Sarapan pagi kami pada hari itu membuka mata untuk satu dimensi baru mengenai solat. Rakan saya berkongsi cara yang digunakannya selepas dia pulang daripada mengerjakan haji untuk menimbulkan rasa rindu pada solat.

Kemuncak solat adalah sujud. Apabila Abu Jahal memberi amaran agar Rasulullah SAW tidak bersolat, Allah menegaskan Rasulullah SAW perlu bertindak sebaliknya: “Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya (kehendak Musyrikin Quraisy yang melarangmu bersolat), dan (sebaliknya) sujudlah dan dekatkanlah dirimu kepada Allah (dengan solat, taat dan amal soleh),” (al-‘Alaq[96:19]).

Sujud adalah lambang kehambaan seseorang manusia. Ia juga merupakan saat paling dekat antara hamba dan Allah. Sabda Rasulullah SAW: “Saat paling dekat antara seorang hamba dengan Tuhannya adalah ketika dia sedang bersujud. Oleh itu perbanyakkanlah doa (ketika sujud),” – Sahih Muslim dan Sunan Abu Dawud.

Sebenarnya bukan hanya manusia bersujud kepada Allah. Al-Quran merekodkan hampir semua makhluk selain manusia dan jin bertasbih serta sujud kepada Allah: “Langit yang tujuh dan bumi serta sekalian makhluk yang ada padanya, sentiasa mengucap tasbih bagi Allah; dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun,” (al-Isra’[17:44]).

Perihal sujud semua makhluk pula Allah berfirman: “Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang,” (al-Ra’d [13:15]).

Juga firman Allah: “Dan bagi Allah jualah tunduk sujud apa yang ada di langit dan yang ada di bumi daripada makhluk-makhluk yang bergerak serta malaikat; sedang mereka (para malaikat itu) tidak berlaku sombong takbur (daripada beribadat dan sujud kepada-Nya),” (al-Naml [16:49]).

Dan firman Allah: “Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (di antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkan-Nya,” (al-Hajj[22:18]).

Dalam sebuah hadis diceritakan seorang sahabat nabi pernah bermimpi melihat sebatang pokok sujud kepada Allah: “Seorang lelaki (Abu Sa’id al-Khudri r.a.) datang bertemu Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah aku bermimpi seakan aku sedang bersolat di belakang sebatang pokok kemudian aku bersujud, lalu pokok tersebut turut bersujud dan aku mendengar pokok itu berdoa “Ya Allah! Tuliskanlah bagiku dengan sujud ini pahala di sisi-Mu, dan hapuskan bagiku dengan sujud ini satu kesalahan, dan jadikan sujudku ini simpanan ganjaran di sisi-Mu, dan terimalah ibadahku ini sebagaimana engkau menerima ibadah hamba-Mu Daud a.s,” – Sunan Tirmidhi dan Sunan Ibn Majah.

Sujud dan tasbih makhluk selain manusia serta jin bermaksud semuanya tunduk kepada sistem alam yang disusun Allah. Ia juga menunjukkan kepatuhan dan ketaatan mereka kepada Allah di alam semesta (Tafsir al-Baydawi).

Selepas ini sematkan dalam hati bahawa kita tidak sendirian di alam semesta di bawah keagungan Allah. Jika makhluk sehebat langit, gunung dan sebagainya sanggup tunduk kepada Allah tanpa ingkar, pastinya kita yang serba kerdil lagi hina ini lebih patut merembas dahi ke lantai kepada Allah. Semoga cara ini dapat membantu mengenali diri sebagai hamba dan mencapai kelazatan sujud kepada Allah.