Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for Mei 2016

Kenang selalu saat manis disatukan

Posted by epondok di Mei 31, 2016

Oleh Prof Dr Muhaya Mohamad
PERCERAIAN sesuatu yang dibolehkan tetapi tidak disukai Allah SWT. Penyelesaian kepada masalah ini perlu melihat. puncanya dari segi faktor luaran dan dalaman seperti menjadikan perasaan kasih sayang sebagai penyelesai masalah.
Suatu masa dahulu, pasangan kita adalah insan yang paling dicintai justeru, bayangkan semua saat bagaimana kita disatukan. Pada pasangan yang pernah bercinta sebelum disatukan, lihat kembali surat cinta atau hadiah pernah kita dapat daripada pasangan yang menggambarkan betapa dia sangat mencintai dan menghargai kita.
Dari segi saintifiknya, apabila fikiran dan hati memikirkan dan mengenangkan peristiwa serta kenangan manis mengenai suami atau isteri, hormon positif akan keluar ketika kita melakukan membayangkan imej positif itu. Seterusnya jangan mencari kesilapan pasangan sebaliknya muhasabah diri. Lihat di mana salah kita dan cuba fikirkan kenapa orang yang kita kenal baik sudah berubah sikap menjadi tidak baik. Jika pasangan yang bersalah atau sama-sama menjadi punca, penyelesaian ialah mengalah dan mohon maaf. Lupakan dan beri peluang pasangan melakukan kebaikan untuk membuktikan beliau benar-benar menyayangi kita. Untuk memperbaiki semua keadaan, lebih baik kita menilai diri dan cari di mana salah atau kekurangan kita.
Perjanjian baiki kesilapan
Sesungguhnya keresahan, kebencian dan kemarahan itu disebabkan oleh dosa kita, sama ada dengan Allah SWT atau sesama manusia. Bertaubat membersihkan hati yang dipenuhi tompok hitam. Taubat nasuha membersihkan hati dan memungkinkan doa dimakbulkan. Bagi mengatasi masalah rumah tangga, amalkan solat berjemaah, solat dengan sempurna dan tepat pada waktu. Orang yang taat, Allah SWT akan berikan kemudahan kepada mereka.
Mungkin perlu ada perjanjian antara suami dan isteri untuk membetulkan kesilapan serta tidak mengulangi kesilapan yang sama. Ingatlah, orang yang paling silap ialah orang yang melakukan kesilapan sama kerana itu tanda mereka tidak pernah belajar daripada kesilapan lalu. Apabila suami baik dengan isteri, isteri akan baik kepada suami. Jika suami berniat memperbetulkan diri dengan tidak mengulangi kesilapan, isteri juga perlu lakukan perkara sama. Orang yang bijak tahu kesilapan dan kelemahan sendiri.
Apabila niat perkahwinan untuk mendapat keredaan Allah SWT, maka masalah kecil dan remeh yang kita hadapi akan menjadi kecil atau biasa-biasa sahaja. Oleh itu, untuk menghalang perceraian, niat berkahwin mesti kerana Allah SWT, memenuhi sunah Nabi, bukan kerana cinta semata-mata. Tetapi seandainya sudah berlaku perceraian, dalam tempoh berpisah itu (tempoh edah) fikir dan renungkan kembali apakah corak kehidupan yang kita akan lalui selepas perceraian? Adakah kita teruskan perpisahan itu atau merujuk kembali pasangan?
Fahami kehendak pasangan
Biasanya jika kita betul-betul cinta dan pernah menikmati kebahagiaan berumah tangga bersama pasangan, apabila terputus ikatan akan timbul dua situasi. Pertama, timbul rasa rindu dan penyesalan. Kedua, adanya masa untuk bermuhasabah diri. Sebaiknya berikan peluang kedua untuk merujuk kembali. Berkasih sayang dan menghormati antara satu sama lain adalah keutamaan untuk jaminan kebahagiaan suami isteri. Jaga emosi dalam hubungan suami isteri. Fahami pasangan kerana ada orang yang suka dibelai, maka menangi hati pasangan dengan cara itu. Ada orang suka mendengar dan ada pula suka membaca tulisan, gunakan kaedah itu untuk menawan hati pasangan kita. Buatlah pasangan berasa dirinya dihargai, bertanggungjawab dan suka menjaga keluarga.

Ingatlah wanita, walau bagaimana besar pangkat, di rumah di sisi suami hendaklah merendah diri kerana suami ialah pemimpin kita ke syurga. Suami, pujilah isteri di hadapan keluarga. Mentua perlu lebihkan menantu daripada anak. Menantu pula perlu lebihkan mentua daripada anak. Demikianlah tip untuk memelihara rumah tangga daripada runtuh dan tidak dapat dibangunkan lagi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Ibu bapa tiada hasad pada anak-anak

Posted by epondok di Mei 30, 2016

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ
Sanggup mengorbankan segalanya demi anak

KASIH ibu bapa tidak bersempadan, apa sahaja sanggup dilakukan demi kebahagiaan anak-anak. Walaupun kelihatan tegas dan garang, tapi itulah “bahasa sayang” mereka yang hanya bakal difahami anak-anak setelah bergelar ibu bapa kelak.

Sucinya hubungan ibu bapa dan anak-anak daripada hasad dengki rupanya disinggung halus oleh Allah SWT dalam kisah Nabi Yusuf a.s. dan ayahnya Yaaqub a.s.: “(Ingatlah peristiwa) ketika Nabi Yusuf berkata kepada bapanya: “Wahai ayahku! Sesungguhnya aku mimpi melihat 11 bintang dan matahari serta bulan; aku melihat mereka tunduk memberi hormat kepadaku”. Bapanya berkata:” Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudaramu kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia,” (Yusuf [12:4-5]).

Mimpi baginda bukan calang-calang maksudnya. Ia menggambarkan betapa baginda akan menjadi seorang insan hebat pada kemudian hari. Bukan setakat itu,, adik beradiknya yang 11 orang itu juga akan tunduk hormat kepadanya.

Menyentuh firman ini, ada yang kritis bertanya mengapa matahari dan bulan berada di belakang bintang. Bukankah elok jika ia berada di hadapan sebelum sebutan 11 bintang. Jawapan Imam al-Razi: “Itu tanda keagungan ibu bapa dalam sebuah keluarga. Ia disokong sebuah ayat yang menceritakan keagungan Jibril dan Mikail berbanding semua malaikat,” – Tafsir al-Razi.

“Sesiapa memusuhi Allah (dengan mengingkari segala petunjuk dan perintah-Nya) dan memusuhi para malaikat-Nya dan Rasul-Nya, khasnya “malaikat Jibril dan Mikail”, (maka dia akan diseksa oleh Allah) kerana sesungguhnya Allah adalah musuh bagi orang kafir,” (al-Baqarah [2:98]).

LUMRAH MANUSIA

Nabi Yaaqub berpesan agar Nabi Yusuf tidak memaklumkan mimpinya kepada saudaranya kerana baginda sudah mencium bau hasad yang sangat kuat dalam kalangan mereka. Inilah kehebatan firman Allah, tepat dan benar.

Hasad antara adik beradik memang mudah berlaku tetapi sukar bahkan seakan mustahil berlaku antara ibu bapa dan anak-anak. Bukan sekali Allah menegaskan perkara ini. Antaranya kisah dua anak Nabi Adam a.s. berbunuhan kerana hasad si abang terhadap adiknya seperti dalam Surah al-Maidah: 27.

Ia juga disinggung halus ketika Allah mengutarakan isu faraid atau harta warisan. Bandingkan dua firman ini:
“…(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati dan sesudah dibayarkan hutangnya,” (al-Nisa’[4:11]).

Firman Allah dalam ayat seterusnya:

“….Dan jika si mati yang diwarisi itu, lelaki atau perempuan, yang tidak meninggalkan anak atau bapa; dan ada meninggalkan seorang saudara lelaki (seibu) atau saudara perempuan (seibu) maka bagi setiap seorang daripada keduanya ialah 1/6. Kalau pula mereka (saudara yang seibu itu) lebih daripada seorang, maka mereka bersekutu pada 1/3 (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan), “sesudah ditunaikan wasiat yang diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya; wasiat tersebut hendaknya tidak mendatangkan mudarat (kepada waris-waris),” (al-Nisa’[4:12]).

Ayat pertama (ayat 11) merujuk isu pewarisan daripada ibu bapa kepada anak-anak, manakala ayat kedua (ayat 12) merujuk kepada pewarisan sesama adik beradik. Perhatikan hujung kedua-dua ayat tentang wasiat tersebut.

