Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Usah biar media sosial, gajet jejas kemeriahan Aidilfitri

Posted by epondok di Julai 6, 2016


Oleh Dr Ali Salaman

HARI lebaran semakin hampir. Kemeriahannya kian terasa. Namun, kita tidak boleh nafikan kemeriahan raya, silaturahim akan turut menerima kesan dengan penggunaan media sosial yang berleluasa pada masa kini.

Walaupun media sosial itu banyak kebaikannya tetapi janganlah kita membiarkan media sosial mengganggu kemeriahan hari raya dan silaturahim pada hari yang mulia. Saya berasakan ramai yang turut berkongsi kebimbangan seperti saya. Dalam dunia globalisasi hari ini, penggunaan media sosial sememangnya tidak dapat dielakkan dalam kehidupan seharian. Ia sudah menjadi sebahagian aktiviti harian dalam kehidupan sosial masa kini kerana salah satu peranan utamanya ialah untuk interaksi sosial.

Seseorang mungkin bertanya adakah media sosial boleh membuatkan kita menjadi antisosial? Di mana sahaja, sama ada di rumah atau tempat awam, setiap pengguna media sosial begitu asyik dengan alat peranti masing-masing sehingga mengabaikan orang lain yang berada bersebelahan atau berhampiran. Menghubung yang jauh, orang dekat jadi jauh

Keseronokan yang berlebihan terhadap alat peranti dan penggunaan media sosial menjadikan seseorang itu boleh lupa diri kerana terlalu khayal dengan kecanggihan yang semuanya boleh dicapai melalui hujung jari. Akibatnya, orang sebelah menjadi jauh dan orang jauh menjadi dekat. Kita berkomunikasi dengan orang jauh melalui alam maya tetapi kita lupa bahawa kita mengabaikan komunikasi dengan orang berhampiran kita.

Perayaan yang dinanti semakin tiba, media sosial akan digunakan untuk menghantar ucapan kepada keluarga dan rakan-rakan. Sekurang-kurangnya dengan cara ini, kad raya secara konvensional telah digantikan melalui satu kaedah yang tidak memerlukan kos dan cepat. Penggunaan media sosial pada musim perayaan ini haruslah dikawal agar perjumpaan bersama sanak saudara untuk memeriahkan Hari Lebaran itu menjadi lebih bermakna dan menyeronokkan. Inilah masanya kita mendekatkan silaturahim sesama ahli keluarga. Masing-masing harus tepuk dada dan tanya selera – patutkah kita membenarkan media sosial membayangi sambutan lebaran, iaitu hari yang diisytiharkan sebagai ‘hari kemenangan’ setelah melalui satu latihan selama sebulan sepanjang Ramadan menahan lapar dan dahaga serta mengawal nafsu terhadap urusan duniawi yang lain dari subuh hingga senja? Sudah tentu tidak.

Beri perhatian pada saudara, tetamu

Jika begitu, kita harus mengawal diri terutama pada aplikasi popular seperti WhatsApp dan telegram. Kedua-dua aplikasi ini akan berstatus online 24 jam sehari melainkan kita mematikan data pada telefon pintar masing-masing. Nasihat saya, gunakanlah alat peranti secara berpada-pada. Saudara-mara dan tetamu di sekeliling juga memerlukan perhatian. Cubalah hanya melayan telefon pintar empat kali sehari pada pagi; tengah hari; petang dan malam serta memastikan data itu dimatikan pada masa yang tidak digunakan. Atau lebih baik lagi kita layan telefon pintar pada masa tidak ada tetamu yang melawat rumah kita.

Adakah anda sanggup mencuba? Ketika melawat saudara-mara atau rakan-rakan, gunalah kaedah yang sama. Cara ini seharusnya digunakan di mana saja kita berada untuk meningkatkan silaturahim. Saya secara peribadi, adalah pengguna tegar media sosial. Jangan kita biarkan media sosial mengawal kehidupan kita. Media sosial adalah di bawah kawalan dan kita perlu mengawal media sosial. Marilah kita menjadikan raya ini sebagai masa silaturahim dan masa yang berkualiti dengan orang yang kita sayangi dan saudara-mara, bukannya raya di bawah pengaruh media sosial.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: