Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Kaya, miskin bukan pengukur iman

Posted by epondok di Julai 1, 2016


NIKMAT kekayaan sebenarnya adalah ujian sejauh mana kita bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan atau kekayaan itu menjadikan kita lalai. Kemiskinan bukan bermakna kita terlepas daripada ujian Allah SWT kerana ia juga ujian terhadap kesabaran atau menyebabkan kita mengeluh. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan demikianlah Kami uji sebahagian daripada mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang yang kaya itu berkata (kepada orang fakir miskin yang beriman): Inikah orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? (Allah berfirman): Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang yang bersyukur?” (Surah al-Ankabut, ayat 53)

Kekayaan atau kemiskinan bukanlah ukuran keimanan kepada Allah SWT tetapi keimanan diukur melalui sikap terhadap Allah SWT, sama ada bersyukur dengan nikmat dikurniakan dan bersabar dengan ujian kemiskinan dihadapi. Setiap ujian diberikan pasti ada hikmah yang tidak kita ketahui. Allah SWT menjadikan adanya golongan kaya dan miskin untuk saling bantu-membantu antara satu sama lain. Setiap manusia di dunia ini memiliki kelebihan serta kekurangan masing-masing dan tiada manusia yang sempurna di sisi Allah SWT. Kepada mereka yang memiliki kekayaan, janganlah leka dengan segala nikmat diberikan itu sehingga lupa untuk melakukan amal dengannya. Rebutlah peluang yang Allah SWT kurniakan untuk membantu orang miskin.

Berkongsi kekayaan dengan orang miskin adalah satu cara kita bersyukur dengan nikmat Allah SWT. Ingatlah, janganlah merasa rugi membantu orang miskin, kerana janji Allah SWT itu pasti. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Mereka bertanya kepadamu mengenai apa yang mereka nafkahkan. Jawablah: Apa saja harta yang kamu nafkahkan hendaklah diberikan kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan orang yang sedang dalam perjalanan. Dan apa saja kebaikan yang kamu buat, maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 215)

Amal soleh jadi penentu Ujian Allah SWT kepada manusia berlaku dalam pelbagai bentuk dan setiap ujian adalah untuk melihat bagaimana seseorang itu menghadapinya. Oleh itu, sebaiknya hadapi ujian dengan berlapang dada serta berusaha mencari jalan mengatasinya. Mereka yang diuji dengan kemiskinan, janganlah mengeluh kerana itu tandanya Allah SWT ingin melihat sejauh mana kesabaran kita berdepan dugaan. Ingatlah, setiap orang yang berusaha pasti mendapat kejayaan. Janganlah kita menyalahkan takdir Allah SWT, sebaliknya salahkan diri yang malas berusaha dan hanya suka mengharapkan bantuan orang lain. Ketahuilah kaya bukan bermaksud mulia dan miskin pula perlu dihina.

Keimanan seseorang tidak diukur dari sudut banyak atau sikit harta dimiliki, sebaliknya berdasarkan keimanan serta amal soleh yang dilakukan semata-mata kerana Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (daripada kebaikan) yang diusahakannya dan ia mendapat seksa (daripada kejahatan) yang dikerjakannya.” (Surah al-Baqarah, ayat 286)

Muhasabah diri Bagaimana kita berdepan ujian membolehkan kita menilai diri seterusnya bermuhasabah supaya langkah yang diambil seterusnya adalah usaha menghadapi keadaan itu sebaiknya atau memperbaiki diri ke arah lebih baik. Kekayaan dan kemiskinan adalah hak Allah SWT dan sesungguhnya Allah Maha Adil lagi Maha Bijaksana dalam perancangan-Nya kepada umat manusia. Firman-Nya yang bermaksud: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: