seperti ikan di laut, tidak masin dagingnya dek masinnya air laut. Janganlah menjadi ikan di darat, masin dagingnya dek direndam air bergaram.

Berjaya mengawal perjalanan hidup dengan mengutamakan yang penting dan lebih penting. Mampu melaksanakan tanggungjawab untuk kehidupan duniawi dengan sesama manusia dan tanggungjawab kehidupan akhirat dengan Ilahi. Akhirat dijunjung, dunia dikelek.

Ketidakseimbangan sering berlaku kerana manusia mempunyai pelbagai ragam. Ada yang mudah terikut-ikut, ada mengetahui keunikan diri, memiliki tujuan hidup, disiplin kuat, berpengalaman serta mampu mengawal diri luar dan dalam. Bagi mencapai tahap makrifatullah yang menjadikan Allah SWT sebagai tujuan hidupnya, maka jangan mengharap kepada sesiapa kecuali Allah SWT kerana kuasa-Nya yang Maha Besar. Dia yang mengatur segala kejadian alam.

Betulkan hati

Kita tidak boleh mengubah sikap orang kerana manusia berubah daripada hati dan emosinya. Hanya Allah SWT yang Maha Berkuasa menggenggam hati manusia. Oleh itu, pentingnya kita membersihkan dan membetulkan hati serta meningkatkan ketakwaan. Orang paling malang ialah yang saling mengharapkan manusia. Hentikan mengharap dipuji, dikasihi dan diberi sebaliknya, tanamkan dalam hati supaya suka memuji, mengasihi dan memberi.

Jadikan diri seorang yang sentiasa mengharap dikasihi, dirahmati dan dilindungi oleh Allah SWT. Ingatlah, dengan makhluk kita ingin memberi, dengan Allah SWT kita mahu mendapat. Sebab hanya Allah SWT Maha Pemberi, Pemurah dan Penyayang. Semakin banyak kita meminta kepada-Nya semakin disukainya, maka serulah dengan penuh ketakwaan nama-nama Allah SWT itu.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: