Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ramadan madrasah terbaik disiplin diri

Posted by epondok di Jun 23, 2016


Oleh Prof Dr Muhaya Mohammad

 

Dua perkara yang perlu kita jaga dalam kehidupan adalah masa dan bagaimana memanfaatkan masa kerana waktu berlalu bagai arus sungai yang lurus, begitu pantas serta tidak akan berpatah balik. Seperti Ramadan ini, akan terus berlalu tanpa menunggu kita yang leka tidak mengejarnya. Alangkah ruginya jika kita tidak dapat memanfaatkan waktu pada bulan mulia ini untuk mempertingkatkan amal kepada Allah SWT dari semasa ke semasa.

Kata Ibnu Mas’ud: “Waktu yang kusesali adalah jika pagi hingga matahari terbenam, amalku tidak bertambah sedikit pun, pada hal aku tahu saat ini umurku telah berkurang.”

Ingatlah, jika kita tidak mengambil peluang keemasan pada Ramadan ini, Ramadan akan datang belum tentu kita bertemunya lagi. Lihatlah berapa ramai sahabat dan saudara yang dipanggil pulang Allah SWT kepangkuan-Nya, sebulan malah ada yang sehari sebelum datangnya Ramadan kali ini. Justeru, gunakan masa sebaik mungkin dengan menyeimbangkan antara keperluan kehidupan dunia dan akhirat. Sesungguhnya jika kita mendahulukan akhirat, dunia akan mengekori tetapi jika kita mendahulukan dunia, akhirat akan tercicir.

Peruntukkan masa khusus untuk beribadah kepada Allah SWT di samping mencari jalan bagaimana boleh melaksanakan kerja duniawi dan akhirat pada satu masa bagi meraih pahala. Contohnya, mendengar dan membaca al-Quran sepanjang perjalanan pergi serta balik bekerja melalui sistem audio dalam kereta. Isikan masa dengan beristighfar dan bertasbih. Ulama, Ibnu al-Jauzi berkata: “Istighfar itu ibarat sabun, manakala tasbih umpama minyak wangi.”

Transformasi diri dan rohani

Ramadan adalah bulan ketaatan, al-Quran, kerahmatan dan pengampunan maka sucikan hati dengan istighfar serta harumkan jiwa dengan tasbih. Bersujud kepada Allah SWT, mohon keampunan kepada-Nya dengan taubat nasuha. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawah sungai-sungai.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Janganlah apabila saat kematian sudah tiba baru kita sesal kesilapan diri dan menyedari kita tertipu dengan usia muda kerana syarat mati tidak mesti tua. Jangan tunggu hingga saat pintu taubat telah tertutup, sudah nazak, nyawa terancam, baru hendak bertaubat kerana segala-galanya telah terlambat. Sesungguhnya nilai manusia di sisi Allah SWT diukur dengan dua perkara, pertama, ketakwaan dan kedua, akhlak yang baik dengan manusia. Jika kita hebat macam mana sekali pun tetapi tidak bertakwa, di akhirat nanti kita tiada nilai di sisi Allah SWT. Kekayaan, harta, kedudukan, gelaran atau pangkat di dunia yang menjadikan nilai hidup kita tinggi di mata manusia, semuanya akan ditinggalkan apabila kita mati. Jasad dibawa masuk ke liang lahad hanya dengan sehelai kain kafan, dosa dan pahala yang dibawa untuk menghadap Allah SWT.

Jadikan Ramadan transformasi untuk membangunkan keperibadian dari segi kerohanian serta mendisiplinkan kehidupan harian pada bulan seterusnya selepas Ramadan. Selama sebulan kita telah melalui ‘madrasah Ramadan’ dengan empat disiplin.

Puasa disiplinkan diri

Pertama, puasa mendisiplinkan kita menjaga kesihatan fizikal, mengawal pemakanan kita, bagus untuk pesakit diabetes bahkan baik juga untuk pesakit jantung koronari yang boleh disebabkan oleh hiperlipidemia (tinggi kolesterol). Apabila kita tidak makan pada siang hari, limpa dan organ lain dalam tubuh akan mengeluarkan bahan glukosa yang lama disimpan dalam tubuh. Selain itu berpuasa boleh mengawal berat badan dan sangat bagus untuk kesihatan diri.

Kedua, puasa membina kecerdasan minda dan minda yang positif akan menghasilkan emosi positif serta memberi kekuatan kerohanian. Ketika berpuasa, kita mengelakkan minda daripada berfikir negatif, bercakap negatif serta bersangka negatif yang akan mengurangkan pahala puasa selain menjadi racun kepada minda.

Ketiga, puasa meningkatkan hubungan silaturahim dengan banyak bersedekah, lebihkan memberi daripada menerima serta sentiasa ikhlas dan akhirnya, puasa mendisiplinkan kita dalam pengurusan kewangan. Tidak membazir di bazar Ramadan, membeli secara berpatutan berdasarkan keperluan kita dan ahli keluarga. Maknanya, dengan iman kita melawan nafsu yang berlebihan terhadap makanan ketika berpuasa. Niatkan ke bazar Ramadan untuk menyokong ekonomi orang lain yang mengambil peluang sempena Ramadan mencari pendapatan tambahan dengan berniaga.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: