Islam menetapkan hari raya dua kali dalam setahun iaitu Aidilfitri dan Aidiladha. Kedua-dua mempunyai kaitan dengan syariat Islam.

“Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedang penduduknya sibuk bergembira selama dua hari. Maka baginda bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman jahiliah. Kemudian Rasulullah bersabda : Sesungguhnya Allah SWT menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha,” – Riwayat Abu Daud dan al-Nasai.

HARI KEMERDEKAAN, KEMENANGAN

Aidilfitri merupakan hari kemerdekaan umat Islam. 1 Syawal hari pertama selepas Ramadan di mana umat Islam kembali menikmati limpahan rezeki Ilahi selepas sebulan menyerahkan jiwa raga kepada-Nya. Ia adalah hari kegembiraan kerana dapat menempuh ujian tahunan bagi menguji siapakah yang terbaik dalam melaksanakan ibadah kepada-Nya. Ia juga merupakan puncak kemenangan manusia dalam peperangan antara akal dan nafsunya, ibadah puasa Ramadan merupakan senjata terkuat menundukkan dorongan nafsu yang sentiasa cenderung terhadap dosa. Aidilfitri merupakan ganjaran kemenangan untuk hamba-Nya.

Sekiranya diamati, pensyariatan perayaan utama dalam Islam berlaku selepas pelaksanaan ibadah besar Rukun Islam. Aidilfitri disambut selepas ibadah puasa, manakala Aidiladha disambut selepas umat Islam menunaikan ibadah haji. Begitulah sambutan perayaan dalam Islam yang mempunyai hikmah yang amat besar.

Ringkasnya, perayaan bukan sekadar hari yang diwarnai dengan kegembiraan dan beraneka juadah. Matlamat utama perayaan dalam Islam antaranya :

  •  Mengajak umat Islam kembali kepada Allah SWT dalam setiap urusan kehidupan.
  •  Satu ibadat kepada Allah SWT.
  •  Keperluan untuk turut sama memikirkan nasib orang lain yang tidak bernasib baik di sekeliling.
  •  Kegembiraan pada hari raya adalah kemuncak ketaatan dan ubudiyyah kepada Allah.
  •  Gambaran Mukmin yang gembira melaksanakan ibadah.