Beranggapan hanya dosa kecil yang mudah terampun, membuatkan ramai mengambil sikap pandang remeh terhadap sesuatu kesalahan kerana dianggap akan terhapus dengan melakukan amal ibadat dan beristighfar atau bertaubat.

Inilah yang menjadi punca mengapa ramai dalam kalangan umat Islam dimasukkan ke dalam neraka sehingga diazab oleh Allah SWT dengan balasan dahsyat.

“Kita tahu perbuatan itu salah, tetapi kita masih lakukan juga kerana menganggapnya sebagai dosa kecil. Kita terus memandang remeh dan tidak mempedulikan kesalahan itu sehingga menjadi kebiasaan yang akhirnya sebati dalam diri atau tiada lagi rasa bersalah melakukan kesalahan itu.

“Inilah yang kita takutkan. Ketika kita terus menerus melakukan kesalahan dalam kehidupan seharian, lama kelamaan dosa yang pada mulanya dianggap kecil menjadi dosa besar yang menjerumuskan kita ke dalam neraka,”

Umat Islam perlu sentiasa berhati-hati daripada melakukan dosa kecil kerana mungkin dianggap kecil, namun sebaliknya di sisi Allah SWT.

“Sebagaimana hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. bermaksud: “Sesungguhnya seorang Mukmin (ketika) dia melihat dosa-dosanya, adalah seperti (ketika) ia duduk di lereng sebuah gunung, dan ia sangat khuatir gunung itu akan menimpanya. Sedangkan seorang fajir (orang yang selalu berbuat dosa), ketika dia melihat dosa-dosanya adalah seperti ia melihat seekor lalat yang hinggap di batang hidungnya, kemudian ia mengusirnya seperti ini lalu terbang (ia menganggap remeh dosa),” – Riwayat Bukhari

“Hadis ini perlu dijadikan iktibar. Jangan sampai kita dikategorikan dalam golongan orang fajir,”

Sikap tidak mengambil berat terhadap kesalahan dan dosa kecil, tambah Assad, lama kelamaan boleh menghapuskan akhlak umat Islam yang hanya memudaratkan individu itu sendiri apabila berada di akhirat kelak.

“Memandang remeh dosa adalah seperti meremehkan azab Allah SWT iaitu neraka. Kita perlu sedar bahawa tempat tinggal paling buruk adalah di neraka. Panas apinya adalah 70 kali lebih dahsyat berbanding panas api di dunia.

“Ingatlah, di neraka kita tidak akan merasakan selesa walau sekelip mata. Oleh itu, jangan sesekali menganggap remeh dosa walaupun kecil kerana dosa yang dirasakan remeh itu secara tidak disedari akan menggelincirkan kita ke lembah kesengsaraan, kepedihan dan penderitaan yang teramat sangat.

“Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Api yang kamu nyalakan di dunia adalah sebahagian daripada 70 bahagian dibandingkan dengan panas api neraka…- Riwayat Bukhari dan Muslim,”

Justeru, beliau menyeru kepada seluruh umat Islam agar tidak memandang remeh kesalahan kecil dan melakukannya dengan sengaja.

“Selagi diberi peluang hidup, dipanjangkan umur oleh Allah SWT, kita harus menginsafi segala dosa yang telah dilakukan. Telah menjadi fitrah kelahiran manusia tidak lari daripada melakukan dosa dan Allah SWT itu maha pengampun lagi menerima taubat hamba-Nya,”