Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Jun 2016

Zikir beri ketenangan, dekat kepada Pencipta

Posted by epondok di Jun 30, 2016

MANUSIA yang sentiasa mengingati Allah SWT akan beroleh keuntungan abadi di dunia dan akhirat. Mereka yang sentiasa membasahkan lidah dengan zikir akan mendapat penghormatan tinggi serta rahmat daripada Allah SWT. Malah, ketika hidup di dunia, mereka yang sentiasa berzikir dan mengingati Allah SWT, perasaan serta jiwa akan sentiasa tenang walau apa juga cabaran yang mendatangi hidup mereka. Itulah kelebihan di dunia yang dijanjikan Allah SWT kepada mereka.

Orang beriman hati tenteram

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar keutamaannya daripada ibadah yang lain. Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)

Oleh itu, bagi yang ingin memperoleh rahmat Allah SWT hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT serta rajin-rajinlah membasahkan bibir dengan zikrullah.

Ingat kebesaran Tuhan

Hanya dengan mengingati serta sentiasa mengagungkan kebesaran Allah SWT akan mendekatkan hamba kepada Pencipta-Nya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan apabila hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai-Ku (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka), Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Bersihkan jiwa kotor ketika syaitan dibelenggu

Posted by epondok di Jun 29, 2016

HASSAN MOHD. NOOR

RAMADAN kini memasuki fasa terakhir. Begitu pantas masa berlalu. Tidak sampai 10 hari, Ramadan akan pergi me­ninggalkan kita. Semoga dalam hari-hari yang berbaki ini, kuantiti ibadah kita semakin baik dan berkualiti. Teruskan jihad Ramadan ini. Jihad sudah sinonim dengan bulan Ramadan. Memetik inti pati khutbah Jumaat yang di­sampaikan oleh Dr. Farid Ravi di Masjid Bandar Seri Putra (MBSP) minggu lalu, beliau menjelaskan mengenai jihad ini iaitu jihad mengekang nafsu yang sentiasa mengajak manusia melakukan kejahatan dan jihad meme­rangi musuh. Berkaitan jihad mengekang nafsu melakukan kejahatan, beliau menarik perhatian tentang syaitan. Setiap kali Ramadan kita sering diperingatkan tentang bagaimana syaitan diikat atau dibelenggu sepanjang bulan ini.

Contohnya hadis yang berbunyi: “Apabila masuk bulan Ramadan, dibukakan pintu-pintu langit dan ditutup pintu-pintu neraka Jahanam, serta dibelenggu syaitan-syaitan”. Begitu juga dengan hadis berikut: “Jika datang bulan Ramadan, pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan-syaitan dibelenggu,” (HR. Bukhari dan Muslim).

Persoalannya, kenapa masih ada manusia yang sanggup me­lakukan kejahatan? Adakah ini bermakna syaitan masih bebas bergerak menghasut dan menggoda manusia melakukan maksiat dan kemungkaran sehingga terjerumus ke lembah dosa pada bulan yang mulia ini? Manusia juga memainkan peranannya. Jika mereka tahu syaitan itu kufur maka tidak perlu mereka mengikut te­lunjuk syaitan. Memang syaitan itu dibelenggu pada bulan Ramadan tetapi disebabkan jiwa dan nafsu yang kotor, manusia tetap me­lakukan kemungkaran. Tidak pasti sama ada pelaku kejahatan ini adalah orang Islam yang turut berpuasa. Jika ya, jadikanlah ibadah puasa pada bulan Ramadan ini sebagai alat untuk membersihkan jiwa dan nafsu mereka yang jahat serta kotor.

Selak ingin menarik perhatian mengenai manusia yang terus dipengaruhi unsur-unsur jahat dan maksiat pada bulan Ramadan ini. Contohnya, kes kecurian di kawasan masjid termasuk ketika orang sedang bersolat. Banyak video, gambar yang sering menjadi viral memaparkan kes kecurian ini seolah-olah satu perkara biasa. Mencuri beg duit jemaah, tabung masjid adalah antara kes yang dilaporkan. Kereta yang diletakkan di kawasan masjid juga menjadi mangsa penjenayah mencuri barang berharga. Mungkin jika berlaku di luar bulan Ramadan, itu satu perkara biasa tetapi apabila melibatkan pada bulan yang mulia ini, ia sesuatu yang amat mendukacitakan. Adakah mereka ini tergolong dalam golongan sejahat-jahat syaitan?

Bagaimana pada bulan Ramadan ini mereka boleh ‘terlepas’ melakukan kejahatan lebih-lebih lagi di kawasan masjid? Adakah mereka tidak ada duit sehingga tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah? Apakah masalah sebenar mereka ini? Adakah mereka ini tergolong dalam kalangan orang yang benar-benar miskin? Mungkin ya dan mungkin tidak. Jika ya, golongan ini tentunya mendapat pembelaan sewajarnya daripada masyarakat lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan ini umat Islam digalakkan bersedekah.

Orang yang bersedekah pada bulan Ramadan akan ditambah pahalanya 10 hingga 700 kali ganda. Maka ramai yang berlumba-lumba untuk bersedekah. Biasa­nya fakir miskin juga mendapat bantuan secara langsung daripada pusat zakat, agensi berkaitan kebajikan dan sebagainya. Jika ada yang tidak dibantu, mungkin akibat terlepas pandang dan kegagalan pihak-pihak berkenaan menyantuni mereka. Pusat zakat atau pihak-pihak yang berkaitan perlu mencari kaedah untuk mengesan golongan ini tanpa ada yang tercicir sama ada disebabkan tidak mendapat maklumat atau angkara kerenah birokrasi. Hentikan polemik yang berkaitan zakat ini, isu yang tidak pernah berakhir.

Kembali kepada kes kecurian di masjid, siapakah mereka yang tergamak mencuri ketika orang sedang beribadah atau melakukan amal kebaikan? Adakah penagih dadah yang sudah hilang pedoman hidup sehingga ada kes menunjukkan mereka ini sanggup membunuh anggota keluarga untuk mendapatkan wang bagi memperoleh dadah atau melakukan perbuatan ini ketika dipengaruhi dadah? Adakah mereka ini juga penganggur yang sebenarnya malas bekerja ketika berjuta orang pendatang asing memasuki negara ini merebut peluang kerja?

Untuk meminta secara baik mereka mungkin malu dan akhirnya terpedaya dengan godaan syaitan supaya mencuri di mana sahaja ada kesempatan sekalipun di ‘rumah Allah’ . Mereka mungkin terdesak dan datang ke masjid bukan untuk beribadah tetapi mahu mencuri jika berkesempatan, maksudnya mungkin peluang itu datang apabila berlaku kecuaian jemaah yang meletak barang mereka dengan satu kepercayaan ‘tidak ada yang akan mencuri di rumah Allah’. Malahan jika tercicir di masjid, tidak akan hilang dan dikembalikan. Hakikatnya Islam tidak mengajar umatnya mencuri walaupun dalam keadaan terdesak. Mencuri juga bukan jalan keluar daripada kesusahan atau kemiskinan.

Bagi Dr. Farid Ravi, jika mereka ini datang ke masjid untuk mencuri akibat desakan hidup, beliau yang juga Nazir MBSP menyarankan supaya mereka menemui jawatankuasa masjid untuk berkongsi rezeki yang ada. Apa yang penting jangan mendedahkan diri dengan kegiatan mencuri. Jangan sesekali mencuri harta awam di masjid atau barang-barang yang diwakafkan. Kalau tersarung kasut orang ketika tidak sabar untuk pulang selepas solat, mungkin itu boleh dimaafkan tetapi jika sengaja meninggalkan kasut sendiri yang lusuh dan diambil kasut baharu hak orang lain, ini boleh dianggap mencuri.

Selak turut mengalami pe­ngalaman kehilangan barang berharga di kawasan masjid pada hari yang sama Dr. Farid Ravi menyentuh perkara ini. Petang itu ketika menghadiri satu program di sebuah masjid di ibu negara, beg sandang yang mengandungi beberapa barang berharga serta dokumen penting lesap ketika di­tinggalkan sementara untuk satu tugasan. Mungkin akibat kecuaian saya yang terlalu yakin tidak ada manusia jahat di masjid terutama pada Ramadan ini. Pengajarannya, kecurian di masjid akan terus berlaku. Ingatlah walaupun berada di kawasan yang dianggap menjadi tumpuan manusia berjiwa bersih dan beriman, masih ada insan berjiwa kotor serta tidak takut dengan undang-undang manusia dan Tuhan. Tidak hairanlah di sesetengah masjid sering diperingatkan supaya para jemaah menjaga barang-barang berharga mereka semasa di masjid.

Manusia yang dipengaruhi syaitan akan sentiasa mengambil ke­sempatan jika berpeluang tanpa mengira tempat. Mereka yang namanya orang Islam tidak peduli tentang tanggapan orang terhadap imej agama itu ketika berada di rumah ibadat. Biar apa pun, jangan fobia ke masjid tetapi berhati-hatilah kerana ragam manusia ini pelbagai. Barangkali pada bulan ketika syaitan dibelenggu, syaitan sedang belajar daripada manusia untuk melakukan kejahatan!

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ramadan madrasah terbaik disiplin diri

Posted by epondok di Jun 23, 2016

Oleh Prof Dr Muhaya Mohammad

 

Dua perkara yang perlu kita jaga dalam kehidupan adalah masa dan bagaimana memanfaatkan masa kerana waktu berlalu bagai arus sungai yang lurus, begitu pantas serta tidak akan berpatah balik. Seperti Ramadan ini, akan terus berlalu tanpa menunggu kita yang leka tidak mengejarnya. Alangkah ruginya jika kita tidak dapat memanfaatkan waktu pada bulan mulia ini untuk mempertingkatkan amal kepada Allah SWT dari semasa ke semasa.

Kata Ibnu Mas’ud: “Waktu yang kusesali adalah jika pagi hingga matahari terbenam, amalku tidak bertambah sedikit pun, pada hal aku tahu saat ini umurku telah berkurang.”

Ingatlah, jika kita tidak mengambil peluang keemasan pada Ramadan ini, Ramadan akan datang belum tentu kita bertemunya lagi. Lihatlah berapa ramai sahabat dan saudara yang dipanggil pulang Allah SWT kepangkuan-Nya, sebulan malah ada yang sehari sebelum datangnya Ramadan kali ini. Justeru, gunakan masa sebaik mungkin dengan menyeimbangkan antara keperluan kehidupan dunia dan akhirat. Sesungguhnya jika kita mendahulukan akhirat, dunia akan mengekori tetapi jika kita mendahulukan dunia, akhirat akan tercicir.

Peruntukkan masa khusus untuk beribadah kepada Allah SWT di samping mencari jalan bagaimana boleh melaksanakan kerja duniawi dan akhirat pada satu masa bagi meraih pahala. Contohnya, mendengar dan membaca al-Quran sepanjang perjalanan pergi serta balik bekerja melalui sistem audio dalam kereta. Isikan masa dengan beristighfar dan bertasbih. Ulama, Ibnu al-Jauzi berkata: “Istighfar itu ibarat sabun, manakala tasbih umpama minyak wangi.”

Transformasi diri dan rohani

Ramadan adalah bulan ketaatan, al-Quran, kerahmatan dan pengampunan maka sucikan hati dengan istighfar serta harumkan jiwa dengan tasbih. Bersujud kepada Allah SWT, mohon keampunan kepada-Nya dengan taubat nasuha. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bertaubatlah kamu kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawah sungai-sungai.” (Surah al-Tahrim, ayat 8)

Janganlah apabila saat kematian sudah tiba baru kita sesal kesilapan diri dan menyedari kita tertipu dengan usia muda kerana syarat mati tidak mesti tua. Jangan tunggu hingga saat pintu taubat telah tertutup, sudah nazak, nyawa terancam, baru hendak bertaubat kerana segala-galanya telah terlambat. Sesungguhnya nilai manusia di sisi Allah SWT diukur dengan dua perkara, pertama, ketakwaan dan kedua, akhlak yang baik dengan manusia. Jika kita hebat macam mana sekali pun tetapi tidak bertakwa, di akhirat nanti kita tiada nilai di sisi Allah SWT. Kekayaan, harta, kedudukan, gelaran atau pangkat di dunia yang menjadikan nilai hidup kita tinggi di mata manusia, semuanya akan ditinggalkan apabila kita mati. Jasad dibawa masuk ke liang lahad hanya dengan sehelai kain kafan, dosa dan pahala yang dibawa untuk menghadap Allah SWT.

Jadikan Ramadan transformasi untuk membangunkan keperibadian dari segi kerohanian serta mendisiplinkan kehidupan harian pada bulan seterusnya selepas Ramadan. Selama sebulan kita telah melalui ‘madrasah Ramadan’ dengan empat disiplin.

Puasa disiplinkan diri

Pertama, puasa mendisiplinkan kita menjaga kesihatan fizikal, mengawal pemakanan kita, bagus untuk pesakit diabetes bahkan baik juga untuk pesakit jantung koronari yang boleh disebabkan oleh hiperlipidemia (tinggi kolesterol). Apabila kita tidak makan pada siang hari, limpa dan organ lain dalam tubuh akan mengeluarkan bahan glukosa yang lama disimpan dalam tubuh. Selain itu berpuasa boleh mengawal berat badan dan sangat bagus untuk kesihatan diri.

Kedua, puasa membina kecerdasan minda dan minda yang positif akan menghasilkan emosi positif serta memberi kekuatan kerohanian. Ketika berpuasa, kita mengelakkan minda daripada berfikir negatif, bercakap negatif serta bersangka negatif yang akan mengurangkan pahala puasa selain menjadi racun kepada minda.

Ketiga, puasa meningkatkan hubungan silaturahim dengan banyak bersedekah, lebihkan memberi daripada menerima serta sentiasa ikhlas dan akhirnya, puasa mendisiplinkan kita dalam pengurusan kewangan. Tidak membazir di bazar Ramadan, membeli secara berpatutan berdasarkan keperluan kita dan ahli keluarga. Maknanya, dengan iman kita melawan nafsu yang berlebihan terhadap makanan ketika berpuasa. Niatkan ke bazar Ramadan untuk menyokong ekonomi orang lain yang mengambil peluang sempena Ramadan mencari pendapatan tambahan dengan berniaga.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Amal soleh kenderaan ke syurga

Posted by epondok di Jun 22, 2016

Oleh Fairuz Noordin

 

DIRIWAYATKAN oleh Abu Hurairah, daripada Rasulullah SAW: “Manusia ini akan dikumpulkan dalam tiga kelompok. Dalam keadaan satu kumpulan adalah mereka yang rindu kepada Allah SWT dan sentiasa takut kepada-Nya. Dan satu kumpulan lagi adalah kumpulan yang berangkat dengan menunggang satu unta berdua, satu unta untuk bertiga, satu unta untuk berempat dan satu untuk 10 orang sedangkan bakinya dihimpun oleh api. Di mana api-api itu akan sentiasa bersama dengan mereka baik pada siang mahupun malam, pagi mahu pun petang.”

Kebangkitan kedua berlaku ketika di dunia lagi seperti hadis riwayat Muslim, dinyatakan tanda berlakunya Hari Kiamat adalah keluarnya api dari dalam batu besar dan semua manusia lari mengelakkan diri daripadanya. Ketika hampir berlakunya Hari Kiamat, Allah akan mula mengumpulkan manusia dan bergerak dalam tiga kumpulan iaitu kalangan orang soleh, kumpulan manusia yang bercampur antara amalan baik dan buruknya dan kumpulan terdiri daripada orang kafir.

Orang soleh rindu bertemu Ilahi

Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau’izati di IKIMfm menjelaskan, orang yang soleh sentiasa merindui untuk bertemu Allah SWT kerana akan memperoleh apa yang dijanjikan oleh Allah SWT berdasar amalan soleh yang telah mereka lakukan. Sementara dalam hadis menyebut orang yang akan menunggang unta adalah orang yang diampuni dosanya oleh Allah SWT dan tidak diazab, walaupun tahap syurga berbeza-beza sama ada pada tahap paling tinggi atau paling bawah dalam kalangan ahli syurga.

Kumpulan kedua adalah golongan yang akan diazab oleh Allah SWT kerana dosa mereka, tetapi kemudian akan dikeluarkan daripada neraka lalu dimasukkan ke syurga. Mereka ini pada suatu ketika akan berjalan kaki dan ada ketikanya menunggang unta. Setelah dekat dengan Padang Mahsyar mereka turun daripada kenderaan dan berjalan kaki.

Kumpulan ketiga ialah golongan yang berjalan dengan muka mereka iaitu orang kafir. Al-Tirmizi meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: “Manusia akan dikumpulkan pada tiga kumpulan iaitu kumpulan pejalan kaki, kedua ialah kumpulan yang berkenderaan dan ketiga ialah manusia yang diusir yang berjalan dengan muka mereka. Apabila sahabat bertanya kepada Baginda mengenai golongan yang berjalan dengan muka mereka, Rasulullah SAW menjawab: Yang berkuasa menjadikan mereka berjalan dengan kedua-dua kakinya, berkuasa pula menjadikan mereka berjalan dengan muka-mukanya. Sedangkan orang yang bertakwa, pada wajah mereka kelihatan berada pada kedudukan yang tinggi dan mulia di sisi Allah SWT.”

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, “Pernah suatu ketika Rasulullah SAW berdiri dalam kalangan kami, Baginda memberi satu peringatan yang kuat dengan berkata: Kamu semua ini akan dikumpulkan di Padang Mahsyar Allah dalam keadaan kamu ini tidak beralas kaki, telanjang dan tidak dikhatankan, sebagaimana kami telah awalkan, kami telah memulai penciptaan kamu dan telah kami janjikan kepada kamu dengan janji yang pasti kami tepati di mana kami akan lakukan apa yang telah kami janjikan kepada kamu itu. Orang yang pertama yang akan dipakaikan pakaian pada Hari Kiamat nanti ialah Nabi Ibrahim.”

Mudah lintasi titian sirat

Pengusiran yang terakhir adalah ketika manusia dimasukkan ke dalam syurga atau dihumban ke dalam api neraka. Pada waktu ini amal soleh akan berubah menjadi kenderaan memudahkan kita melintasi titian sirat dan menuju syurga, manakala orang yang derhaka kepada Allah SWT akan diusir ke neraka jahanam dalam keadaan mereka berasa amat dahaga.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Rayuan Derma Tabung Bencana Kebakaran Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Jun 21, 2016

bencana4

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Kuasai ilmu, iman kawal emosi

Posted by epondok di Jun 19, 2016

Oleh Syafiq Salleh

Allah SWT mengurniakan hati dan rasa untuk merasai nikmat-Nya seperti nikmat iman, kemuliaan serta pengampunan Allah SWT yang memberi kekuatan dalam hati untuk terus memanfaatkan sepenuhnya dalam kehidupan.

Dalam Islam, soal emosi sangat penting bagi setiap individu kerana berkait rapat dengan perasaan. Oleh itu, Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam segmen Islam Itu Indah berkata, pengurusan emosi perlu diketahui supaya mampu mengurusnya dengan baik. Beliau berkata. manusia yang berdosa perlu bertaubat dan syaratnya ialah rasa menyesal iaitu emosi yang memainkan peranan memberi garis panduan kepada umat Islam supaya takut serta patuh dengan larangan Allah SWT. ”

Rasa datang dari hati di mana terletaknya iman seseorang menandakan keyakinan kepada Allah SWT. Begitu juga dengan takwa yang terletak dalam hati. Rangkuman dari hati mendorong tindakan manusia mengikut apa yang dirasainya. Hati akan jadi baik apabila selalu menyebut zikrullah,” katanya. Firman Allah SWT yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah.” (Surah ar-Ra’d, ayat 28)

Emosi juga akan mempengaruhi cara berfikir dan jika cara berfikir itu salah, maka tindakan akan menjadi salah. Perbaiki diri Oleh itu, jika umat Islam tidak berfikir dengan baik dan tidak merasai setiap kelebihan serta ganjaran yang Allah SWT berikan, semua itu akan dipinggirkan serta disia-siakan begitu sahaja. Perkara itu ada kaitan dengan pencarian ilmu. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah daripada kalangan hamba-Nya hanyalah orang yang berilmu.” (Surah Fatir, ayat 28)

Umat Islam perlu melihat situasi yang tersendiri dan perlu memperbaiki diri. Ilmu yang ada bukan bermaksud seseorang itu berjaya dari segala aspek. Contohnya, ada segelintir individu yang cemerlang dalam mata pelajaran, tetapi tidak melaksanakan solat. Hal ini menerangkan ilmu itu tidak semestinya mampu mengawal rasa dan emosi, tetapi hanya membangunkan fikiran. Berjaya dalam pelajaran tidak bermaksud akan berjaya dalam kehidupan. Justeru, individu Muslim mestilah menguasai ilmu disamping mentaati perintah Allah untuk mencapai kebaikan. Tindakan itu dapat melahirkan seorang yang menjiwai ilmu dan terbit rasa yang baik dari hatinya. Profesor Hamka berkata, ‘hujung akal, pangkal agama’ di mana manusia mencari-cari sesuatu adalah bermula dari agama.

Agama meletakkan kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan manusia itu pada tauhid dan iman seseorang. Jika iman dipelihara dengan baik, segala bentuk perbuatan tidak akan mempengaruhi emosi. Umat Islam dituntut minta nasihat Orang yang beriman akan sentiasa merujuk pada Allah SWT dan tindakannya mengikut syariat Islam serta mereka tidak berasa dukacita. Bagi mereka yang tiada pegangan ini, setiap tindak balasnya akan menyebabkan berlaku perkara yang di luar kawalan akal fikiran.

Perasaan dendam dan marah akan menyelubungi hidupnya tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Umat Islam dituntut supaya meminta nasihat dan sentiasa berpandukan kepada alim ulama untuk membentuk peribadinya. Marah dan emosi yang tidak terkawal adalah sebahagian daripada sifat syaitan. Oleh itu, jauhi sifat marah dan berusaha memperbaiki diri dari semasa ke semasa supaya dapat meningkat keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Puasa untuk kesihatan

Posted by epondok di Jun 17, 2016

MASYARAKAT Barat mengakui amalan berpuasa selama dua hari seminggu dalam Islam dapat mengembalikan tahap kesihatan manusia ke tahap optimum. Kajian terbaharu Barat membuktikan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis yang disyorkan Islam itu mampu memulihkan hormon-hormon dalam tubuh daripada toksid-toksid makanan yang kita ambil.

Malah semasa bulan Ramadan, penyakit seperti kencing manis, darah tinggi dan jantung akan mempunyai bacaan darah mereka yang terbaik menghampiri paras normal. Perkara itu berlaku kerana tahap penggunaan hormon insulin yang digunakan untuk memecahkan bahan makanan terutama karbohidrat kepada molekul tenaga di dalam badan rendah.

Insulin adalah hormon dalam badan terpenting yang mana selain memecahkan karbohidrat kepada tenaga iaitu glukosa serta pembentukan lemak (glikogen), ia juga berfungsi untuk mengawal dan memastikan hormon-hormon lain seperti hormon tiroid, DHEA, tumbesaran, glukagon dan lain-lain berada dalam kapasiti terbaik.

Ketika berpuasa, hormon insulin akan menjadi lebih aktif memperbaiki tahap hormon tiroid agar tindakan dalam badan seperti denyutan jantung lebih stabil dan tekanan darah menjadi lebih normal.

Begitu juga ketiadaan makanan, insulin akan mengarahkan hormon glukagon untuk memecahkan makanan dalam badan untuk ditukar menjadi tenaga. Tindakan ini akan menyebabkan lemak dalam badan berkurangan dan seterusnya mengurangkan risiko serangan jantung.

Selain itu, insulin juga akan memastikan hormon tumbesaran ‘bertugas’ untuk mengekalkan kesihatan badan dan penghasilan tisu, melakukan proses rejuvanasi, menebalkan tisu kulit, menjadikan tulang kuat dan otot sempurna serta meningkatkan keupayaan seksual dan daya ketahanan semula jadi.

Insulin juga akan memastikan penghasilan hormon DHEA di buah pinggang. DHEA dirembes oleh kelenjar adrenal dan merupakan sejenis hormon steroid yang terlibat dalam penghasilan hormon seksual iaitu estrogen dan hormon testeron.

Antara fungsi DHEA ialah meningkatkan daya ketahanan dan mencegah jangkitan bakteria, mengekalkan fungsi hati dan organ-organ lain serta menjaga kestabilan dan keseimbangan tekanan darah dan paras hormon.

Bagi penghidap kencing manis, tahap gula menjadi normal ketika berpuasa. Ini disebabkan tahap gula dalam darah dalam keadaan optimum iaitu tidak rendah dan tidak juga tinggi.

Cara terbaik mengurangkan penggunaan hormon insulin ialah memperbanyakkan makanan protein dan lemak sihat kerana zat daripada sumber makanan itu dapat memulihkan sel badan kita yang keletihan akibat berpuasa. Makanan disarankan seperti telur, daging, ayam, santan serta sayur-sayuran hijau perlu diambil dalam kuantiti banyak.

Sementara itu, untuk mengekalkan tenaga di siang hari, kita digalakkan mengambil makanan berat seperti nasi lemak semasa bersahur. Dalam Forum Utusan Malaysia pada 20 April 2016, saya ada mendedahkan pengiktirafan majalah antarabangsa Time edisi Mac lalu yang menyenaraikan nasi lemak antara 10 sarapan antarabangsa yang sihat.

Sebenarnya, melebihkan pengambilan makanan ketika bersahur berbanding berbuka puasa bersesuaian dengan amalan Rasulullah SAW. Biarpun di bulan Ramadan, kita amat digalakkan meminum lapan gelas air sehari.

Saranan saya, untuk kembali sihat, anda patut memulakannya semasa bulan Ramadan. Jika ingin mengetahui tip pengambilan makanan yang sihat, berjumpalah dengan doktor untuk mendapatkan cara betul dan berkesan.

DR. NORZAIDI ZAKARIA

Biro Media Perdim

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Al-Quran peneman setia Ramadan

Posted by epondok di Jun 16, 2016

Oleh Mohd Faiz Othman

Ramadan bulan yang diturunkan al-Quran, maka sebaik-baiknya kita menjadikan al-Quran sebagai teman dengan sentiasa membaca, serta menghayati isi terkandung dalam kitab suci yang juga mukjizat terbesar Nabi Muhammad SAW.

Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman menerusi segmen Ibrah di IKIMfm berkongsi kisah doa Nabi Ibrahim yang dimakbulkan Allah SWT pada malam al-Qadr dan kaitan secara langsung antara Nabi Ibrahim dengan Ramadan.

Beliau memetik firman Allah SWT yang bermaksud: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Allah SWT menghadirkan kisah Ramadan selepas mengisahkan mengenai perjuangan Nabi Muhammad SAW menghadapi kerenah cucu-cicit Bani Israel daripada zaman Nabi Musa. Di sebalik ayat mengenai Ramadan, terdapat 184 ayat lain berkaitan kefarduan puasa iaitu apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW sama dengan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim. Jika diperhatikan struktur Ramadan dalam surah al-Baqarah, Allah SWT menjelaskan mengenai kefarduan berpuasa diikuti bulan Ramadan dan turunnya al-Quran pada bulan mulia itu.

Matlamat insan bertakwa

Matlamat setiap daripada kita adalah untuk menjadi insan bertakwa dan demi mencapai matlamat itu memerlukan kekuatan luaran serta dalaman. Faktor luaran melatih diri menahan nafsu makan dan minum jika makanan ada di hadapan matanya. Allah SWT mahukan kita bertakwa dengan turut disertai faktor dalaman iaitu membina sistem pertahanan diri. Takwa bukan semata-mata takut, tetapi lebih kepada membina sistem perlindungan diri supaya kita selamat daripada ancaman musuh.

Orang yang mengetahui ada musuh hadir selepas Ramadan, mereka akan menyediakan Ramadan sebagai benteng supaya bertakwa kepada Allah SWT. Tidak semua orang akan mendapat ketakwaan, hanya yang benar-benar faham kenapa Ramadan datang bakal memperolehnya. Al-Quran yang diturunkan ketika Ramadan mengajak kita membaca, memahami serta menghayati ajaran serta perintah di dalamnya supaya kita mengetahui seterusnya mencari tuhan yang menurunkan al-Quran.

Hikmah diturunkan al-Quran juga perlu dikaji melalui pembacaan kerana semua sudah diceritakan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya yang ingin mengetahui dan mendapat manfaat daripada ilmu daripada al-Quran. Menjadikan al-Quran sahabat melalui amalan bertadarus antara cara terbaik mencapai ketakwaan kerana puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi istiqamah melakukan amalan baik sepanjang Ramadan.

Keistimewaan diberi Allah SWT kepada hamba-Nya tidak sepatutnya dipersiakan dan doa orang yang berpuasa juga mustajab pada bulan barakah ini. Doa Nabi Ibrahim kepada Allah SWT dirakamkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang rasul daripada kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan Kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (dari syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Baqarah, ayat 129) Doa Nabi Ibrahim dimakbulkan Allah SWT pada malam al-Qadr yang diturunkan al-Quran selepas Nabi Muhammad SAW menjadi Rasul. Doa Nabi Ibrahim akhirnya dimustajabkan oleh Allah SWT.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Rebut peluang keberkatan Ramadan

Posted by epondok di Jun 15, 2016

Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusof

Sesungguhnya Allah SWT mengkhususkan Ramadan dengan keutamaan yang agung dan banyak keistimewaan. Justeru, hendaklah kita menghayati segala keistimewaan berpuasa supaya dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam program Pesona D’Zahra di IKIMfm menyarankan umat Islam menunaikan ibadah puasa dengan ikhlas bukan berpuasa kerana orang lain berpuasa, maka kita juga perlu puasa. Katanya, bulan penuh barakah ini mempunyai banyak keistimewaan yang perlu diketahui antaranya, diturunkan al-Quran pada Ramadan sebagai petunjuk bagi manusia yang berada dalam kegelapan menuju cahaya.

