Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Amal soleh kenderaan ke syurga

Posted by epondok di Jun 22, 2016


Oleh Fairuz Noordin

 

DIRIWAYATKAN oleh Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW: “Manusia ini akan dikumpulkan dalam tiga kelompok. Dalam keadaan satu kumpulan adalah mereka yang rindu kepada Allah SWT dan sentiasa takut kepada-Nya. Dan satu kumpulan lagi adalah kumpulan yang berangkat dengan menunggang satu unta berdua, satu unta untuk bertiga, satu unta untuk berempat dan satu untuk 10 orang sedangkan bakinya dihimpun oleh api. Di mana api-api itu akan sentiasa bersama dengan mereka baik pada siang mahupun malam, pagi mahu pun petang.”

Kebangkitan kedua berlaku ketika di dunia lagi seperti hadis riwayat Muslim, dinyatakan tanda berlakunya Hari Kiamat adalah keluarnya api dari dalam batu besar dan semua manusia lari mengelakkan diri daripadanya. Ketika hampir berlakunya Hari Kiamat, Allah akan mula mengumpulkan manusia dan bergerak dalam tiga kumpulan iaitu kalangan orang soleh, kumpulan manusia yang bercampur antara amalan baik dan buruknya dan kumpulan terdiri daripada orang kafir.

Orang soleh rindu bertemu Ilahi

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, orang yang soleh sentiasa merindui untuk bertemu Allah SWT kerana akan memperoleh apa yang dijanjikan oleh Allah SWT berdasar amalan soleh yang telah mereka lakukan. Sementara dalam hadis menyebut orang yang akan menunggang unta adalah orang yang diampuni dosanya oleh Allah SWT dan tidak diazab, walaupun tahap syurga berbeza-beza sama ada pada tahap paling tinggi atau paling bawah dalam kalangan ahli syurga.

Kumpulan kedua adalah golongan yang akan diazab oleh Allah SWT kerana dosa mereka, tetapi kemudian akan dikeluarkan daripada neraka lalu dimasukkan ke syurga. Mereka ini pada suatu ketika akan berjalan kaki dan ada ketikanya menunggang unta. Setelah dekat dengan Padang Mahsyar mereka turun daripada kenderaan dan berjalan kaki.

Kumpulan ketiga ialah golongan yang berjalan dengan muka mereka iaitu orang kafir. Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Manusia akan dikumpulkan pada tiga kumpulan iaitu kumpulan pejalan kaki, kedua ialah kumpulan yang berkenderaan dan ketiga ialah manusia yang diusir yang berjalan dengan muka mereka. Apabila sahabat bertanya kepada Baginda mengenai golongan yang berjalan dengan muka mereka, Rasulullah SAW menjawab: Yang berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan kedua-dua kakinya, berkuasa pula menjadikan mereka berjalan dengan muka-mukanya. Sedangkan orang yang bertakwa, pada wajah mereka kelihatan berada pada kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, “Pernah suatu ketika Rasulullah SAW berdiri dalam kalangan kami, Baginda memberi satu peringatan yang kuat dengan berkata: Kamu semua ini akan dikumpulkan di Padang Mahsyar Allah dalam keadaan kamu ini tidak beralas kaki, telanjang dan tidak dikhatankan, sebagaimana kami telah awalkan, kami telah memulai penciptaan kamu dan telah kami janjikan kepada kamu dengan janji yang pasti kami tepati di mana kami akan lakukan apa yang telah kami janjikan kepada kamu itu. Orang yang pertama yang akan dipakaikan pakaian pada Hari Kiamat nanti ialah Nabi Ibrahim.”

Mudah lintasi titian sirat

Pengusiran yang terakhir adalah ketika manusia dimasukkan ke dalam syurga atau dihumban ke dalam api neraka. Pada waktu ini amal soleh akan berubah menjadi kenderaan memudahkan kita melintasi titian sirat dan menuju syurga, manakala orang yang derhaka kepada Allah SWT akan diusir ke neraka jahanam dalam keadaan mereka berasa amat dahaga.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: