Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Julai 2016

Menjadi hamba Allah yang bertanggungjawab

Posted by epondok di Julai 31, 2016

SAODAH ABD. RAHMAN

 

ISLAM adalah satu agama yang komprehensif dan moderate. Islam menggalakkan umatnya bekerja untuk kehidupan di dunia dan di akhirat. Setiap individu Islam mempunyai peranan dan tanggungjawab tertentu tanpa mengira jawatan dan latar belakang. Antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh umat Islam adalah:

* Pertama, tanggung jawab terhadap Allah.

Setiap individu Islam wajib mematuhi dan melaksanakan hukum-hakam dan perundangan Allah dalam setiap aspek kehidup­an. Manusia sebagai hamba Allah oleh itu hanya Allah sahaja yang layak disembah selaku Pencipta makhluk dan alam semesta. Sebagai hamba Allah manusia wajib mematuhi segala perintah-Nya secara ikhlas. Firman-Nya dalam Surah 98 (al-Bayyinah) ayat 5 bermaksud: “Padahal mereka tidak disuruh, kecuali supaya menyem­bah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya, dalam (menjalankan) agama yang lurus, dan supaya mereka mendirikan shalat dan menunaikan zakat; dan yang demikian itulah agama yang lurus.”

Menunjukkan sikap tanggungjawab kepada Allah satu amalan yang paling menguntungkan manusia. Allah tidak memerlukan sebarang jasa perkhidmat­an manusia untuk-Nya. Perkara ini dijelaskan oleh Imam Ja’far Shadiq seperti berikut; “Sesungguhnya Allah SWT tidak menciptakan hamba-Nya dengan sia-sia, dan tidak membiarkannya tanpa guna, melainkan Dia menciptakan mereka untuk menampakkan kekuasaan-Nya, dan untuk membebani mereka dengan kewajipan ketaatan kepada-Nya, supaya dengan itu mereka layak mendapat keredaan-Nya. Allah Swt tidak menciptakan hamba-Nya dengan tujuan mendapat manfaat daripada mereka atau untuk menolak bahaya dengan perantaraan mereka, melainkan Dia menciptakan mereka dengan tujuan supaya mereka mendapat manfaat dan menyampaikan mereka kepada kenikmatan abadi.”

* Kedua, tanggungjawab terhadap diri sendiri.

Setiap individu wajib memenuhi kewajipannya sendiri bagi membentuk keperibadian Islam yang sejati. Iman yang dimiliki bersifat naik turun atau dalam istilah Islam disebut sebagai yazidu wa yanqushu (kadang-kadang bertambah atau kuat dan kadang-kadang kurang atau lemah).

Kecuaian dalam mengimbangi keimanan kadang-kadang boleh menyebabkan umat Islam lalai dan leka dalam kehidupan mereka sehingga sanggup melakukan sesuatu yang merugikan kehidup­an mereka di dunia dan di akhirat.

Allah menyeru umat Islam supaya merenung dan meneliti setiap pergerakan kehidupan di dunia ini bertepatan dengan konsep dan prinsip ajaran Islam. Kejahilan dalam aspek ini boleh menyebabkan umat Islam berte­rusan melakukan kesalahan dan dosa yang perlu dipertanggungjawabkan di depan Allah di hari akhirat.

* Ketiga, tanggungjawab terhadap keluarga.

Wajib bertanggungjawab terhadap keluarga berkaitan de­ngan kewibawaan, kesejahteraan, keselamatan, pendidikan dan kehidupan. Tanggungjawab terhadap keluarga juga sebahagian daripada tanggungjawab diri kerana memelihara diri sendiri berkaitan dengan perintah memelihara iman keluarga.

Allah menyebut dalam al-Quran perkataan quu anfusakum wa ahlikum naara (peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka). Perkara ini dinyatakan oleh Allah dalam Surah 66 (Al-Tahrim) ayat 6 yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman peliharalah diri mu dan keluarga mu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, yang keras, yang tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan.”

Hubungan anak dan ibu bapa adalah satu kewajipan dalam tanggungjawab kekeluargaan. Ibu bapa adalah individu yang perlu diutamakan dalam kehidupan anak-anak. Keberkatan kehidupan anak-anak bergantung kepada keredaan ibu bapa. Menghormati dan mengambil berat hal ehwal ibu bapa adalah satu kewajipan yang utama dalam sistem kehidupan kekeluargaan umat Islam.

Islam menggalakkan umatnya supaya memelihara hubungan kekeluargaan dan bantu-membantu antara satu sama lain sebagai ahli keluarga sendiri. Ini konsep kehidupan yang perlu dilaksanakan oleh masyarakat Islam. Rasulullah SAW memperi­ngati umat Islam dengan sabdanya yang bermaksud; “Aku berpesan kepada umatku baik yang hadir mahupun yang tidak hadir, mahupun yang kini mereka masih berada dalam tulang sulbi ayah atau rahim ibu mereka hingga hari kiamat, hendaklah mereka menjalin silaturahim dengan sanak-saudara dan kerabat mereka, karena silaturahim merupakan sebahagian dari agama.”

Rasulullah SAW orang yang paling baik dengan ahli keluar­ganya. Perkara ini dijelaskan oleh baginda dengan sabdanya yang bermaksud; “Sebaik-baiknya kamu adalah orang yang paling baik terhadap keluarga, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap keluargaku.”

* Keempat, tanggungjawab terhadap masyarakat.

Setiap individu memerlukan bantuan di antara satu sama lain sesuai dengan kedudukannya sebagai makhluk bersosial. Umat Islam digalakkan supaya tolong-menolong sesama manusia tanpa mengira agama dan bangsa. Konsep kehidupan kemasyarakatan dalam Islam adalah berbentuk universal di mana setiap kebaikan dan keindahan dikongsi bersama dengan makhluk Allah.

Perkara ini dijelaskan oleh Rasulullah SAW dengan maksud­nya; “Seluruh makhluk adalah keluarga Allah. Maka sebaik-baik­nya makhluk di sisi Allah adalah orang yang paling banyak memberi manfaat kepada keluarga Allah dan membahagiakan mereka.” Sabda baginda lagi; “Sebaik-baik manusia adalah orang yang bermanfaat bagi manusia.”

Berdasarkan kepada penjelas­an di atas maka setiap individu Islam perlu membentuk dirinya menjadi orang yang bertanggungjawab dan diberkati oleh Allah.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Nikmat lepasi ujian Padang Mahsyar

Posted by epondok di Julai 29, 2016

Oleh Fairuz Noordin

UKURAN kejayaan hidup manusia tidak dinilai di dunia tetapi Allah SWT jadikan ukuran nilai sama ada berjaya atau tidak ketika berada di Padang Mahsyar nanti.

Diceritakan oleh al-Muhasibi dalam kitabnya Al-Tawahum wal Ahwal, Allah SWT akan mengumpulkan seluruh manusia dan jin di Padang Mahsyar dalam keadaan hina dan tidak ada seorang pun yang bangun berpakaian. Mereka yang dahulunya mempunyai kedudukan, darjat dan pangkat juga akan menjadi rendah serta hina kerana ia bukan lagi menjadi keutamaan pada ketika itu. Orang jahat datang dengan keadaan tunduk kepalanya dan penuh ketakutan, malah syaitan juga dibawa dalam keadaan sama di Padang Mahsyar nanti.

Bintang di langit jatuh bertaburan, cahaya matahari dan bulan menjadi pudar seketika, suasana menjadi mendung serta gelap. Langit berputar-putar di atas kepala selama 500 tahun menyebabkan manusia berada dalam kebingungan. Kemudian langit akan terbelah dan bunyinya didengari semua makhluk di Padang Mahsyar.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Pada hari langit menjadi seperti tembaga cair dan gunung-ganang pula menjadi seperti bulu (yang berterbangan).” (Surah al-Maarij, ayat 8-9)

Hamba soleh diasingkan Abu Hamid dalam kitab Kasyful Ulum al-Akhirah menceritakan, jika semua makhluk itu sudah dikumpulkan di Padang Mahsyar, Allah SWT mula memerintahkan malaikat di langit dunia (langit pertama) untuk memindahkan hamba-Nya yang soleh ke bumi lain. Kemudian dipindahkan manusia dan jin yang soleh, termasuklah binatang serta burung ke bumi kedua, tanahnya berwarna putih daripada perak bercahaya.

Selepas itu malaikat berjumlah 10 kali ganda daripada jumlah keseluruhan makhluk membuat barisan di sempadan antara bumi pertama dan kedua. Seterusnya, Allah SWT memerintahkan malaikat di langit kedua hingga ketujuh turun ke bumi, membuat barisan mengepung seluruh makhluk yang ada dan tidak seorang pun mampu lari menembusi kepungan malaikat itu. Bumi menjadi sangat padat dan makhluk bersesakan, himpit-menghimpit antara satu sama lain selain berpeluh kepanasan dalam keadaan yang merimaskan.

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menyambung perkongsian, pada ketika itu masing-masing dicengkam perasaan takut dan penuh debaran kerana matahari berada sangat dekat di atas kepala sehingga boleh disentuh hanya dengan mengangkat tangan mereka. Mereka akan berasa sangat haus, tetapi hamba Allah SWT yang soleh akan mendapat minuman diberikan oleh anak syurga yang soleh.

Di Padang Mahsyar nanti akan kelihatan awan bergerak di atas kepala, menaungi mereka yang sentiasa bersedekah ketika di dunia dahulu selama 1000 tahun. Kemudian kedengaran tiupan sangkakala yang memberi isyarat turunnya Arash Allah SWT yang dibawa oleh lapan malaikat, diiringi ribuan malaikat menyebabkan seluruh makhluk menggigil ketakutan.

Minta bantuan Nabi

Di Padang Mahsyar manusia berada dalam kebingungan dan pada ketika itu mereka mula mencari Nabi Adam tetapi Baginda tidak berani melakukan apa-apa dan meminta berjumpa Nabi Nuh, namun Baginda juga tidak dapat membantu. Begitu juga Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Isa dan nabi lain. Sehinggalah akhirnya umat manusia berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sujud sambil menangis dan berkata: “Semua nabi sudah menggunakan doa mustajab mereka ketika di dunia dahulu, kecuali diriku.”

Walaupun sudah mengetahui hasrat Rasulullah SAW, Allah SWT menghantar malaikat untuk bertanya kepada kekasih-Nya kenapa Baginda menangis. Rasulullah SAW memohon supaya umat manusia diadili kerana mereka sudah terlalu lama menunggu di Padang Mahsyar. Selepas itu barulah Allah SWT menggerakkan Arasy dan umat manusia mula diadili.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Jangan jadi ejen syaitan

Posted by epondok di Julai 28, 2016

Oleh ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

Persediaan menghadapi ombak ganas media sosial

 

SEMUA sedia maklum Ummul Mukminin Aishah binti Abu Bakar r.a. pernah difitnah oleh golongan munafik Madinah. Fitnah ini berlanjutan selama hampir sebulan dan meresahkan keluarga Rasulullah SAW. Ia seperti ombak ganas yang merempuh tanpa belas kasihan.

Ketika keadaan semakin meruncing, Allah menurunkan ayat daripada surah al-Nur yang membersihkan nama Aishah dan Safwan bin Mu’attal r.a. secara mutlak. Apa yang lebih penting di sebalik kisah ini ialah etika dan panduan menguruskan maklumat yang diterima.

Maha Suci Allah Tuhan Yang Maha Bijaksana, walaupun panduan ini turunnya kira-kira 1,400 tahun dahulu, prinsipnya merentas zaman. Bahkan panduan ini sungguh relevan dengan zaman kita. Berikut adalah “empat panduan” yang diresepikan Allah daripada kisah tersebut:

1. Berbaik sangka terhadap sebarang berita “busuk” yang diterima.

“Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu, orang yang beriman – lelaki dan perempuan, menaruh baik sangka kepada diri (orang) mereka sendiri. Dan berkata: “Ini ialah tuduhan dusta yang nyata,” (al-Nur [24:12]).

Dalam firman lain, Allah menegaskan sangkaan adalah lubuk dosa yang sangat bahaya:

“Wahai orang yang beriman! jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa,” (al-Hujurat [49:12]).

2. Selidik dan pastikan mempunyai bukti sah menurut agama dan bebas daripada kemungkinan ciptaan tangan jahat manusia yang mahir berdusta menggunakan pelbagai teknologi moden. Tanpa bukti yang sah, kita sepatutnya mengabaikan sebarang tuduhan.

“Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang yang dusta,” (al-Nur [24:13]).

3. Timbang dengan neraca agama dan akal, adakah ia perlu disebarkan jika terbukti benar sekalipun. Jika melibatkan aib saudara Muslim kita usah sebar. Bukan semua yang benar boleh disebarkan. Usah bertindak seperti sang malaikat pencatat dosa yang tugasnya melihat keburukan orang lain. Fikir dulu dosa sendiri yang belum tentu mampu ditanggung sebelum sibuk menilai orang lain.

Lihat penegasan Allah dalam ayat ini:

“Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya, kamu segera berkata: “Tidaklah layak bagi kami memperkata hal ini! Maha Suci Engkau (Ya Allah daripada mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah)! Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan,” (al-Nur [24:16]).

4. Jangan jadi ejen syaitan merosakkan keharmonian masyarakat dengan menyebarkan berita aib tanpa keperluan mendesak. Dalam kisah fitnah Aishah r.a., Allah menegur keras umat Islam agar tidak bersekongkol mengikut jejak langkah syaitan:

“Wahai orang yang beriman, janganlah kamu menurut jejak langkah syaitan (dalam penyebaran berita palsu); dan sesiapa yang menurut jejak langkah syaitan maka sesungguhnya syaitan itu sentiasa menyuruh (pengikutnya) melakukan perkara keji dan perbuatan mungkar.

“Dan kalaulah tidak kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu, nescaya tiada seorang pun antara kamu menjadi bersih daripada dosanya selama-lamanya; akan tetapi Allah membersihkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan-Nya); dan (ingatlah Allah Maha Mendengar) lagi Maha Mengetahui,” (al-Nur [24:21]).

Hujung ayat (ayat 21) sangat jelas menyatakan pematuhan kepada panduan al-Quran akan menyelamat kita semua daripada dosa di atas.

Kisah fitnah Aishah r.a. memang perit untuk dibayangkan, tapi hikmahnya sangat besar. Allah langsung menurunkan ayat membersihkan nama beliau dan memberi panduan kepada umat Islam sehingga kiamat agar selamat daripada fitnah ini.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rayuan Derma untuk mangsa kebakaran di Pinggiran Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Julai 27, 2016

IMG-20160722-WA0051

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Anggota badan buktikan kebenaran atas amalan dunia

Posted by epondok di Julai 26, 2016

Oleh Fairuz Noordin

APABILA berada di alam barzakh, kita akan mula menjalani kehidupan alam malakut yang sama sekali berbeza suasananya daripada alam dunia. Manusia akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu golongan orang soleh yang rohnya berada di tempat mulia dan satu lagi orang talih (sesat) di tempat yang keji.

Tetapi keadaan pada Hari Kiamat lebih menggerunkan dan menggemparkan kerana tidak akan ada seorang manusia pun terlepas daripada dihisab ketika berada di padang Mahsyar. Riwayat daripada Abu Hurairah, menceritakan pernah pada suatu ketika Rasulullah SAW ditanya oleh sahabat, “Ya Rasulullah, bolehkah pada hari akhirat nanti kita melihat wajah Allah SWT? Baginda menjawab: Pernahkah kamu melihat matahari dengan jelas pada waktu siang, dalam keadaan yang cerah dan tidak berawan. Atau pernahkah kamu melihat bulan pada malam hari di dalam keadaan yang terang, cerah dan tidak berawan? Lalu dijawab oleh sahabat bahawa mereka dapat melihatnya. Kemudian Rasulullah berkata: Kamu akan dapat melihat wajah Allah di hari akhirat nanti seperti mana kamu dapat melihat matahari dan bulan itu, setelah kamu dihitung dan dihisab setiap amalan pada hari kiamat nanti.”

Saksi buktikan kebenaran

Baginda kemudian menceritakan, dibawa seorang hamba di padang Mahsyar di hadapan khalayak orang ramai dan ditanya oleh Allah: “Tidakkah Aku telah memberikan pendengaran kepada kamu dahulu, penglihatan, harta dan anak kepada kamu? Bukankah telah Aku permudahkan haiwan ternakan dan ladang pertanian dalam hidup kamu? Bukankah Aku telah memudahkan bagi kamu dengan menjadikan dalam kalangan kamu pemerintah, dan satu perempat daripada hasil ternakan dan pertanian diambil oleh pemerintah? Adakah kamu tidak pernah berfikir bahawa kamu akan menemui Aku pada hari ini? Dijawab oleh hamba itu: Tidak ya Allah, kerana ketika hidup di dunia dahulu, aku terlalu sibuk dan tidak terfikir akan adanya hari di padang Mahsyar.

Lalu Allah SWT berfirman: Hari ini Aku tidak akan mempedulikan kamu sebagaimana kamu tidak mengingati Aku. Kemudian dibawakan hamba yang kedua, disoal oleh Allah SWT perkara sama dan hamba itu menjawab: Tidak ya Allah, kerana ketika hidup di dunia dahulu aku terlalu sibuk dengan pelbagai urusan.”

Perkara itu berulang kepada hamba lain di hadapan Allah SWT sehingga tiba giliran seorang hamba yang disoal oleh Allah SWT, dia menjawab: “Ya Allah, ketika hidup di dunia dahulu, aku adalah seorang yang beriman dengan kitab-Mu dan Rasul-Mu. Aku mendirikan solat, bersedekah dan berpuasa, kemudian aku melakukan kebaikan semampuku. Kemudian Allah SWT berkata: Sekarang Aku bawakan saksi untuk membuktikan kebenaran kata-katamu. Hamba itu bertanya siapakah yang akan menjadikan saksi kepada dirinya? Lalu Allah SWT menutup mulut hamba itu, dan memerintahkan seluruh anggota tubuh hamba itu untuk bercakap dan menceritakan amalan yang pernah dilakukannya dahulu.

Begitulah keadaan yang akan dilalui manusia seperti dijelaskan Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm. Beliau kemudian menerangkan firman Allah SWT dalam surah al-Zukhruf, ayat 45 yang bermaksud: “Dan bertanyalah kepada umat mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain Allah Yang Maha Pemurah.”

Di padang Mahsyar nanti Allah SWT akan bertanya sama ada betul atau tidak seseorang itu beriman kepada-Nya dengan membuktikannya di hadapan Allah SWT. Rasulullah SAW juga sering mengingatkan supaya sentiasa bersedia menghadapi hari kita akan disoal apa yang dilakukan ketika hidup di dunia.

Empat perkara dihisab

Malah, telapak kaki anak Adam ini tidak akan tergerak di padang Mahsyar sehingga selesai disoal oleh Allah SWT mengenai empat perkara iaitu ke mana manusia menghabiskan umurnya, bagaimana menggunakan tubuh badan dan jasad sehingga hari tua. Ketiga, adakah mengamalkan ilmu yang telah diperoleh dan keempat mengenai harta benda dari mana sumbernya dan ke manakah ia dibelanjakan.

