Kehadiran air zam-zam adalah lambang kekuasaan Allah SWT melalui peristiwa Nabi Ismail a.s dan ibunya Siti Hajar.

Justeru, tidak hairanlah umat Islam diseru untuk meminum sebanyak mungkin air tersebut apabila berada di Tanah Suci. Mereka juga disunatkan membawa pulang ke tanah air masing-masing.

Rasulullah SAW merupakan orang pertama membawa air itu keluar dari kota Mekah, iaitu untuk ke Madinah.

Keistimewaan air zam-zam

Melalui sabda Rasulullah SAW dan penjelasan ulama, air zam-zam memiliki keberkatannya, antara dalil-dalil berhubung perkara itu ialah:

“Daripada Jabir dan Ibnu ‘Abbas r.a., Rasulullah SAW bersabda,” Air zam-zam tergantung niat orang yang meminumnya.”

Daripada Ibnu ‘Abbas r.a. Rasulullah SAW bersabda : “Air zam-zam sesuai dengan niat ketika meminumnya. Bila engkau meminumnya untuk ubat, semoga Allah menyembuhkanmu. Bila engkau meminumnya untuk menghilangkan dahaga, semoga Allah menghilangkannya. Air zam-zam adalah galian Jibril a.s. dan curahan minuman daripada Allah kepada Ismail a.s.”

Ibnu Abbas r.a berkata : “Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda,” Kami menyebut air zam-zam dengan syuba’ah (yang mengenyangkan). Dan kami juga mendapatkan, air zam-zam adalah sebaik-baik pertolongan (keperluan atas kemiskinan).”

Manfaat kepada manusia seluruh dunia

Sejak projek itu dibuka, sebanyak 125 juta padu gelen air zam-zam telah dibotolkan bagi kegunaan umat Islam seluruh dunia. Air suci umat Islam yang tiada tarikh luput penggunaannya itu dibawa ke kilang melalui saluran paip sepanjang 4,000 meter dari telaga asalnya di Masjidilharam.

Kemudian air zam-zam itu melalui tiga kali tapisan sebelum dibotolkan dan dihantar ke Madinah setiap hari dengan 10 buah treler.

Ketika musim haji, jemaah akan diberikan lima liter air zamzam oleh kerajaan Arab Saudi untuk dibawa pulang ke negara masing-masing.

Zam-zam merupakan punca mata air yang terletak di kawasan Masjidilharam, iaitu di sebelah tenggara Kaabah yang dikatakan berkedalaman 42 meter.

Menurut riwayat, mata air tersebut ditemukan pertama kali oleh Siti Hajar setelah berlari antara Bukit Safa dengan Bukit Marwah apabila Ismail a.s, putera Siti Hajar mengalami kehausan di tengah padang pasir kira-kira 4,000 tahun lalu.

Bagi umat Islam yang menunaikan haji mahupun umrah, mereka sama sekali tidak akan melepaskan peluang untuk meneguk air zam-zam. Malah pelbagai gelagat dapat melihat. Ada antara mereka menggunakan air zam-zam untuk berwuduk selain membasahkan kain ihram.