Al-Quran terkandung kebaikan

“Dengan al-Quran ini, Allah SWT memperlihatkan kepada kita kebenaran (al-haq) dan kebatilan. Al-Quran terkandung kebaikan, kebahagiaan, kemenangan bagi umat manusia serta keselamatan di dunia dan akhirat,” katanya.

Keistimewaan kedua, diwajibkan berpuasa pada bulan ini kepada umat Nabi Muhammad SAW. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Kerana itu, barang siapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) pada bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Ramadan juga bulan penghapus dosa yang pernah kita lakukan sama ada yang disedari atau tidak dengan syarat puasa kita dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh berdasarkan iman serta mengharapkan pahala daripada Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah SWT, nescaya diampuni dosa-dosanya telah lalu.” (Muttafaqun alaih).”

Dibukakan pintu syurga pada Ramadan kerana banyaknya amal soleh yang disyariatkan pada bulan itu menyebabkan masuknya seseorang dalam syurga, manakala ditutup pintu neraka. Pada bulan mulia ini umat Islam dituntut menunaikan solat sunat Tarawih selepas solat fardu Isyak dan waktunya berkekalan sehingga akhir malam.

Keberkatan bulan Ramadan yang tidak diberikan kepada bulan lain ialah digandakan pahala setiap amal kebajikan. Ibadah fardu diberi pahala sehingga 70 kali ganda, manakala ibadah sunat diberi pahala seperti ibadah fardu. Kelebihan malam al-Qadar Syaitan dibelenggu pada Ramadan untuk tidak menggoda manusia, menjerumuskan mereka dalam kemaksiatan seperti dilakukan pada bulan lain.

Kelebihan paling besar bulan Ramadan ialah di dalamnya terdapat malam al-Qadar (kemuliaan) yang dinyatakan keistimewaannya secara khusus oleh Allah SWT dalam surah al-Qadr: “Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadar (kemuliaan). Dan tahukah kamu apakah malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” (Surah al-Qadr, ayat 1-5)

Muhamad Abdullah merumuskan, orang yang tahu menilai kelebihan dan keistimewaan Ramadan pasti tidak akan mensia-siakan peluang merebutnya

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kaedah pemakanan ketika sahur yang betul

Posted by epondok di Jun 14, 2016

BERSAHUR dengan kurma dan air juga memadai. GAMBAR HIASAN/NOTAHIDUPSIHAT.BLOGSPOT.COMBERSAHUR dengan kurma dan air juga memadai.

SAUDARA PENGARANG,

JIKA anda beranggapan dengan cara makan dan minum dalam kuantiti banyak ketika bersahur dapat membantu mereka menjalani ibadah puasa dengan baik, maka itu tidak benar sama sekali.

“Sebaik-baik sahurnya seorang mukmin adalah kurma”. Demikianlah sabda Nabi Muhammad SAW. Di sini jelas me­nunjukkan kepada kita bahawa cara bersahur yang betul tidak bergantung kepada kuantiti makanan yang dimakan, sebalik­nya apa yang kita makan ketika bersahur iaitu makanan berzat yang cukup membekalkan tenaga ketika berpuasa.

Jika makan pelbagai jenis makanan tetapi kandungan zatnya kurang dikhuatiri akan mengganggu kelancaran ibadah puasa. Lebih baik bersederhana makan tetapi seimbang kerana ini penting untuk kekal sihat menjalani ibadah puasa dengan baik.

Antara kaedah terbaik untuk tenaga kekal optimum, jangan sesekali meninggalkan sahur kerana itu amalan sunnah. Untuk makluman, sahur juga dapat mengawal gula dalam darah di samping memberikan tenaga kepada badan setiap hari serta memastikan sistem pencernaan berfungsi dengan lebih baik.

Selain buah kurma, pengambilan karbohidrat yang kompleks seperti oat dan nasi perang yang mengandungi serat adalah amat baik untuk bersahur. Ramai tidak menyedari pengambilan air berlebihan ketika bersahur juga tidak baik kerana semakin banyak air diminum, semakin cepat juga air dalam badan kita dibuang. Justeru cadangan kuantiti air yang perlu diminum adalah dua atau tiga gelas semasa bersahur.

Dengan cara bersahur yang betul, kita dapat memastikan kesihatan dipelihara di samping kekal bertenaga sepanjang hari di bulan Ramadan. Kesihatan juga amat penting dalam memastikan kesempurnaan setiap ibadah kita kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di bulan yang penuh dengan barakah ini

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »