Perkara ini disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Syaaban; bulan yang sering dilalaikan insan; antara Rejab dan Ramadan. Syaaban adalah bulan di mana amal-amal diangkat kepada Rabb Semesta Alam; maka aku suka jika amalku diangkat, sedang aku dalam keadaan puasa.” (Riwayat Ahmad dan Nasa’i)

Sesuai dengan kedudukannya sebelum Ramadan, maka kita amat digalakkan melakukan beberapa amalan sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda SAW dalam bulan Syaaban.

Antara amalan yang sangat digalakkan adalah berpuasa sunat. Sebab itu, berdasarkan riwayat sahih disebutkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada sebahagian besar hari dalam bulan Syaaban. Aisyah berkata: “Tidak ku lihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya dalam sebulan penuh, selain di bulan Ramadan. Dan tidak aku lihat bulan yang beliau paling banyak berpuasa di dalamnya selain bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kedua, dalam bulan Syaaban amal-amal kita diangkat kepada Allah SWT. Hal ini disebut menerusi sabda Nabi SAW sebagai mana diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa’i di atas.

Selain itu, amalan kita turut dibentangkan di hadapan Allah SWT pada setiap hari (waktu pagi dan petang) dan dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis. Ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis-hadis sahih.

Ibnu Rajab menambah yang dikatakan juga makna lain tentang puasa Syaaban adalah ia persis latihan puasa Ramadan. Ini supaya apabila tibanya Ramadan badan kita tidak terkejut untuk melaksanakan kewajipan ibadat puasa. Sebaliknya, telah terlatih sehingga merasakan manis dan enaknya puasa Syaaban sebelum Ramadan, sehingga ia memasuki puasa Ramadan dengan kuat dan semangat. (Latha-if al-Ma’arif, hal. 252)

Ketiga, gunakan kesempatan bulan ini untuk melunasi hutang-hutang puasa, khususnya bagi wanita yang masih belum selesai mengqada puasa Ramadan. Demikian pula bagi kita khasnya para suami bertanggungjawab mengingatkan isteri dan ahli keluarga agar memanfaatkan Syaaban bagi yang belum selesai mengqada puasanya.

Saidatina Aisyah berkata: “Aku punya hutang puasa Ramadan, aku tak dapat mengqadanya kecuali di bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari)

Keempat, satu lagi perkara yang patut diperhebatkan adalah memperbanyak ibadah dan amal kebajikan secara umum. Ini termasuk menggiatkan solat rawatib, qiamullail, tilawah al-Quran, bersedekah dan lain-lain. Menyedari bahawa bulan ini adalah bulan diangkatnya amalan, alangkah baik jika kita mempertingkatkan kualiti amal kebajikan.

Tentang malam nisfu Syaaban (malam 15 Syaaban), hadis yang boleh dipegang adalah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)

Dalam kesempatan umur yang ada jangan kita lupa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kita dipertemukan dengan bulan Ramadan yang mulia. Bulan di mana ibadat sunat diberi ganjaran fardu dan ibadat wajib diberi ganjaran 70 kali ganda.