Solat boleh diumpamakan sebagai Israk dan Mikraj bagi seorang muslim. Semasa bersolat seseorang insan sewajarnya berada dalam keadaan patuh. Jasad dan hati fokus sepenuhnya mengadap Allah. Supaya sampai ke destinasi yang dituju, seseorang perlulah melepaskan diri daripada terpaut dengan perkara keduniaan. Penumpuan sepenuhnya kepada Allah secara mutlak dengan mengucapkan takbir dan tahmid, memuji kebesaran dan keagungan Ilahi, bermunajat serta berdoa memohon pertolong­an dan hidayah supaya dikurniakan kecemerlangan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Mengerjakan solat wajib ke atas muslim yang baligh, berakal (‘aqil) dan suci daripada haid atau nifas serta tidak gila atau mabuk. Solat adalah ibadat yang mesti dikerjakan setiap orang dan tidak boleh diganti orang lain. Sesiapa yang mengingkari wajibnya solat lima waktu, hukumnya kafir dan murtad kerana telah jelas kefarduannya. Mereka yang mening­galkan solat kerana malas atau sibuk dengan urusan lain, tetapi masih beriman dan percaya dengan kefarduan solat, hu­kumnya fasik dan berdosa besar kecuali bagi yang baru memeluk agama Islam. Meninggalkan solat lima waktu boleh membawa hukuman yang berat di akhirat kelak. Allah berfirman maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), mereka akan menghadapi azab di dalam neraka kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta ber­amal soleh.” (Surah Maryam: 59-60)

Kajian saintifik menunjukkan betapa indah dan sempurnanya agama Islam sehingga setiap kewa­jipan yang diperintahkan mempunyai manfaat tersendiri. Penyelidikan oleh Profesor Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya pada 2009 menunjukkan fakta-fakta saintifik kebaikan ibadah solat yang bukan sahaja memberikan manfaat rohaniah tetapi juga fizikal dan mental apabila dilakukan de­ngan tekun serta postur yang be­tul. Mereka membongkar fakta positif kebaikan solat dari sudut saintifik antaranya menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang, memperbaiki disfungsi ereksi (DE) serta mengaktifkan otot lantai pelvik.

Kajian itu mendapati mereka yang mengikuti lima tabiat lazim Rasulul­lah iaitu tetap bersolat, faham bacaan, solat berjemaah atau sendirian, rukuk 90 darjah, kedudukan kaki yang betul semasa sujud dan duduk tahiyat mempunyai kesihatan yang baik. Subjek kajian menjalani ujian kesihatan menyeluruh sebelum dan selepas menunaikan solat sunat dua rakaat.

Hasil kajian menunjukkan subjek yang menepati lima perkara tersebut bukan saja lebih sihat bahkan lebih tenang selepas menunaikan solat.

Solat berjemaah lebih afdal berbanding solat sendirian. Fadilatnya dirakamkan dalam sabda Baginda SAW maksudnya : “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat berseorangan dengan kelebihan 27 darjat.” (Riwayat Bukhari).

Kelebihan solat berjemaah turut terbukti dari segi saintifik yang diakui oleh Prof. John Herbert, pakar sains fizik universiti di Amerika Syarikat selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah. Hasil kajian beliau mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga. Penemuan itu membuka pintu hatinya, mendapat hidayah Allah dan memeluk agama Islam.

Solat yang sempurna mengikuti sifat solat Baginda SAW. Tatacara solat ini dapat diketahui melalui sunnah berdasarkan sabda baginda SAW maksudnya: “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Riwayat Bukhari).

Malangnya hari ini, ramai yang bersolat dalam keadaan lalai, masih menjeling mesej di telefon bimbit dan tidak ketinggalan yang sering mempertikaikan solat orang lain. Bayangkan jika di hadapan raja dalam sesuatu majlis, pakaian rasmi mengikut protokol, telefon bimbit ditetapkan dalam mod senyap, duduk tertib menghormati protokol majlis, tetapi kenapa apabila meng­adap Allah semasa bersolat, kita tidak menjaga adab sepenuhnya?

Solat membezakan muslim dan bukan muslim. Muslim yang memelihara solat bererti dia memelihara agamanya. Tanpa solat runtuh agama seseorang. Jika diibaratkan dengan manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak mempunyai kepala tidak hidup, demikian tidak hidup agama bagi orang yang meninggalkan solat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Pemisah seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia melakukan kesyirikan.” (Riwayat Thabari).

Inilah wasatiyyahnya seorang muslim yang sihat menjalani cabaran seharian tanpa lupa tanggungjawab dan hubungan terhadap Penciptanya.