Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ramadan ringankan azab kubur

Posted by epondok di Jun 13, 2016


Oleh Fairuz Noordin

KEDATANGAN Ramadan memang dinantikan oleh Rasulullah SAW dan sahabat, kerana ia adalah hadiah paling istimewa daripada Allah SWT kepada umat Baginda. Ini antara cara Allah SWT menunjukkan rasa sayang kepada kita.

Sebelum diutuskan Nabi Muhammad SAW, umat manusia hanya masyhur dengan bulan Rejab, Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam. Allah SWT mula menonjolkan Ramadan kepada umat Muhammad kerana usia mereka yang tidak panjang iaitu antara 60 sehingga 70 tahun. Kasih sayang Allah SWT kepada manusia masih hidup kerana ketika Ramadan ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatulqadar yang menjadi rebutan orang Mukmin.

Perkongsian Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm setiap Khamis, jam 5.15 petang menjelaskan, Allah SWT juga memberi kelebihan kepada mereka yang meninggal dunia kerana dikurniakan kenikmatan luar biasa iaitu diringankan azab kubur pada Ramadan kecuali mereka yang kufur kepada-Nya. Sehinggalah saat kedengaran takbir pada malam hari raya pertama, mereka akan menangis teresak-esak dan menyebut: “Alangkah untungnya kamu yang masih hidup kerana diberi peluang oleh Allah SWT untuk beribadah, manakala kami sudah tidak ada lagi peluang sebegitu rupa.”

Manfaat malam lailatulqadar Mereka yang berpeluang beribadah pada malam lailatulqadar, pahala dikurniakan menyamai ibadah selama 70 tahun. Rasulullah SAW sering kali berdoa: “Ya Allah panjangkanlah umurku supaya aku berkesempatan untuk bertemu dengan Ramadan.”

Ada beberapa persiapan perlu dilakukan menghadapi Ramadan, pertama ialah memasuki bulan ini dengan ilmu. Menurut ulama, ilmu itu disusun sejak bulan Rejab apabila Allah SWT meminta kita menguatkan keyakinan melalui peristiwa Israk dan Mikraj. Memahami Israk dan Mikraj penting kerana hidup kita sering diuji oleh Allah SWT yang ada kala menyebabkan kita hampir berputus asa serta mula menyalahkan takdir. Tidak ada orang beriman yang tidak diuji oleh Allah SWT. Firman-Nya yang bermaksud: “Alif, Laam, Miim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah mengenai orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya mengenai orang yang berdusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 1-3)

Kepentingan ilmu Ilmu penting supaya kita tidak tergolong dalam kalangan mereka yang berpuasa ketika Ramadan tetapi masih melakukan perkara mungkar seperti mendedahkan aurat, meninggalkan solat, mengumpat serta melakukan maksiat. Begitu juga peristiwa pertukaran kiblat ketika Syaaban disebabkan Rasulullah SAW sedih apabila diejek oleh orang Yahudi kerana bersolat ke arah kiblat yang sama dengan mereka. Lalu Baginda berdoa kepada Allah SWT memohon arah kiblat ditukar, setahun kemudian Allah SWT memerintahkan kiblat ditukar ke arah Masjidilharam. Peristiwa itu mengajar kita supaya tidak berputus asa terus berdoa dan sentiasa mengharap kepada Allah SWT terutama ketika Ramadan.

Persediaan kedua yang harus dilakukan menghadapi Ramadan ialah perlu ada perasaan sangat menginginkan atau mendambakan hadirnya bulan mulia ini kerana itu tanda orang Mukmin. Perasaan itu mendorong kita membuat persiapan sebaik mungkin dan bersyukur dipertemukan dengan Ramadan. Seterusnya, mengetahui apa yang Allah SWT sediakan ketika Ramadan untuk hamba-Nya dan tentukan matlamat ingin dicapai pada bulan ini. Ulama menjelaskan, Allah SWT menjadikan Ramadan dengan ribuan matlamat supaya kita ditetapkan dalam kalangan mereka yang bertakwa.

Tinggalkan komen