Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Madrasah Ramadan didik istiqamah

Posted by epondok di Julai 15, 2016


Oleh Syafiq Salleh

Kemeriahan Syawal disambut umat Islam dalam situasi sederhana memberi erti kesyukuran yang penuh dengan keberkatan.
Ucapan ‘Minal Aidin Wal Faizin’ ketika tiba Aidilfitri memberi maksud kemenangan dan meletakkan umat Islam di tempat yang mulia di sisi Allah SWT selepas melalui tarbiah Ramadan. Pendidikan di sepanjang Ramadan juga suatu proses dalam melahirkan hamba Allah SWT yang bertakwa dan berjaya serta memerdekakan diri daripada godaan syaitan dengan mengekang hawa nafsu.
Umat Islam perlu memanfaatkan kehadiran Syawal yang penuh barakah dengan sebaik mungkin melalui amalan mulia yang dituntut dalam Islam. Uniknya di Malaysia, Syawal disambut sebulan dengan acara rumah terbuka untuk mengeratkan silaturahim. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)
Aidilfitri adalah kemenangan umat Islam yang terhasil selepas pengharapan, pengabdian dan penyerahan diri kepada Allah SWT dilakukan dengan penuh ketakwaan. Kemenangan pada Syawal dihiasi laungan takbir menyatukan umat Islam dengan kalimah tauhid berpandukan syariat Islam.
Aidilfitri juga diertikan dengan asas kerohanian iaitu kembalinya hati, jiwa dan fikiran yang suci kepada fitrah kejadian manusia yang abadi. Walaupun Aidilfitri disambut meriah dengan perasaan gembira, umat Islam dituntut untuk terus menjaga adab berhari raya serta melaksanakan ibadah.
Amalan bermaafan, ziarah Kesyukuran di Aidilfitri disambut dengan fitrah kasih sayang antara umat Islam khususnya dalam institusi kekeluargaan. Dorongan sifat itu membawa kepada amalan bermaafan dalam kalangan saudara-mara dan sahabat handai. Amalan ziarah-menziarahi pada Syawal juga baik supaya masyarakat Islam dapat mengenali antara satu sama lain serta merapatkan jalinan ukhuwah. Justeru, meraikan Aidilfitri tidak sepatutnya dilalaikan dengan hiburan dan pergaulan tidak sihat.
Setiap aktiviti dan amalan di hari raya harus mengikut garis panduan dan syariat Islam. Penampilan sopan dan menutup aurat perlu dititikberatkan. Pengambilan makanan yang sihat juga penting untuk mencegah daripada penyakit memudaratkan kesihatan. Hal ini termasuklah pengambilan pemakanan sunah pada Ramadan yang semestinya dijadikan amalan berterusan setiap hari pada bulan seterusnya.
Hati terikat dengan masjid
Didikan madrasah Ramadan membimbing umat Islam sentiasa rapat dan sayang kepada masjid. Amalan itu perlu diteruskan supaya setiap individu Muslim menjadi antara tujuh golongan yang bakal dipayungi ‘Arasy Allah SWT di akhirat nanti iaitu mereka yang sentiasa terikat hatinya dengan masjid.
Kegembiraan menyambut Syawal dengan memakai baju baharu dan memakan hidangan lazat bukanlah setakat di dunia. Umat Islam harus berdoa dan mengharapkan kenikmatan lebih istimewa pada hari akhirat. Segala bentuk amalan dan aktiviti pada Syawal mendidik umat Islam lebih istiqamah dan tekun menjadi generasi soleh.
Golongan pemenang sebenar ialah Muslim yang terhasil daripada tarbiah Ramadan dengan pengampunan dosa serta menghiasi Syawal dengan amal ibadah.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: