Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Al-Aqsa simbolik perjuangan nabi

Posted by epondok di Mei 24, 2016


Oleh Mohd Faiz Othman

MASJID al-Aqsa.

SEPANJANG perjalanan Rasulullah SAW untuk bertemu Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda yang diiringi Malaikat Jibril singgah di beberapa lokasi dan hikmah di sebalik peristiwa dilalui bukan sahaja kepada Baginda, tetapi insan lain yang mengambil ibrah daripadanya.

Di Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW diperlihatkan kehadiran roh 124,000 nabi (menurut ulama) yang menantikan penghulu segala nabi iaitu Baginda sendiri dan dapat melihat Nabi Musa, Nabi Isa serta Nabi Ibrahim mendirikan solat. Rasulullah SAW juga mengimamkan solat bersama nabi yang berkumpul di Masjid al-Aqsa.

Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman yang berkongsi kisah Israk Mikraj itu dalam program Ibrah di IKIMfm berkata, perhentian Rasulullah SAW di Masjid al-Aqsa adalah simbolik dalam meneruskan perjuangan nabi-nabi terdahulu yang majoritinya dari Palestin. Katanya, suasana nabi di masjid berkenaan yang menunaikan solat dalam keadaan penuh kerehatan dan kegembiraan menyedarkan Rasulullah SAW bahawa solat akan menjadikan Baginda lebih kuat kerana sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW berada dalam kesedihan.

“Baginda berduka kerana ketika di Makkah dakwah Baginda ditolak, malah Baginda turut dicemuh dan dicaci. Oleh itu, Allah SWT menghadirkan motivasi pertama kepada Baginda dengan mengimamkan solat di Masjid al-Aqsa,” katanya.

Menurut beliau, sekuat manapun ujian dan musibah yang menimpa, hendaklah menjadikan solat sebagai kekuatan seperti dilakukan oleh nabi terdahulu, jangan biarkan diri diperhambakan oleh emosi dan syaitan. Ketika mikraj, sekali lagi Rasulullah SAW dipertemukan dengan nabi dan berkomunikasi bersama mereka. Ia adalah kegembiraan kedua bagi Rasulullah SAW terutama dapat bersua dengan Nabi Adam di langit pertama dan bertukar salam.

Di langit kedua, Nabi SAW dipertemukan oleh Allah SWT dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa. Ucapan daripada Nabi Isa sangat memberi kesan motivasi kepada Nabi SAW dengan lafaz “Marhaban Bi Akhi As-Soleh Wa Nabi As-Soleh”.

Kemudian diperjalankan Nabi SAW ke langit ketiga dan bertemu insan paling indah rupa parasnya. Saat bersua dengan Nabi Yusuf, Baginda SAW teringatkan surah Yusuf dan kisah bagaimana Nabi Yusuf diusir oleh saudaranya sendiri. Menjadi kekuatan buat Rasulullah SAW saat Nabi Yusuf mengukir senyuman dan melafazkan salam kepada Baginda. Motivasi kepada Rasulullah

Di langit keempat, Nabi SAW bersua Nabi Idris. Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Musa di langit keenam. Pertemuan itu diakhiri salam berserta tangisan Nabi Musa. Lantas Rasulullah SAW bertanya: “Mengapa menangis? Nabi Musa berkata: Ya Muhammad, aku menangis kerana akan ada pemuda yang bangkit selepas aku, yang mana pengikutnya lebih ramai masuk ke syurga berbanding pengikutku.” Mendengarkan itu, bertambah motivasi Baginda SAW meneruskan dakwahnya.

Di langit ketujuh, alangkah gembiranya Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan moyangnya sendiri, Nabi Ibrahim sedang bersandar berehat di Bait Al-Ma’mur. Nabi SAW diberikan kekuatan dengan lafaz daripada nabi terdahulu termasuk penjaga pintu tujuh petala langit yang memuliakan dan mengenali Nabi Muhammad SAW. Apabila diuji Allah SWT, banyak dengarkan ucapan motivasi. Saat lemah kerana ujian, datangkan kata-kata positif yang mampu membangkitkan semangat iaitu lafaz “aku hamba Allah”

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: