Bagi kita yang berada di tanah air, marilah merebut beberapa peluang yang disediakan untuk mendapat keredaan Allah dan pahala amalan dalam 10 hari pertama Zulhijjah. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sebaik-baik hari di dunia adalah sepuluh hari itu”. (Riwayat al-Bazzar)

Antara amalan yang amat digalakkan sepanjang 10 awal Zulhijjah adalah berzikir (Subhanallah, Alhamdulillah, La ilaha illallah dan Allahu Akbar). Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah, pada hari-hari yang tertentu. (al-Hajj: 28)

Ibn Abbas r.a mentafsirkan erti ‘hari-hari tertentu’ sebagai 10 hari awal Zulhijjah dan inilah pendapat majoriti ulama. Amalan yang kedua adalah puasa. Umat Islam yang tidak menunaikan fardu haji amat digalakkan berpuasa pada satu hingga sembilan Zulhijjah. Tarikh 9 Zulhijjah iaitu Hari Arafah pula adalah hari terbaik berpuasa.

Nabi SAW bersabda tentang kelebihan hari Arafah: “Tiada hari yang lebih banyak Allah membebaskan hambanya lebih dari hari Arafah.” (Riwayat Muslim) Nabi SAW juga bila ditanya tentang kelebihan berpuasa pada hari Arafah ini menjawab, ia menghapuskan dosa yang lalu dan tahun kemudiannya.

Ketiga, melakukan lain-lain amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, solat sunat dan sebagainya.

Seterusnya, menjauhi maksiat. Peluang berada dalam 10 hari awal Zulhijjah adalah masa terbaik untuk memulakan taubat bagi sesiapa yang masih menangguhkannya. Amat biadab jika umat Islam bersuka ria dengan me­lampaui batas haram di hari yang amat agung di sisi Allah SWT ini. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat dan sedarlah bahawa hidup ini hanyalah sementara dan seluruh keseronokan itu adalah tipu daya syaitan semata-mata.

Kelima adalah takbir: Saidina Ali menunjukkan bahawa takbir bermula sejurus selepas solat Subuh hari Arafah sehingga hujung waktu Asar hari ketiga Tasyrik.

Yang terakhir adalah ibadah korban. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan bagi setiap umat telah Kami syariatkan penyembelihan (korban), agar mereka menyebut nama Allah, rezeki yang dikurniakan Allah kepada mereka berupa haiwan ternak. (al-Hajj: 34)

Menyembelih binatang korban hanya boleh dilak­sanakan seusai solat Hari Raya Aidiladha sehinggalah akhir hari Tasyriq. Oleh itu, penyembelihan haiwan korban boleh dilaksanakan pada 10, 11, 12 dan 13 Zulhijjah.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri memotong rambut dan kuku bermula 1 Zulhijjah sehingga selesai menjalankan ibadat korban.

Ia berdasarkan hadis nabi SAW yang bermaksud: “Barangsiapa yang ingin menyembelih (korban), dan telah masuk 10 awal Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya sehinggalah sampai korban itu dilaksanakan.” (Riwayat Muslim)

Justeru, majoriti ulama mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh bagi yang me­langgarnya. Bagaimanapun ia tidaklah termasuk dalam kategori haram. Oleh itu, dibenarkan memotong kuku jika ia boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan ibadah-ibadah lain yang wajib.