Walaupun beliau bukan Islam, tetapi beliau menyukai dan melanggani produk-produk Islam. Beliau memilih perbankan Islam berbanding perbankan konvensional. Perlindungan juga menggunakan takaful dan bukan insurans.

Tanya beliau kepada penulis, apa itu berkat? Sepanjang bulan Ramadan lalu, rakan-rakan Muslim selalu menyebut perkataan berkat. Asyik-asyik disebut berkat. Datang kerja awal dan pulang lewat bagi mencari berkat. Tidak culas kerja juga berkat. Bayar zakat supaya pendapatan dan harta menjadi berkat. Mematuhi semua peraturan di pejabat juga berkat. Jadi, sebenarnya apa itu berkat?

Persoalan yang ditanya agak mudah, namun jawapannya tidaklah semudah yang disebut. Ia membuatkan penulis berfikir sejenak. Selama ini, tidak pernah terlintas dalam fikiran yang soalan ini akan ditanya oleh seorang rakan bukan Islam.

Penulis juga percaya bahawa kita juga acapkali mendengar perkataan ini. Namun, mungkin bagi kita sudah biasa dan jarang benar untuk cuba kita memahami maksud sebenar perkataan ini.

Teringat ceramah seorang ustaz baru-baru ini sempena 10 malam akhir Ramadan. Beliau memetik ayat al-Quran tentang malam lailatulqadar dari surah Ad-Dukhan ayat 3 yang bermaksud “sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran itu pada suatu malam yang diberkati (lailatulqadar)”.

Bagi penulis, berkat adalah penambahan dan pengurangan. Ia boleh jadi dalam bentuk material atau bukan material. Ia juga boleh berupa manfaat kewangan atau bukan kewangan.

Pendapatan bulanan seseorang dikatakan berkat apabila manfaat pendapatan itu bertambah. Dalam masa yang sama, pendapatan tersebut kurang bebannya.

Sebagai contoh, dalam hal pembayaran zakat pendapatan gaji, cuba tanya diri kita apa yang kita rasa dan alami sebelum dan selepas kita membayar zakat? Seorang peniaga boleh bertanya apa yang telah dialami masa sebelum dan selepas membayar zakat perniagaan?

Logik akalnya, sebelum membayar zakat pendapatan, kita berfikir bahawa pendapatan akan berkurangan de­ngan membayar zakat. Zakat perniagaan yang dibayar akan mengurangkan hasil keuntungan sesebuah perniagaan. Sedekah atau wakaf yang kita keluarkan akan me­ngurangkan hasil kita. Benarkah begitu?

Dalam konteks pertambahan, berkat memberikan kita lebih daripada apa yang kita dapat. Ia menambah nilai ke atas sesuatu Seseorang yang mendapat pendapatan RM1,000 sebulan, jika ada berkatnya, adalah lebih bernilai daripada mereka yang berpendapatan RM20,000.

Sudah pasti nilai RM1,000 adalah jauh lebih sedikit berbanding RM20,000. Tetapi jika dengan nilai RM1,000 itu cukup untuk menampung keperluan anak-anak dan keluarga dan banyak manfaat daripada pendapatan tersebut yang ada peroleh, di situlah ada berkatnya.

Membayar zakat pendapatan gaji yang hanya 2.5% daripada gaji bersih menjadikan pendapatan kita berkat. Pendapatan yang berkat akan menambah nilai ke atas pendapatan tersebut dan mengurangkan beban daripada pendapatan itu.

Sebelum membayar zakat mungkin kenderaan kita kerap mengalami kerosakan. Dengan membayar zakat, masalah tersebut berkurangan. Sebelum membayar zakat, seringkali kita dibebani perbelanjaan-perbelanjaan yang tidak disangka-sangka. Selepas berzakat, adakah belanja tak disangka-sangka ini berkurangan?

Sebelum berzakat kerapkali jatuh sakit. Belanja perubatan meningkat kerana selalu ke klinik. Selepas membayar zakat dan dengan pendapatan yang berkat kebanyakan kita tidak lagi jatuh sakit.

Kerapkali juga bagi mereka yang sebelum membayar zakat selalu menghadapi masalah kenderaan. Kereta dan motosikal banyak kali masuk bengkel. Hampir setiap bulan. Selepas membayar zakat masalah tersebut semakin berkurangan. Inilah berkat.

Dalam bentuk bukan material, berkat itu dapat dilihat dalam konteks masa. Kita mempunyai masa yang sedikit untuk menyelesaikan sesuatu tugas yang diberikan oleh bos. Lazimnya, adalah mustahil untuk dilakukan pada waktu sesingkat itu. Namun, bila ada berkat, kita berjaya melakukan tugas tersebut walaupun masa yang diberikan amat sikit.

Sebelum ini, masa berkualiti kita bersama anak-anak dan keluarga adalah sedikit. Tetapi jika sekarang masa berkualiti tersebut telah bertambah, maka itulah berkat.

Sebelum Ramadan, jarang sekali kita ke masjid untuk menunaikan solat. Solat sunat kadang-kadang. Jarang juga kita membaca apatah lagi cuba memahami al-Quran. Hanya sesekali memberikan sedekah atau wakaf tunai kepada yang memerlukan.

Harapnya, dengan berkat Ramadan, solat lima waktu kita kini di masjid. Jika tidak lima waktu, dalam sehari kaki kita melangkah juga ke masjid. Al-Quran juga tidak lagi dibiarkan berhabuk tidak disentuh. Sedekah dan wakaf juga tidak lagi tunggu bila disuruh. Inilah berkat Ramadan.

Justeru, berkat boleh berlaku pada diri sendiri, anak-anak, keluarga, masyarakat, negara, ilmu dan lain-lain lagi. Berkat itu bukan terletak pada banyaknya harta atau rezeki yang diperoleh. Tetapi berkat itu akan dirasai dalam hati dan jiwa akan tenang dan damai bahagia. Mungkinkah pertanyaan rakan bukan Islam penulis tadi juga adalah berkat Ramadan tahun ini?

PROF. MADYA DR. RAM AL JAFFRI SAAD