Ulama berpendapat Hari Kiamat juga dikenali sebagai hari penyaksian ditafsirkan kepada tiga iaitu kesaksian Rasulullah SAW terhadap amalan umatnya, penyaksian alam sama ada bumi, langit dan segala berada di dalamnya serta penyaksian anggota badan manusia terhadap semua yang dilakukannya

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/175824

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Daftar masuk pelajar muslimat Pondok Pasir Tumboh dibekukan sementara waktu

Posted by epondok di Julai 22, 2016

Pihak pentadbiran Pondok Pasir Tumboh dengan ini memaklumkan bahawa pendaftaran masuk pelajar muslimat baru ke madrasah bagi pengambilan baru Syawal ini dibekukan buat sementara waktu kerana masalah penempatan dan beberapa perkara berkaitan

Sebarang maklumat sila hubungi pejabat 097657786 atau 0199388902

Kami mencadangkan agar pelajar muslimat untuk mendaftar masuk ke Pondok-pondok berkenaan sebagai alternatif

1. Pondok Beta Hilir, Kota Bharu

2. Pondok Gelang Mas, Pasir Mas

3. Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas

4. Pondok Kg Neting, Tumpat

5. Pondok Seligi, Pasir Puteh

6. Pondok Bukit Awang, Pasir Putih

7. Pondok Lubok Setol, Rantau Panjang

 

Alamat dan no telefon sila rujuk blog berikut

https://epondok.wordpress.com/2016/07/10/pondok-kelantan-yang-terima-pelajar-muslimat/

Posted in Pondok Pasir Tumboh | Leave a Comment »

Menangani punca kelemahan umat Islam

Posted by epondok di Julai 21, 2016

Mohd. Shauki Abd Majid

 

DAKWAH Islamiah adalah suatu usaha untuk membentuk pemikiran dan sikap manusia supaya berada di dalam satu acuan yang ditentukan oleh Allah SWT. Untuk mencapai matlamat tersebut banyak halangan terpaksa dihadapi oleh dakwah.

 

Kekuatan ukhuwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhuwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam.

Di samping itu kita juga melihat bagaimana Barat sewenang-wenang menggunakan media bagi mengecam orang Islam dan negara-negara Islam dengan pelbagai istilah.

Mereka menggambarkan Islam sebagai penghalang kepada kemajuan dan kerana itulah masyarakat Islam dilihat sebagai ortodoks, fundamental dan konservatif.

Istilah-istilah itu kemudiannya menjadi lebih keras dan kasar sehingga menampakkan setiap tindakan yang diambil oleh orang Islam sebagai menakutkan sehingga terlahir Islamofobia, dan dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan, rampasan kuasa dan tindakan jenayah lain.

Maka dengan itu ikon Islam sudah dilihat sebagai sesuatu yang salah dan bertentangan dengan kebebasan manusia. Begitu juga menara masjid telah dilihat sebagai faktor yang mendorong kepada keganasan.

Perspektif salah ini sedang berkembang dalam masyarakat Barat sehingga ada negara berusaha menggubal undang-undang bagi melarang apa sahaja unsur yang boleh dihubungkan dengan Islam.

Persoalan ini bukanlah mudah untuk ditangani sebaliknya memerlukan kerjasama semua pihak bagi melakarkan kembali kemurnian Islam sehingga berjaya mengikis pandangan serong terhadap apa yang mereka fahami mengenai konsep perang suci atau jihad.

Jika ada sebarang salah faham, perselisihan hendaklah diselesaikan secara yang paling baik dan berhemah, tidak ikut melawan dengan kekerasan.

Usaha dialog yang aktif juga akan mengikis gejala Islamofobia rasa gerun dan takut kepada agama Islam dan penganutnya oleh sebahagian masyarakat dunia pada hari ini.

Globalisasi sebenarnya telah dimulakan oleh Islam. Kalau kita lihat sejarahnya, perkembangan Islam walaupun pada awal kemunculannya hanya dalam kalangan orang Arab, keluasan pengaruhnya telah menjalar ke seluruh pelosok kehidupan manusia. Hampir tidak ada negara yang tidak mempunyai penganut Islam, walaupun majoritinya bukan Islam.

Kini, jumlah penganut Islam adalah yang kedua terbanyak selepas penganut Kristian. Menurut anggaran, dalam 10 orang penduduk dunia, empat orang beragama Islam. Ini membuktikan walaupun ada cercaan dan usaha memburuk-burukkan Islam, penganut Islam terus bertambah sehingga berupaya mengatasi penganut agama lain selain Kristian.

Ada juga pendapat mengatakan dalam masa 100 tahun lagi, Islam akan muncul sebagai agama yang paling banyak penganutnya. Ini kerana pertumbuhan semula jadi dan pertambahan umat Islam baru meningkat begitu cepat berbanding agama-agama lain.

Faktor globalisasi yang mendera orang Islam menjadikan lebih ramai yang bersimpati. Simpati ini terus menyebabkan mereka melihat kelompok agama lain yang menyeksa masyarakat Islam sebenarnya melakukan keganasan.

Dari sudut ini, Islam semakin mendapat kekuatan apabila masyarakat Barat turut mempersoalkan tindakan kerajaan mereka memenjarakan orang Islam tanpa diberikan hak membela diri dan dibicarakan. Masyarakat Islam sebenarnya telah dihukum berdasarkan prasangka.

Ini menarik minat para cendekiawan Barat menilai kembali Islam dan akhirnya mereka menemui Islam sebagai agama terbaik yang pernah hadir dalam kehidupan manusia.

Banyak tokoh yang kita dapat jadikan teladan mengenai pencarian ini, termasuk Jeffrey Lang, seorang pakar matematik yang telah menulis beberapa buah buku mengenai keyakinannya terhadap Islam walaupun sebelumnya beliau seorang ateis.

Masalah dakwah seterusnya ialah pengaruh Barat yang menebal dalam kalangan orang Islam. Ini disebabkan hampir keseluruhan masyarakat Islam pernah dijajah oleh Barat.

Walaupun sekarang semua negara Islam telah merdeka, namun kesan penjajahan fikiran masih wujud.

Oleh kerana penjajah yang pernah menguasai negara-negara Islam terdiri daripada orang Kristian Barat yang kebanyakan sistem nilainya tidak sama dengan sistem nilai Islam, maka pemikiran dan perwatakan masyarakat Islam sehingga sekarang banyak yang bercanggah dengan yang dianjurkan oleh Islam.

Untuk mengikis pengaruh yang dianggap telah sebati ini memerlukan usaha yang lebih, kerana terpaksa menghadapi banyak masalah yang merintang.

Demikian juga dengan pengaruh kebendaan yang agak menebal dalam kalangan sesetengah masyarakat Islam. Oleh kerana kebanyakan negara Islam mempunyai kedudukan ekonomi yang baik, maka pengaruh tersebut sukar untuk diatasi sedangkan Islam mementingkan bukan sahaja kesenangan di dunia malah juga di akhirat. Ciri-ciri yang dibawa oleh Islam seperti ini akan bertembung dengan jiwa kebendaan yang melihat kesenangan bagi manusia itu semata-mata ada di dunia sahaja.

Masalah lain ialah perpecahan dalam kalangan umat Islam. Rata-rata umat Islam di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara Islam sendiri berpecah menjadi beberapa kumpulan.

Akibat daripada perpecahan ini banyak masalah tidak dapat diselesaikan. Walaupun Islam sangat mengambil berat kepada perpaduan, tetapi masyarakat Islam terus berpecah dan menjadi lemah.

Banyak sebab mengapa umat Islam berpecah, antaranya kerana lahirnya berbagai-bagai parti politik dan pertubuhan dakwah, sedangkan sebahagian daripada umat Islam adalah jahil tentang Islam dan ramai yang buta huruf.

Di samping itu, orang Islam mempunyai sifat taksub kepada pemimpin. Akibat perpecahan ini, dakwah menghadapi masalah kerana sesuatu kumpulan tidak akan senang untuk menerima buah fikiran dari bukan kumpulannya.

Demikian juga wujudnya anggapan bahawa tanggungjawab dakwah bukan urusan setiap orang Islam dengan adanya anggapan sedemikian dalam kalangan orang Islam sekarang, maka tugas dakwah dibiarkan kepada sekumpulan orang sahaja.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Jangan abaikan didikan akhlak

Posted by epondok di Julai 20, 2016

WAN MOHD. RUZLAN WAN OMAR

 

SESEKALI kita dikejutkan dengan berita guru bertindak melampau terhadap anak murid. Biasanya apabila ini berlaku, masyarakat akan bingkas membuat komen melulu sehingga mencalar imej dan kemuliaan kerjaya pendidik yang selama ini dipandang tinggi.

Kita percaya majoriti pendidik di negara kita begitu gigih melaksanakan amanah secara istiqamah dan jujur. Sekolah adalah tempat mencari ilmu namun sekolah juga tapak menghasilkan modal insan yang hebat dari segi akhlak peribadi. Jadi, walau apapun mata pelajaran yang seseorang guru itu mengajar, didikan akhlak turut diselitkan.

Mengambil pedoman daripada sirah Nabi Muhammad SAW ketika memulakan gerakan dakwah, baginda bersabda, “Aku diutuskan bagi menyempurnakan akhlak yang mulia.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi)

Kemudian Baginda menegaskan lagi yang bermaksud, “Antara jalan kebahagiaan bagi manusia adalah mempunyai akhlak yang mulia.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Oleh yang demikian, seseorang guru mesti melihat aspek pembentukan sahsiah diri anak didik sebagai fokus utama dalam proses pembelajaran dan pengajarannya.

Kita sedia maklum dalam era masyarakat moden hari ini, ramai yang lebih memberi tumpuan kepada kejayaan akademik anak-anak. Pendidikan akhlak anak-anak diberikan semasa subjek Agama Islam, Sivik dan Pendidikan Moral sahaja. Itu pun untuk menghadapi peperiksaan juga.

Sistem pendidikan negara mesti kembali melihat aspek pendidikan akhlak sebagai elemen wajib yang seharusnya diterapkan dalam setiap mata pelajaran di sekolah. Jangan asing-asingkan elemen akademik dengan akhlak kerana impak yang sangat buruk mulai nampak sekarang apabila kalangan pelajar ada yang cemerlang pencapaian akademiknya tetapi sangat tempang dari segi akhlak. Apakah kita hendak berbangga dengan pencapaian sebegini?

Salah satu punca berlakunya gejala sosial dalam kala­ngan belia dan remaja dewasa ini juga banyak diakibatkan oleh kurangnya didikan agama dan akhlak. Soal penerapan nilai murni seakan-akan tertinggal di belakang, lantaran terlalu mengejar pencapaian keputusan tertinggi dalam peperiksaan.

Bukan sahaja sekolah berlumba-lumba untuk mencapai status terbilang dan berprestasi tinggi malah kalangan ibu bapa juga turut menyumbang kepada kemerosotan akhlak anak-anak kerana lebih mengejar gred A dalam akademik.

Falsafah Pendidikan Negara(FPN) yang menekankan perkembangan potensi individu secara menyeluruh untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmoni dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan, perlu dihayati semula oleh semua pendidik.

Dalam mencurahkan ilmu pengetahuan, soal akhlak anak-anak didik tidak patut sama sekali dikesampingkan. Seorang guru bukan hanya pengajar ilmu pengetahuan namun adalah juga pendidik akhlak.

Akhir-akhir kini, kita sudah biasa sangat mendengar anak-anak muda yang masih di bangku sekolah bercakap dengan orang lebih tua dengan gaya dan bahasa yang sangat kasar, tidak ada lagi tertib adab menghormati. Ibarat kata :, “Negara akan menjadi agung jika warganya terdiri daripada insan-insan yang mengamalkan budaya murni.”

Keseimbangan antara pemerolehan ilmu pengetahuan dengan keperibadian akhlak seharusnya terus menjadi pegangan kita semua. Dalam hal ini, rumah tangga dan sekolah adalah wadah pertama yang perlu memainkan peranan masing-masing dengan sempurna. Ibu bapa juga tidak sewajarnya hanya bersikap ‘menswastakan’ pendidikan anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Kedua-dua pihak seharusnya seiringan dalam membina keperibadian terbaik buat anak-anak .

Justeru, semua pihak seharusnya kembali melihat kepentingan didikan akhlak dan moral sebagai agenda utama untuk disediakan kepada anak-anak. Jangan hanya berbangga dengan hebatnya akademik, sedangkan pada ketika yang sama, aspek akhlak peribadi begitu merosot sekali.

Akhir sekali mari kita hayati secara mendalam maksud pantun berikut ini. ‘Teguh rumah kerana sendi. Runtuh sendi rumah binasa. Sendi bangsa ialah budi. Runtuh budi maka runtuhlah bangsa.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ziarah Syawal ikut sunnah nabi s.a.w

Posted by epondok di Julai 19, 2016

Oleh Norhayati Paradi

MUSTAHIL untuk kembali ke 1400 tahun lampau dan hidup bersama Rasulullah SAW tetapi tidak mustahil membawa Baginda ke dalam kehidupan di abad ke-21 ini dengan meneladani setiap sunahnya. Ini termasuklah meneladani cara meraikan Aidilfitri serta tatacara ziarah menziarahi.

Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah memuliakan tetamu dengan memberi layanan kepadanya. Sahabat bertanya: Apakah layanan itu wahai Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab: Layanan istimewa selama sehari semalam, dan tempoh layanan sebagai tetamu hendaklah dalam masa tiga hari, layanan yang diberikan selepas tempoh itu dikira sebagai sedekah.” (Muttafaqun ‘Alaihi)

Pendakwah dari Jakarta, Ustazah Halimah Alaydrus, menerusi program khas sempena Aidilfitri di IKIMfm berkata, hendaklah kita pasangkan niat yang baik serta mengharapkan pahala saat menerima kunjungan tetamu dengan memberi sambutan serta hidangan yang baik. Dengan demikian katanya, kedua-dua belah pihak akan mendapat pahala daripada amalan ziarah-menziarahi dan saling berkunjung itu.

Selaku tuan rumah, terima tetamu dengan hormat serta memuliakannya. Tampilkan perasaan berlapang dada dan mengalu-alukan kehadiran tetamu dengan senyuman di wajah yang ceria kerana kehadiran tetamu adalah suatu rahmat daripada Allah SWT. Pilih waktu sesuai Abu Hurairah berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai sekalian manusia, janganlah kalian membenci tamu kerana sesungguhnya jika ada tamu yang datang, maka dia akan datang dengan membawa rezekinya. Dan jika dia pulang, maka dia akan pulang dengan membawa dosa pemilik rumah.”

Lazimnya, Aidilfitri menjadi asbab pintu rumah dibuka untuk menerima tetamu pada bila-bila masa sahaja. Namun, sebagai tetamu pilihlah waktu yang tepat untuk berziarah dan sebaiknya memaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah supaya mereka dapat bersedia dengan lebih sempurna. Penting untuk tetamu menjaga adab beristi’dzan (meminta izin) supaya terhindar daripada hal bertentangan akhlak Islami. Etika dan adab ini bertepatan dengan firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya. Yang demikian itu lebih baik bagimu, supaya kamu (selalu) ingat.” (Surah an-Nur, ayat 27)

Antara adab perlu dipelihara termasuk mengetuk pintu sebanyak tiga kali. Jika tidak ada jawapan, maka hendaknya ia pergi seperti mana firman Allah SWT yang bermaksud: “Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu kembali (sajalah), maka hendaklah kamu kembali. Itu lebih bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nur, ayat 28)

Iringi tamu pulang Ketukan pula tidak terlalu kuat yang boleh membuatkan tuan rumah terkejut, seterusnya memperkenalkan diri dan elakkan daripada memandang tepat ke pintu. Ucapkan salam sebelum masuk dan jaga pandangan semasa di dalam rumah. Bak kata orang tua-tua, layanlah tetamu umpama raja dan hidangkan apa yang ada semampunya.

Sediakan jamuan mengikut kemampuan dan elakkan pembaziran. Nabi SAW berpesan, hendaklah makan bersama tetamu kerana di situ terdapat keberkatan dan mengelakkan tetamu segan makan bersendirian.

Akhir sekali, hantar tetamu yang ingin pulang sehingga ke muka pintu sebagai tanda memuliakan dan mengormatinya. Seeloknya, tunggu seketika di ambang pintu rumah sehingga tetamu berlalu pergi atau kenderaannya sudah bergerak. Abu ‘Ubaid pernah mengunjungi Imam Ahmad di rumahnya. Dia bercerita: “Ketika aku bangkit ingin pulang, Imam Ahmad juga bangun bersamaku. Aku berkata: Jangan susah wahai Abu Abdillah. Beliau mengatakan: Termasuk kesempurnaan memuliakan tetamu ialah tuan rumah berjalan bersama tetamu hingga ke pintu rumah dan sehingga mereka menaiki kenderaannya.”

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Syawal penanda aras tarbiah Ramadan

Posted by epondok di Julai 18, 2016

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

RAMADAN sudah berlalu meninggalkan kita 12 hari lalu. Sambutan Aidilfitri terus meriah di sana-sini. Bergembira dalam Syawal tidak ditegah. Malah Rasulullah SAW sendiri membenarkan umat Islam bergembira menyambut Aidilfitri asalkan dilaksana dan dizahirkan dalam bentuk yang diterima Islam.

Alhamdulillah, demikian nikmat hidup di Malaysia. Suasana aman dan damai membolehkan kita menyambut hari raya dengan penuh gembira dan ceria di samping keluarga tercinta.

Sayangnya, dalam kegembiraan Aidilfitri, masjid dan surau kembali sepi. Jika dalam Ramadan, setiap waktu solat masjid dan surau dipenuhi jemaah. Waktu subuh yang dulunya mencecah lima ke enam saf kini, yang tinggal berjemaah boleh dibilang dengan jari.

Sebenarnya, inilah penanda aras orang Mukmin sama ada tarbiah madrasah Ramadan yang ditempuh selama 30 hari itu berjaya mendidik seseorang bertakwa atau tidak? Inilah yang ditegaskan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)”? (al-Ankabuut: 2)

Semasa Ramadan, syaitan dirantai dan dibelenggu, yang ada hanya nafsu. Kini selepas hari raya fitrah, syaitan kembali bergabung dengan sekutu lamanya iaitu nafsu untuk melihat sejauh mana kentalnya pertahanan yang ada dalam diri orang Islam.

Barangkali yang ‘hebat’ dalam Syawal adalah bilangan yang solat sunat Aidilfitri. Dapat dilihat di mana-mana pun, waima di kampung atau di ibu kota, bilangan yang hadir berjemaah pada Rabu, 6 Julai melimpah ruah. Namun, pada solat Jumaat dua hari kemudiannya, bilangan jemaah tidak sepadat dan sesendat solat hari raya.

Kejayaan puasa kita sebenarnya diukur selepas kita melewati bulan Ramadan. Ada orang sepanjang Ramadan pergi ke masjid dan surau, tetapi selesai Ramadan, perkara itu tidak lagi dilakukan maka itu namanya ‘hamba Ramadan’ bukannya hamba Allah.

Ulama berkata, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan. Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim.

Jika sepanjang Ramadan kita bersungguh-sungguh menghidupkan malamnya dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiam (solat tarawih), ia sepatutnya diteruskan pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajud. Demikian juga dengan solat sunat-sunat yang lain dan juga budaya membaca al-Quran. Jangan dibiar al-Quran suci dalam debu.

Selain itu, antara amalan lain disarankan selepas Ra­madan adalah mengerjakan puasa sunat enam hari pada bulan Syawal. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa selama setahun. (Riwayat Muslim)

Mereka yang berjaya diubah oleh tarbiah Ramadan adalah insan yang amat beruntung kerana terlepas daripada kehinaan sebagaimana dinyatakan oleh Baginda SAW. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Amat jauh daripada rahmat Allah SWT bagi sesiapa yang sempat bertemu bulan Ramadan, tetapi tidak menggunakan peluang dengan sebaiknya, maka Allah tidak mengampunkannya.” (Riwayat Hakim).

Dalam kesempatan Aidilfitri, amalkan ziarah menziarahi dan merapatkan hubungan baik (ukhuwah) sesama Muslim. Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya dan ditangguhkan (dipanjang) umurnya, maka hendaklah dia menyambung (mengukuh) hubungan persaudaraannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »