Pendedahan kepada cuaca panas memberi kesan terhadap kesihatan manusia seperti strok haba yang membawa kematian. Masyarakat perlu bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya menghadapi fenomena ini. Maklumat bagi krisis ini boleh dilayari melalui laman web Kementerian Kesihatan dan membuat pemantauan suhu di kawasan persekitaran melalui laman web Jabatan Meteorologi.

Dalam menangani situasi kepanasan melampau sebegini, ibadah wuduk disyariatkan Allah SWT sebagai amalan harian, bahkan diwajibkan untuk mendirikan solat lima waktu. Amalan ini mempunyai kelebihan luar biasa yang bertindak balas dengan diri manusia. Mengambil wuduk atau membasahkan diri dapat mengimbangi haba dan suhu badan. Ia boleh disifatkan sebagai ejen penyejuk yang boleh menyegarkan kembali tubuh badan. Penyejukan ini diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya kepanasan badan melampau.

Penjelasan berkaitan wuduk dinyatakan secara jelas oleh Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 6 yang menjelaskan anggota wuduk wajib dan cara mengerjakannya serta Surah al-Nisa’ ayat 43 yang menyatakan air sebagai agen penyucian wuduk serta perkara yang membatalkannya.

HIKMAH BERWUDUK

Wuduk mendidik umat Islam bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan diri. Setiap hari anggota tubuh manusia pasti melakukan banyak aktiviti yang menjadi punca kekotoran dan jangkitan penyakit. Anggota yang paling banyak melakukan pekerjaan ialah tangan, kaki, mulut dan hidung. Anggota lain yang biasanya terdedah kepada debu dan kuman ialah muka, telinga serta kepala.

Justeru, wuduk dilakukan dengan menyapukan air ke bahagian-bahagian ini agar kuman dan kotoran yang menjadi punca pelbagai penyakit tidak bertapak lama pada anggota tubuh manusia. Wuduk merupakan satu agen penyucian fizikal manusia. Bahagian tubuh yang dibersihkan ketika berwuduk merupakan bahagian terdedah yang sentiasa menjadi tumpuan mikro organisma pembawa penyakit. Apabila berwuduk, bahagian kulit tersebut dibersihkan sekali gus berupaya menghindari jangkitan penyakit.

Penyucian fizikal yang dilakukan pada bahagian anggota wuduk, tidak dapat dipisahkan dengan penyucian rohani terhadap anggota tersebut. Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk sekali gus menunaikan ibadah solat lima waktu seperti yang disyariatkan. Anggota-anggota yang sering berdosa disucikan dengan wuduk. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

“Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh mukanya maka keluarlah dari mukanya segala dosa yang disebabkan oleh penglihatan matanya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya maka keluarlah dari kedua-dua tangannya segala dosa yang disebabkan oleh perbuatan kedua-dua tangannya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya maka keluarlah dari kedua-dua kakinya segala dosa yang dilakukan oleh kedua-dua kakinya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir sehingga ia keluar dalam keadaan bersih dari segala dosa,” – Riwayat Muslim.

Wuduk mampu memberi kesan positif terhadap tubuh manusia sama ada secara jasmani mahupun rohani. Wuduk yang dilaksanakan mengikut tertib berupaya menghindarkan umat Islam daripada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan fizikal manusia. Ia juga boleh menjadi terapi terbaik untuk kesihatan diri.

Secara fizikal, wuduk memberi kesan positif kepada jasmani manusia khususnya dari sudut kebersihan tubuh badan seseorang. Penggunaan air untuk berwuduk menunjukkan bahawa ibadah ini sangat berkait rapat dengan kebersihan dan kesihatan diri secara langsung kerana air mutlak yang digunakan merupakan air yang suci lagi menyucikan.

Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk dan mengekalkannya selagi tiada keuzuran yang menghalang, malahan digalakkan memperbaharui wuduk.

Inilah wasatiyyah seorang Muslim yang sentiasa beristiqamah melaksanakan perintah Allah SWT, di samping menangani situasi bahang panas El Nino yang dihadapi.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau dan terhindar daripada kesan kepanasan melampau, semoga cuaca negara kita kembali pulih seperti sediakala.