Dengan mata berkaca lelaki ini bertanya kepada saya selesai program Ibrah Rasul Ulul Azmi Dari Jendela Al-Quran di Kuching, Sarawak baru-baru ini. Daripada air mukanya saya rasa lelaki ini seorang yang baik. Soalannya seolah-olah menampakkan longgokan dosa yang dilakukannya, tetapi saya memahaminya secara terbalik.

Beliau sebenarnya orang baik kerana “risau nasib penghujung hidupnya.” Orang sebegini dipuji Allah: “Dan orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar (bimbang kalau amalan mereka ditolak Allah) kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka; mereka itulah orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang yang mendahului pada mencapainya,” (al-Mu’minun [23:60-61]).

Orang yang risaukan dosa mereka sebenarnya memiliki nilai iman yang tinggi. Lihat bicara hadis ini: “Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah bukit yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya,” – Sahih Bukhari dan Sunan Tirmizi.

Bagi menjawab soalan sebegini, kita wajib memberikan mereka harapan sebagaimana firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai para hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat dan serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan,” (al-Zumar [39:53-54]).

PANDUAN MUDAH

Secara ringkas saya berikan dua panduan kepada beliau iaitu;

1 Memisahkan diri daripada kawan yang boleh mendorongnya kepada dosa.

Ia langkah awal yang sangat berkesan. Ia difahamkan daripada sebuah hadis: “Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, “Siapa orang yang paling alim dalam negeri ini?” Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia. Apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: “Tidak!” Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang.

Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; “Siapa orang paling berilmu dalam negeri ini?” Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang lelaki yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh 100 orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, “Ya, sudah tentu. Siapa yang sanggup menghalangnya daripada bertaubat. Pergilah kamu ke negeri sekian, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kembali lagi ke negerimu kerana negerimu adalah negeri yang buruk (dengan penghuninya boleh mendorongmu melakukan kejahatan).

Lelaki itu lantas bertolak ke negeri yang ditunjuk si alim. Di tengah perjalanan, lelaki itu meninggal dunia. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat azab. Kata malaikat rahmat, orang ini telah bertaubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah SWT. Kata malaikat azab, dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun.

Tiba-tiba datang satu malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ. Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat,” – Sahih Muslim.

2 Berdamping dengan orang soleh.

Oleh kerana sukar mengenalpasti siapakah orang soleh pada zaman ini, saya nasihatkan beliau agar berjinak dengan surau dan masjid. Ikatlah diri pada dua waktu solat yang utama iaitu Maghrib dan Isyak kerana pada kedua-dua waktu ini majlis ilmu selalu dijalankan. Ilmu yang disuburkan bersama teman masjid yang soleh mampu mengubah landskap hidup seseorang untuk menjadi orang yang baik.

INSAN TERPILIH

Ketika saya memberikannya dua cadangan ini, matanya kemerahan seakan menahan sebak di dada. Murah air mata kerana mengenang dosa juga petanda iman yang bagus. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan masuk neraka lelaki (juga wanita) yang menangis kerana takutkan Allah melainkan susu (yang diperah) kembali ke dalam kantungnya (ia suatu kiasan mustahil lelaki tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka sebagaimana mustahil susu akan kembali ke dalam kantung asalnya). Dan debu jihad pada jalan Allah tidak akan bersatu dengan asap neraka jahanam,” – Sunan Tirmizi.

Alhamdulillah, lelaki ini sebenarnya sangat beruntung kerana sedang dipanggil Allah kembali ke pangkal jalan sebagaimana firman Allah: “Dan Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat (syurga), dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu),” (Yunus [10:25]).

Allah yang menghantar kita ke dunia ini putih lagi suci daripada sebarang dosa, sangat mahukan kita kembali kepada-Nya juga dalam keadaan putih lagi suci. Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada memalitkan jiwa yang suci ini dengan lumpur dosa. Apa yang penting adalah sejauh mana usaha kita untuk kembali membersihkan jiwa. Bagaimana caranya? Gunakan “sabun rohani” iaitu taubat nasuha, semoga Allah menerima kita kembali.