Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Etika, Adab Seorang Guru

Posted by epondok di Mei 16, 2016


DALAM rancangan Guru dan Pendidikan yang bersiaran di IKIMfm setiap Selasa jam 5.15 petang, tetamu undangan Dr. Hj. Shuhadak Mahmud membicarakan berhubung  “Etika, Adab Seorang Guru”.

Adab pertama yang perlu ada bagi seorang guru, pendidik, atau murabbi ialah mempunyai niat yang baik. Setiap amalan dalam Islam itu bermula dengan niat sepertimana mafhum hadith “Setiap amalan itu bermula dengan niat”. Walaupun keikhlasan bukanlah suatu perkara yang mudah, namun guru perlu melatih diri untuk menjadikan diri mereka ikhlas menjadi seorang pendidik kerana ada segelintir pendidik yang merasakan menjadi guru kerana mereka tiada pilihan pekerjaaan lain, lalu menjadi guru. Walhal peranan guru amat besar sekali menyambung perjuangan Baginda SAW sepertimana mafhum Sabda Baginda SAW “sesungguhnya aku diutus sebagai seorang pendidik”.

Para guru perlu merasakan bahawa tugas yang mereka buat merupakan tugas mulia dan sewajarnya berbangga dengan tugasan tersebut. Sepatutnya tiada perasaan bahawa tugas guru ini tidak glamour, tidak gah dan sebagainya.

Imam Nawawi menyebut dalam kitabnya “Al-Tibyan” beberapa adab yang perlu dipatuhi bagi menjadi seorang guru yang baik. Antaranya ikhlas dan perlu mengelak perasaan  cemburu bagi seorang guru terhadap guru yang lain. Perasaan tidak senang apabila orang suka belajar dengan orang lain tidak dengan kita. Perasaan cemburu dan iri hati ini tidak sepatutnya ada bagi seorang pendidik, ia sepatutnya menjadi muhasabah terhadap  diri kita bagi meningkatkan teknik penyampaian kita yang mungkin kurang mantap. Disebabkan perasaan cemburu itu, maka mulalah laga-melaga, buruk memburukkan satu sama lain wujud bagi menjatuhkan pendidik yang lain. Perasaan cemburu itu sebenarnya disebabkan oleh perasaan tidak ikhlas dan justeru kerana itu niat perlu diperbetulkan. Sehingga Imam Shafie RA mengungkapkan “aku amat bercita-cita agar sekalian orang belajar denganku namun tidak pun menyebut namaku”. Inilah kemuncak ikhlas apabila tidak mengharapkan pujian manusia.

Adab kedua ialah sewajarnya para pendidik memberikan penampilan diri dengan akhlak yang mulia seperti memberi salam, berpakaian kemas dan sopan.  Bercakap perkara-perkara yang baik dan bukannya banyak berlawak jenaka. Dia juga perlu ada amalan-amalan tertentu seperti wirid, zikir dan doa tertentu bagi memberi kekuatan rohani kepadanya dalam menghadapi cabaran sebagai pendidik.  Amalan-amalan sunat juga perlu dibuat seperti puasa sunat Isnin dan Khamis, solat Tahajud dan lain-lain yang akan memberi impak yang besar ketika penyampaian dan penerimaan pelajaran.

Dr Shuhadak turut menjelaskan perbezaan antara “ilmu” dan “maklumat”. Ilmu itu perlukan mujahadah untuk mendapatkannya dan menuntut ilmu juga dengan para guru yang murshid. Ilmu akan diproses sehingga memberi bekas kepada penuntutnya dan dizahirkan pada akhlak. Manakala maklumat itu biasanya rendah martabatnya berbanding ilmu dan biasanya bersifat luaran sahaja yang boleh diperolehi melalui pembacaan akhbar dan majalah. Maklumat boleh dinaiktaraf sebagai ilmu apabila ianya turut meninggalkan kesan kepada pelajar tersebut dari segi akhlak dan pemikiran.

Para guru juga perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik kepada murid-muridnya sepertimana Baginda SAW merupakan suri tauladan yang terbaik untuk dicontohi. Umat melihat Baginda SAW dalam mencontohi dan menghayati Islam, manakala murid-murid pula akan melihat para guru yang mewarisi Baginda SAW untuk menterjemahkan ilmu yang diajar. Para guru tidak sepatutnya mengajar berakhlak dengan akhlak baik, namun guru sendiri tidak menunjukkan akhlak yang baik. Ini sesuai dengan slogan yang sering kita dengar suatu ketika dahulu “Kepimpinan Melalui Tauladan”.

Antara adab guru yang disebutkan oleh Imam Nawawi ialah memberi nasihat yang baik. Termasuklah juga berlembut dengan anak-anak murid dan menunjukkan kecintaan kepada anak muridnya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri. Mungkin ada di kalangan mereka yang perlahan atau lembap dalam menerima ilmu namun guru sepatutnya tidak memberi tekanan kepada pelajar tersebut atau memarahinya. Berlembut dengan maksud meraikan kepelbagaian kemampuan pelajar ada di kalangan mereka yang pandai, kurang pandai, kaya dan miskn dan seumpamanya.

Adab seterusnya ialah mendidik secara bertahap.  Ilmu yang disampaikan perlulah diajar secara bertahap sesuai dengan kemampuan pelajar dengan tidak diajar semua sekali secara serentak.

Guru juga perlu mengajar fardu kifayah kepada anak-anak muridnya selain fardhu ain. Dengan ini diharapkan selain anak murid menguasai fardu ain, mereka turut akan mampu melaksanakan fardu kifayah dan memikul bebanan fardu kifayah itu menjadi fardu ain baginya.

Akhir sekali, untuk istiqamah sebagai seorang pendidik yang baik, berakhlak mulia tidak memadai untuk guru itu melakukannya secara bersendirian tetapi sebaliknya hendaklah mempunyai kumpulan guru-guru yang baik atau disebut “suhbah al-solihin” yang saling ingat mengingati dan tegur menegur jika berlaku kesilapan

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: