Allah SWT berfirman yang bermaksud “Wahai orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa”. (Surah al–Baqarah: Ayat 183).

Pelbagai manfaat yang boleh diperoleh melalui kedatangan bulan yang mulia ini antaranya manfaat kesihatan di mana ibadah berpuasa dapat membersihkan segala kekotoran yang ter­dapat dalam tubuh badan seseorang serta pada masa sama meningkatkan kadar kesihatan individu terbabit.

Terdapat juga manfaat ekonomi di mana ibadah di bulan puasa ini dapat membendung seseorang itu daripada melakukan pembaziran terutamanya dari aspek pembelian makanan dan minuman. Ibadah puasa juga menawarkan manfaat jalinan persaudaraan sesama Islam serta pada masa sama dapat meningkat keimanan terhadap Allah SWT.

Adalah penting juga untuk diketahui ibadah di bulan Ramadan ini melatih umat Islam untuk melakukan segala amalan dengan sederhana serta tidak melampau. Ini adalah penting bagi melatih umat Islam supaya lebih bersabar, berdisiplin serta memupuk akhlak yang baik.

Tidak dapat dinafikan, pelbagai jenis dugaan akan hadir dalam mengharungi bulan Ramadan terutamanya aspek pembelian juadah makanan dan minuman untuk berbuka puasa (iftar) serta penyediaan sarapan waktu sahur.

Pelbagai jenis makanan dan minuman yang dijual di bazar Ramadan, restoran termasuk juga segala promosi bufet yang ditawarkan oleh pihak hotel bagi menarik perhatian pengguna.

Jika seseorang pengguna Islam tidak dapat mengawal nafsunya sudah pasti pembaziran makanan akan berlaku. Ini sudah pasti akan menjejaskan tujuan berpuasa itu sendiri selain daripada makan dan minum dengan melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa seseorang itu.

Islam amat melarang keras umatnya untuk melakukan pembaziran sehingga Allah SWT menyifatkan orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman Allah SWT dalam Surah Al–Israa’ Ayat 26–27 yang bermaksud: “…dan janganlah kamu belanjakan harta kamu dengan boros yang melampau–lampau. Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur (ingkar) kepada Tuhannya”.

Allah SWT juga telah berfirman dalam Surah Al–A’raf Ayat 31 yang bermaksud “…dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang yang melampaui batas”. Ayat ini jelas menunjukkan peringatan dan larangan Allah SWT terhadap manusia supaya tidak mengamalkan pembaziran serta melakukan sebarang tindakan secara melampau–lampau.

Isu pembaziran makanan dalam negara kita bukanlah satu isu yang baharu diperkatakan. Mengikut pendedahan yang dibuat oleh pihak Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) baru-baru ini, adalah dianggarkan kira-kira 3,000 tan makanan dibuang dalam sehari di Malaysia. Adalah menjadi kebimbangan jumlah pembaziran makanan ini akan menjadi bertambah serius menjelang kedatangan bulan Ramadan kelak.

Oleh itu, adalah penting bagi umat Islam untuk menghayati tujuan utama kedatangan Ramadan iaitu untuk beribadah serta meningkatkan keimanan terhadap Allah SWT bukannya untuk dijadikan sebagai bulan pesta makanan.

Pelbagai usaha boleh diambil bagi mengatasi masalah pembaziran makanan yang berlaku dalam negara kita.

Pada tahun lalu, pihak kerajaan telah melaksanakan program Save Food Malaysia (MYSaveFood) sebagai usaha untuk mengurangkan masalah pembaziran makanan di negara ini.

Pada tahun sama juga, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) telah menggesa pihak kerajaan supaya mewujudkan sebuah “Akta Pembaziran Makanan” khusus bagi mengekang budaya pembaziran dalam kalangan rakyat Malaysia terutamanya yang banyak berlaku di bulan Ramadan.

Melalui pengenalan undang-undang ini, pelbagai tindakan boleh dipertimbangkan supaya masyarakat tidak sewenang–wenangnya melakukan pembaziran makanan seperti mengenakan penalti atau denda dan sebagainya. Namun, apa yang penting adalah kesedaran pengguna itu sendiri khususnya umat Islam bagi menjalani ibadah di bulan puasa dengan sempurna dengan memberi fokus kepada amal ibadah dan bukannya pada juadah makanan.