Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kekal istiqamah selepas Ramadan

Posted by epondok di Julai 14, 2016


Oleh Dr Nik Roskiman Abdul Samad

 

SELURUH umat Islam menyambut Aidilfitri selepas sebulan menjalani latihan dalam madrasah Ramadan, bulan mendidik, membiasakan amalan baik, mengembalikan sifat fitrah insani yang sebenar sesuai matlamat kita diutuskan Allah SWT.
Oleh itu, Aidilfitri membawa maksud kembali kepada fitrah. Kebanyakan kita sudah biasa menghadiri kursus atau bengkel selama sehari, dua hari, seminggu dan ada yang lebih panjang daripada itu. Matlamat bengkel ini biasanya untuk mengubah peserta menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Jika peserta dalam kalangan kakitangan awam atau swasta, maka diharapkan selepas menjalani bengkel itu mereka akan menjadi kakitangan yang lebih baik, cekap, dedikasi serta produktif kepada organisasi.
Begitu juga dengan bengkel atau madrasah Ramadan yang baharu berlalu. Allah SWT meletakkan matlamat Ramadan supaya kita menjadi insan yang bertakwa kepada-Nya. Bukan lapar dan dahaga yang diinginkan tetapi lapar dan dahaga hanyalah wasilah untuk menundukkan nafsu bagi melahirkan insan bertakwa.
Ada antara kita yang sudah 40 tahun menemui Ramadan, ada lebih dan kurang daripada itu. Namun, sifat peribadi mereka sebelum dan selepas Ramadan tidak banyak berubah, seakan tidak memberi bekas untuk menjadikannya insan yang bertakwa.
Khusyuk, rendah hati
Bukan salah ibadah itu tetapi kerana mereka melakukan ibadah itu sebagai adat kebiasaan dan rutin, bukan disebabkan ikhlas, khusyuk dan rendah diri mengharapkan reda Allah SWT. Sebab itulah Nabi SAW berpesan dalam sabda Baginda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan ihtisab (mengharapkan reda Allah SWT), diampunkan dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari)
Sebab itu hari ini kita temui ramai (termasuk kita sendiri juga mungkin) yang berpuasa, mengerjakan haji dan umrah, mendirikan solat tetapi masih melakukan perkara dosa serta mungkar. Masih menipu orang lain, berdusta, memakan rasuah, mencuri tulang ketika bekerja, hasad dengki dan bermacam penyakit hati lain. Sheikh Abdul Qadir al-Jilani diriwayatkan berkata: “Aku beroleh kurniaan makrifat Allah SWT bukanlah kerana banyaknya solat tahajudku pada malam hari atau kerajinanku berpuasa di siangnya, tetapi kerana keramahan dan kerendahan hatiku daripada segala penyakit hati.”
Amalan itu semua adalah wasilah untuk menjadikan kita lebih baik seterusnya menggapai gelaran ‘muttaqi’ (orang yang bertakwa), namun tanpa ketulusan hati, kejernihan jiwa, keikhlasan beribadah demi mencari reda Allah SWT, ibadah itu hanyalah aktiviti fizikal semata-mata yang tidak membekas kepada jiwa.
Teruskan amalan sepanjang Ramadan
Walaupun Ramadan sudah berlalu, marilah kita meneruskan apa yang kita asuh sepanjang bulan barakah itu. Amalan yang disuruh seperti memperbanyakkan solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, berpuasa, bersedekah maka teruskanlah pada 11 bulan yang lain. Masih banyak puasa sunat lain yang boleh kita teruskan seperti puasa enam hari Syawal, puasa Isnin dan Khamis.
Hentikan perbuatan ditegah seperti mengumpat, berdusta dan bercakap perkara tidak berfaedah. Jika kita mampu lakukan semuanya, itu petanda awal puasa kita berkesan dan diterima oleh Allah SWT. Kita beribadah sepanjang Ramadan bukan kerana Ramadan tetapi kerana Allah SWT yang memerintahkan kita berbuat begitu. Sebab itu sering disebutkan ungkapan hikmah: “Sesiapa yang menyembah Ramadan, maka sesungguhnya Ramadan telah berlalu dan sesiapa yang menyembah Allah, sesungguhnya Allah itu Maha Hidup dan Tidak Akan Mati.”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: