Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Ketawa keterlaluan bukan sifat Mukmin

Posted by epondok di Mei 1, 2016


Oleh Ahmad Nazri Mohd Yusoff
Umat Islam mesti sentiasa menjaga batas kesopanan dan tidak berlebih-lebih ketika bergembira.
Tertawa tabiat manusia. Binatang tidak dapat tertawa kerana tertawa itu datang selepas memahami dan mengetahui ucapan yang didengar atau sikap daripada gerakan dilihat sehingga membuatkan hati berasa lucu.
Ustaz Muhamad Abdullah al-Amin dalam rancangan Pesona D’Zahra yang bersiaran di IKIMfm setiap Isnin, jam 10.15 pagi berkata, indahnya Islam tidak melarang seseorang itu berseronok dengan bergelak ketawa. Berseronok boleh tetapi hendaklah sederhana kerana apabila ketawa terlalu kuat, kita sering alpa dalam menghayati akhlak Islam yang sebenar.
Membicarakan topik ‘Islam Anugerahkan Manusia Dengan Ketawa’, Muhamad Abdullah berkata, ketawa juga ada kesannya. Beliau berkata, ada tiga perkara tetap jatuh hukumnya walaupun dilakukan dalam keadaan berlawak. Nabi SAW bersabda: “Tiga perkara yang mana diambil hukumnya sama ada dalam keadaan berlawak atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.” (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Ibnu Majah – sanad hasan)
Orang Musyrikin dicela Allah SWT telah mencela orang Musyrikin yang ketawa ketika mendengar bacaan al-Quran. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Adakah kamu hai Musyrikin rasa hairan dengan ayat suci al-Quran? Kamu ketawa ketika mendengarnya, tidak menangis ketika mendengarnya dan kamu dengar dengan keadaan lalai.” (Surah an-Najm, ayat 59-61)
Firman-Nya lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Janganlah satu puak itu menghina puak yang lain, kemungkinan orang yang dihina lebih baik daripada orang yang menghina. Janganlah wanita menghina wanita lain, kemungkinan wanita yang dihina lebih baik daripada wanita yang menghina.” (Surah al-Hujurat, ayat 11)
Bergelak tertawa ada kala menjadi tidak baik dan makruh hukumnya. Ibn Mas’ud meriwayatkan daripada Auf bin Abdullah bahawa Rasulullah SAW tidak tertawa melainkan tersenyum simpul dan tidak suka menoleh kecuali dengan semua wajahnya. Hadis itu menunjukkan bahawa senyum adalah sunat dan tertawa berbahak-bahak adalah makruh. Maka dilarang bergelak tertawa kerana mereka banyak bergelak ketawa di dunia akan banyak menangis di akhirat, orang yang banyak menangis di dunia mereka akan banyak tertawa di syurga.
Menurut Yahya bin Muaadz ar-Razi, ada empat perkara yang menghilangkan tertawa seorang Mukmin iaitu kerana memikirkan akhirat, kesibukan mencari keperluan hidup, risau memikirkan dosa, tibanya musibah dan bala. Banyak ketawa bukan sifat Mukmin Jika seseorang sibuk memikirkan perkara itu, maka dia tidak banyak tertawa kerana banyak tertawa bukan sifat seorang Mukmin. Diriwayatkan oleh Ibn Abbas, “Sesiapa yang tertawa ketika membuat dosa, maka dia akan menangis ketika akan masuk neraka.”
Sabda Rasulullah SAW: “Dan siapa yang meninggalkan senda gurau diberi wibawa dan keindahan, dan siapa yang meninggalkan tertawa, maka ia berwibawa dan hebat, dan siapa yang tidak menginginkan kekayaan orang maka ia dicintai.”
Islam juga melarang seseorang melakukan sesuatu atau berkata sesuatu untuk mentertawakan orang lain atau menyebabkan orang lain tertawa. Contohnya, berlawak jenaka dengan mengeluarkan kalimah yang menyebabkan orang lain tertawa. Menurut riwayat daripada Ibrahim Annakhari, katanya, “Adakalanya seseorang mengeluarkan satu kalimah untuk mentertawakan orang di sekitarnya, maka Allah SWT murka padanya lalu murka Allah SWT itu merata kepada orang yang di sekitarnya, yang tertawa bersamanya. Jika seseorang yang berkata kalimah yang diredai oleh Allah SWT, maka ia mendapat rahmat dan rahmat Allah SWT itu diperoleh juga oleh orang di sekitarnya.”
Sabda Rasulullah SAW: “Neraka wail itu buat orang yang bercakap dengan berdusta dan berolok-olok supaya menimbulkan tertawa pada orang ramai, dan neraka wail itu untuk dia.”
Kalimah ‘neraka wail itu untuk dia’ diulang sebanyak dua kali, membuktikan tegas dan kuatnya amaran terhadap orang yang suka bergelak tertawa serta berjenaka. Islam memberi peringatan semakin kuat hilai tawa seseorang itu, semakin hampir iblis dan syaitan menari-nari untuk melalaikan dia.
Sentiasa jaga batas kesopanan

Muhamad Abdullah al-Amin menjelaskan, membuatkan orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah SAW juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga serta sahabat Baginda. Rasulullah SAW apabila ketawa hanya menampakkan barisan gigi hadapannya sahaja, bukan ketawa yang berdekah-dekah, mengilai atau terkekeh-kekeh. Justeru, hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan dalam erti kata yang sepatutnya. Islam tidak pernah melarang umatnya untuk ketawa tetapi biarlah di atas landasan syariat yang sederhana kerana kita tidak dapat mengelakkan sesuatu yang semula jadi tercipta.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: