Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Tingkat iman hadapi Ramadan

Posted by epondok di Mei 14, 2016


Oleh Nik Hasnah Ismail

Rejab akan mengingatkan umat Islam hampirnya kedatangan Ramadan yang dinanti-nantikan sekalian yang beriman kepada Allah SWT, kerana keberkatan dan kelebihan Ramadan memberi peluang umat Islam merebut ganjaran pahala berlipat kali ganda. Justeru, umat Islam dianjurkan berdoa kepada Allah SWT supaya dikurniakan usia panjang, kesihatan yang baik dan kesempatan seluas-luasnya untuk bertemu serta beribadah di bulan mulia ini.

Sabda Rasulullah SAW: “Ya Allah, berkatilah kami di Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke Ramadan.”

Pada masa sama, kita juga dituntut membuat persediaan dan persiapan menjelang Ramadan dengan berusaha meningkatkan keimanan kepada Allah SWT dan selalu menanam pengharapan kepada Allah SWT yang Maha Berkuasa. Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharap pahala (reda Allah SWT), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.”

Menerusi program Islam Itu Indah, Ustaz Pahrol Muhamad Juoi menggalakkan umat Islam melalui Rejab dengan bijaksana sebagai persediaan spiritual serta fizikal menjelang tibanya bulan puasa tidak lama lagi.

Perbaiki kekurangan diri

Katanya, setiap kali menjelang tarikh 27 Rejab yang mengingatkan kita kepada peristiwa Israk Mikraj, umat Islam hendaklah memahami inti pati peristiwa itu serta mengambil sebanyak mungkin ibrah untuk memperbaiki kekurangan diri. “Sesungguhnya peristiwa Israk Mikraj mengandungi seribu satu pengajaran bagi umat Islam mengambil iktibar supaya dapat membina kualiti diri dan menjadi seorang Mukmin yang mendapat keredaan Allah SWT di dunia serta akhirat,” katanya.

Secara sepintas lalu, peristiwa Israk Mikraj adalah perjalanan spiritual Nabi Muhamad SAW yang kemudian diperlihatkan kepada Baginda SAW pelbagai gambaran serta pemandangan alam penuh rahsia yang semuanya mengandungi hikmah. Setiap yang dilakukan di dunia ini menentukan kedudukan seseorang itu di akhirnya nanti. Oleh itu, selain memperlihatkan kekuasaan Allah SWT, peristiwa Israk Mikraj menjelaskan kepada manusia bahawa setiap perbuatan baik dan jahat pasti ada pembalasannya.

Pahrol berkata, umat Islam hari ini perlu mencontohi alim ulama terdahulu yang tawaduk dan warak dalam beribadah. Orang soleh akan membuat persiapan meningkatkan ketakwaan enam bulan sebelum Ramadan sebagai terjemahan ketaatan serta keimanan tinggi kepada Allah SWT. Beliau turut menekankan kepentingan ilmu kerana setiap sesuatu yang ingin dilakukan termasuk membuat persediaan menghadapi bulan puasa hendaklah berpandukan kepada ilmu yang menjadi pelita menyuluh kehidupan manusia. Memiliki ilmu juga akan meningkatkan darjat manusia ke tahap lebih tinggi bukan saja pada pandangan manusia juga kedudukannya di sisi Allah SWT. Ilmu pengetahuan membantu manusia melaksanakan tuntutan agama secara lebih berkesan.

Bagi Ramadan yang bakal menjelang ini, banyak amalan digalakkan kepada umat Islam untuk dilakukan demi mencari keredaan Allah SWT serta meraih ganjaran berlipat ganda antaranya, digalakkan melakukan amalan baik, meningkatkan ibadah serta memperbanyakkan sedekah. Abdullah bin Abas berkata: “Rasulullah SAW adalah manusia yang paling dermawan. Sifat itu menjadi lebih hebat apabila tibanya bulan Ramadan. Ketika itu juga Baginda dikunjungi malaikat Jibril. Jibril menemui Rasulullah pada setiap malam Ramadan dan mereka membaca al-Quran bersama-sama secara bergilir-gilir. Ketika itu Rasulullah lebih kerap menderma, bahkan lebih kerap daripada tiupan angin.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: