Setiap ayat-ayat al-Quran adalah wahyu Allah SWT yang paling mulia. Umat Islam perlu mempelajarinya secara teratur dan berperingkat dari segi tajwid, taranum, nahu, sorof, balaghoh,fasahah, aspek mantik (logik) serta hukum hakam di dalamnya.

Al-Quran perlu dipelajari sepanjang masa dan hayat. Struktur pendidikan bagi pemahaman al-Quran tidak hanya tertumpu kepada inisiatif individu, ke­luarga atau kelompok tertentu yang berminat sahaja.

Kepimpinan negara perlu memberi perhatian bagi merancang dan melaksanakan secara berperingkat yang berteraskan memperkasakan pendidikan al-Quran kepada rakyat. Justeru, perlu disediakan silibus pembelajaran yang sistematik dan sumbangan yang diperlukan.

Program motivasi dan membudayakan bagi menggalakkan pembelajaran al-Quran sepanjang hayat oleh setiap individu dan keluarga perlu diberi tumpuan. Hasil kutipan zakat boleh digunakan sebagai sumber kewangan bagi membiayai program ini.

Di antara keistimewaan al-Quran adalah ia dapat memberi syafaat pada hari kiamat kepada pembacanya, pengkajinya dan yang beramal dengannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan Abi Umamah Al Bahimah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang ertinya: “Bacalah al-Quran, ia akan datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepadanya.” (Hadis Riwayat Muslim).

Adalah amat penting strategi dan tahap pencapaian pemahaman al-Quran dipantau dari aspek penunjuk aras yang ditetapkan pada setiap tahun. Sekiranya penunjuk aras yang ditetapkan tidak tercapai, maka perlu ada penambahbaikan agar usaha untuk membudayakan dan menggalakkan pem­belajaran al-Quran sepanjang hayat bukan sahaja di bulan Ramadan, tetapi juga di bulan lain tercapai.

Ramadan yang penuh barakah sentiasa dinanti-nantikan oleh setiap umat Islam yang beriman. Bulan mulia ini mewajibkan umat Islam berpuasa seperti yang dijelaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.” (Surah Al Baqarah: Ayat 183). Ganjaran amat tinggi seperti sabda Nabi Muhammad SAW bahawa Allah SWT telah berfirman: “Setiap malam amalan manusia adalah untuknya kecuali puasa. Amalan puasa adalah untuk Ku”. (Hadis Riwayat Bukhari).

Suasana Ramadan dihidupkan dengan pelbagai aktiviti ibadah sama ada yang wajib atau sunat secara individu atau jemaah pada waktu siang dan malam.Di masjid dan surau, setiap malam selepas solat tarawih atau selepas subuh al-Quran dibaca secara berkumpulan atau bertadarus. Secara tidak langsung, al-Quran dapat menyatukan umat Islam dalam kelompok-kelompok yang kecil. Ia menjadi asas kepada penyatuan yang lebih besar.

Maka, Ramadan telah menyediakan asas untuk kita bersatu. Seterusnya dapat memastikan tujuan utama ummah seperti pada Maqasid Syariah dalam penjagaan akal, agama, nyawa, keturunan dan harta dapat dipertahankan sepanjang masa demi kesejahteraan bersama.

Al-Quran dan hadis telah memastikan tatacara penjagaan kehidupan individu termasuk penjagaan kekeluargaan, akidah, ideologi dan rohaniah.

Kesatuan ummah yang tidak memperkasakan al-Quran dan hadis tidak memberi makna kepada ummah. Tanpa ke­satuan ummah, al-Quran tidak dapat diperkasakan dan tanpa al-Quran, kesatuan ummah tidak bermakna dan sia-sia. Justeru, semua profesional dan usahawan bersama-sama mempelajari dan membudayakan al-Quran dalam kehidupan seharian.