Dengan kewujudan pelbagai teknologi canggih masa kini, tiada lagi alasan bagi umat Islam tidak tahu membaca al-Quran. Kini terdapat pelbagai medium seperti perisian komputer, aplikasi telefon pintar, al-Quran digital berserta pen bacaan dan cakera padat.

Allah SWT turut menjanjikan pelbagai kelebihan kepada hamba-Nya. Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, maka baginya diberi 10 pahala dan ditambah 10 lagi kebajikan seumpamanya, tidak aku katakan (alif, lam, mim) itu satu huruf, akan tetapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf. ” – Riwayat Tirmizi

Bukan sahaja memperoleh ganjaran di akhirat, malah mukjizat terbesar bagi umat Islam itu turut memberi kelebihan dunia dengan menyediakan panduan dalam segala aspek kehidupan harian manusia.

Perkara itu merangkumi tiga aspek utama iaitu akidah, ibadah dan muamalat (pergaulan).

AKIDAH

Al-Quran jelas menyebut umat Islam wajib menolak kepercayaan selain daripada Allah SWT. Firman Allah SWT maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Ia tiada beranak, dan Ia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang setara dengan-Nya,” (al-Ikhlas: 1-4)

IBADAH

Ibadah dalam Islam mempunyai ciri-ciri tersendiri dan berbeza daripada konsep ibadah agama lain.

Ia merangkumi segala kegiatan manusia dari segi rohaniah dan jasmaniah.

Justeru, sebagai seorang Islam kombinasi kehidupan dunia dan akhirat merupakan unsur ibadah yang menjadikan seorang hamba itu hidup dalam keimanan.

MUAMALAT

Bukan sahaja berfungsi sebagai saluran untuk berinteraksi dengan Allah, al-Quran juga menyediakan garis panduan pergaulan sesama manusia.

Dalam hal ini, al-Quran meletakkan panduan prinsip al-adl wal ihsan yang berteraskan kepada akhlak Islam, iaitu menghayati semangat keadilan dan muafakat serta menghapuskan penindasan.

USAHA MEROSAK 
AL-QURAN

Realiti yang berlaku kini, pelbagai cara dilakukan oleh golongan tidak bertanggungjawab untuk melemahkan pegangan umat Islam daripada menjadikan al-Quran sebagai acuan kehidupan.

Antaranya, pencemaran budaya, membangkitkan isu keagamaan, penyebaran fitnah sama ada melalui media massa dan alam siber serta melanggari undang-undang negara.

Justeru, sebagai masyarakat yang 
cintakan agama dan mukjizat al-Quran, 
umat Islam perlu bersatupadu, mengeratkan perpaduan supaya segala usaha menggugat kedudukan agama Islam dan institusinya di 
negara ini dapat digagalkan.