Bukan sahaja di negara kita, pendidikan agama Islam mendapat tempat yang tinggi, boleh dikatakan di seluruh rantau Nusantara ini. Ia seperti satu trend pendidikan yang sentiasa dipergiatkan.

Maka, lahirlah sekolah pondok dan madrasah yang berselerak di seluruh bumi bertuah ini yang mempamerkan betapa ‘dahaganya’ masyarakat Islam terhadap ilmu agama mereka. Walaupun ketika negara terbelenggu dalam era penjajahan, kedudukan pengajian agama Islam menerusi pendidikan sistem pondok dan madrasah masih dapat terus berdiri kukuh hingga kini. Kita juga sedia menyedari bahawa lulusan pengajian agama Islam yang dihasilkan oleh sistem pendidikan sekolah pondok dan madrasah turut memainkan peranan penting dalam kehidupan masyarakat yang bukan terhad sekadar menjadi Tok Imam dan Tok Bilal di surau dan masjid.

Ini kerana lulusan yang berstatus tahfiz itu juga menjadi pemangkin dan penggerak utama membangkitkan gerakan nasionalisme dan mencetuskan semangat patriotisme. Pasti kita tidak boleh mengetepikan peranan ulama lulusan sekolah pondok terdahulu seperti Tok Ku Paloh di Terengganu misalnya dalam menyebarluaskan kefahaman Islam sebenar kepada seluruh masyarakat Islam.

Bukan beliau sahaja, malahan terdapat ratusan lagi ‘graduan’ lulusan pengajian sistem sekolah pondok dan madrasah yang sama-sama turun padang menggiatkan usaha menentang penjajah demi kedaulatan negara tercinta ini. Ini hakikat yang pastinya kita tidak boleh sesekali dinafikan.

Kini, selepas lebih 58 tahun negara kita mencapai kemerdekaan, apakah masih ada keistimewaan di mata masyarakat tentang kedudukan pengajian sekolah pondok dan madrasah itu? Apakah lulusan sistem pengajian tradisional itu masih berupaya menampilkan diri di tengah-tengah masyarakat untuk turut sama memainkan peranan sebagai antara penggiat aktif untuk kepentingan masyarakat dan negara?

Kita juga tertanya-tanya, apakah sistem pengajian berasaskan sekolah pondok dan madrasah ini akan tetap relevan dan penting buat masyarakat dan negara pada zaman digital ini? Tentu sekali kita akan membandingkan keberkesanan dan peri pentingnya dengan sistem pendidikan arus perdana lain.

Dalam zaman yang menyaksikan begitu ramai golongan ibu bapa yang mengimpikan anak-anak mereka menyambung pelajaran di menara gading dalam pelbagai bidang ilmu berasakan ilmu sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, kita usahlah lupa bahawa pengajian berasaskan sistem pendidikan agama Islam menerusi sekolah pondok dan madrasah tetap kekal relevan dan mustahak.

Sesungguhnya, kita sebagai masyarakat yang cintakan agama, perlu mengikis sikap prejudis atau tanggapan bahawa lulusan pengajian agama baik di sekolah arus perdana mahupun yang dihasilkan menerusi sistem pengajian sekolah pondok dan madrasah hanya mampu menjadikan seorang ustaz dan ustazah sahaja. Sikap sebegini tidak lagi sesuai dengan keadaan pendidikan agama Islam masa kini yang menyaksikan betapa sistem pendidikan agama Islam tidak pernah sesekali diabaikan oleh pihak pemerintah.

Baik ia terangkum dalam sistem pendidikan arus perdana mahupun dalam sistem pengajian sekolah pondok dan madrasah, pihak kerajaan tidak bersikap lepas tangan, sebaliknya pihak berwajib menerusi pelbagai agensinya telah dan sedang giat mengusahakan pendekatan mencongak dan mengorak langkah dalam memperkasakan martabat sistem pengajian agama Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  baru-baru ini berkata bahawa dalam konteks pembinaan negara bangsa Malaysia yang berpandukan Islam sebagai agama rasmi, agenda Islamisasi perlu mencakupi segenap aspek kehidupan.

Sehubungan itu, katanya, para lulusan agama Islam bukan sahaja berpotensi untuk menjadi seorang ustaz atau ustazah sahaja, sebaliknya turut dididik untuk menjadi golongan profesional dalam pelbagai bidang lain.

Beliau turut memberi contoh usaha kerajaan dalam memperkasakan lulusan agama yang kerajaan mewujudkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kerana tidak mahu produk aliran agama menjurus kepada satu bidang sahaja. Kerajaan mahu lulusan ini mempunyai kebolehpasaran dalam pelbagai bidang.

“Hasrat kerajaan mahu lulusan aliran agama menjadi pakar dalam bidang perubatan, kejuruteraan, ekonomi, perbankan atau perundangan, namun dalam masa sama golongan ini mempunyai jiwa tasawur pemikiran Islam,’’ kata beliau lagi.

Kita percaya berkat kesungguhan semua pihak baik pemerintah menerusi pelbagai agensi dan jabatan berkaitan yang turut mendapat sokongan oleh seluruh anggota masyarakat, maka tidak mustahil negara ini bakal melahirkan golongan cerdik pandai Islam yang bukan sahaja memiliki ilmu agama yang tinggi malah dalam masa sama mereka turut hebat dan unggul dalam ilmu-ilmu lain yang diperlukan oleh negara dan masyarakat.

Kita sangat berkeyakinan penuh bahawa lulusan aliran agama baik menerusi sistem pengajian sekolah, madrasah mahupun yang disalurkan melalui sekolah aliran perdana seperti Sekolah Imtiaz hinggalah ke peringkat pengajian tinggi, bakal mengembalikan sejarah kegemilangan umat Islam dalam pelbagai bidang baik dalam ilmu agama mahupun dalam bidang ilmu-ilmu lain, insya-Allah.