  •  Pada hujung ayat 11, Allah tidak menyebut perkataan wasiat yang memberikan mudarat kepada ahli waris
  • Pada hujung ayat 12, disebut larangan wasiat dengan tujuan memberi mudarat.

Mengapa? Kemungkinan ibu bapa sengaja mewasiatkan harta melebihi hak anak-anak (kerana dengki terhadap mereka) sangat jarang berlaku. Berbeza dengan pewarisan adik beradik yang tidak memiliki waris lain, mereka mungkin menyimpan dendam hasad kepada saudara mereka. Oleh itu, mereka sengaja mewasiatkan harta mereka kepada pihak lain melebihi hak saudara sendiri.

Maha Suci Allah! Hebat sekali cara Allah menggambarkan kasih sayang ibu bapa kepada anak-anak. Oleh itu, sebagai anak-anak kita wajib mentaati dan mencintai ibu bapa sepenuh jiwa. Rasa cinta kepada mereka juga akan semakin mendalam setelah kita sendiri bergelar ibu bapa dan merasai peritnya membesarkan anak.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Akademi Pondok Sempena Ramadhan 1437H di Pondok Pasir Tumboh

Posted by epondok di Mei 29, 2016

󾔃 *PENGAJIAN KITAB TERBUKA DI PONDOK PASIR TUMBOH SEMPENA RAMADHAN 1437H* 󾔃
*PENGENALAN*
󾭸Sempena kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak 1437H maka pihak Pondok Pasir Tumboh akan mengadakan suatu program ilmu tahunan bagi menghayati bulan yang penuh keberkatan itu.
󾭸Program ini bertujuan memberi peluang kepada seluruh umat Islam samada dalam negeri atau luar Kelantan untuk mendalami ilmu agama sepanjang bulan Ramadhan.
󾭸Sebarang maklumat lanjut berkenaan program ini bolehlah menghubungi Ustaz Ahmad Shairazi di talian
09-7657786 / 019-9388902/ Ustazah Fadhilah (0129975513)
󾭸Pendaftaran dibuka sepanjang masa
󾭸Pengajian secara berulang alik atau menginap di pondok
*SYARAT & YURAN PENYERTAAN*
󾭸Terbuka kepada seluruh muslimin dan muslimat tanpa had umur
󾭸Pendaftaran RM 5 sahaja (tanpa kitab) dengan berulang-alik setiap hari
󾭸Harga Kitab
– Unwanul Falah Edisi jawi RM 3.00
– Hidayah Salikin edisi jawi RM5.00
– Misbahul Munir edisi jawi RM3.00
# Kitab Unwanul Falah melibatkan beberapa bab daripada ilmu Feqah
# Kitab Hidayah Salikin pula menyentuh ilmu tasawwuf
# Kitab Misbahul Munir berkenaan ilmu Tauhid
󾭸JADUAL HARIAN
9.00 – 11.00 pagi Kitab Unwanul Falah
2.00 – 3.00 ptg Kitab Hidayah Salikin
3.30 – 4.30 ptg Kitab Misbahul Munir
󾭸Bagi peserta muslimin yang ingin menetap di pondok yuran daftar RM20.00 dan bil elektrik RM10.00.
󾭸Datang daftar mulai 2 Ramadhan / 7 Jun nanti
󾭸Perbelanjaan makan minum tanggungan sendiri (majlis berbuka puasa disediakan di Masjid pondok setiap petang manakala pelajar muslimat bujang makanan berbuka disedia di madrasah tempat mereka menginap)
󾭸Bagi muslimat yang ingin tinggal kawasan pondok yuran daftar, tempat tinggal dan bil elektrik RM58.00. Sila hubungi Ustazah Fadhilah (0129975513)
󾭸Bagi pasangan kelamin atau warga emas kena cari pondok atau bilik sewa sendiri jika mahu tinggal kawasan pondok kerana pihak pejabat tidak menguruskan urusan tersebut
*TARIKH & MASA MULA DAFTAR DIRI*
󾭸Mulai 2 Ramadhan 1437H bersamaan 7 Jun 2016M (Selasa)
jam 8.30 pagi
󾭸Setiap Jumaat cuti
*KELENGKAPAN PERIBADI*
󾭸Sila bawa perkara tersebut :
1. Pelajar lelaki kena bawa Jubah sekurang sehelai (jika ada) / banyakkan baju melayu dan kain atau kemeja lengan panjang
2. Pelajar perempuan kena bawa Jubah
2. Pakaian tidur/selimut/toto@tilam/bantal
3. alat tulis
4. Fotostat kad pengenalan
5. Gambar ukuran passport sekeping
*TEMPAT PROGRAM*
󾭸Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumboh, 16150, Kota Bharu, Kelantan
*HUBUNGI* :
󾭸(Ust. Ahmad Shairazi)
Tel : 09-7657786
H/P : 019-9388902
Layari al-bakriah.com.my

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

ISRAK DAN MIKRAJ MELALUI SOLAT

Posted by epondok di Mei 26, 2016

ABDULLAH MD. ZIN

KITA sedia maklum, bulan ini umat Islam mengingati peristiwa Israk dan Mikraj – peristiwa Rasulullah SAW melakukan perjalanan yang jauh, dari Mekah ke Baitul Maqdis sete­rusnya Mikraj hingga ke langit ketujuh. Menurut jumhur ulama, kejadian berlaku pada 27 Rejab, setahun sebelum penghijrahan ke Madinah. Dalam peristiwa tersebut, Rasulullah dibawa berjalan dengan roh dan jasad. Kemuncaknya ibadah solat difardukan ke atas bagin­da secara langsung daripada Allah SWT di Sidratul Muntaha.

Solat boleh diumpamakan sebagai Israk dan Mikraj bagi seorang muslim. Semasa bersolat seseorang insan sewajarnya berada dalam keadaan patuh. Jasad dan hati fokus sepenuhnya mengadap Allah. Supaya sampai ke destinasi yang dituju, seseorang perlulah melepaskan diri daripada terpaut dengan perkara keduniaan. Penumpuan sepenuhnya kepada Allah secara mutlak dengan mengucapkan takbir dan tahmid, memuji kebesaran dan keagungan Ilahi, bermunajat serta berdoa memohon pertolong­an dan hidayah supaya dikurniakan kecemerlangan dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Mengerjakan solat wajib ke atas muslim yang baligh, berakal (‘aqil) dan suci daripada haid atau nifas serta tidak gila atau mabuk. Solat adalah ibadat yang mesti dikerjakan setiap orang dan tidak boleh diganti orang lain. Sesiapa yang mengingkari wajibnya solat lima waktu, hukumnya kafir dan murtad kerana telah jelas kefarduannya. Mereka yang mening­galkan solat kerana malas atau sibuk dengan urusan lain, tetapi masih beriman dan percaya dengan kefarduan solat, hu­kumnya fasik dan berdosa besar kecuali bagi yang baru memeluk agama Islam. Meninggalkan solat lima waktu boleh membawa hukuman yang berat di akhirat kelak. Allah berfirman maksudnya: “Kemudian mereka (yang taat) digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat), mereka akan menghadapi azab di dalam neraka kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta ber­amal soleh.” (Surah Maryam: 59-60)

Kajian saintifik menunjukkan betapa indah dan sempurnanya agama Islam sehingga setiap kewa­jipan yang diperintahkan mempunyai manfaat tersendiri. Penyelidikan oleh Profesor Madya Dr. Fatimah Ibrahim, Profesor Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok, pensyarah Jabatan Kejuruteraan Biomedikal, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya pada 2009 menunjukkan fakta-fakta saintifik kebaikan ibadah solat yang bukan sahaja memberikan manfaat rohaniah tetapi juga fizikal dan mental apabila dilakukan de­ngan tekun serta postur yang be­tul. Mereka membongkar fakta positif kebaikan solat dari sudut saintifik antaranya menurunkan kadar denyutan jantung, mengurangkan sakit pinggang, memperbaiki disfungsi ereksi (DE) serta mengaktifkan otot lantai pelvik.

Kajian itu mendapati mereka yang mengikuti lima tabiat lazim Rasulul­lah iaitu tetap bersolat, faham bacaan, solat berjemaah atau sendirian, rukuk 90 darjah, kedudukan kaki yang betul semasa sujud dan duduk tahiyat mempunyai kesihatan yang baik. Subjek kajian menjalani ujian kesihatan menyeluruh sebelum dan selepas menunaikan solat sunat dua rakaat.

Hasil kajian menunjukkan subjek yang menepati lima perkara tersebut bukan saja lebih sihat bahkan lebih tenang selepas menunaikan solat.

Solat berjemaah lebih afdal berbanding solat sendirian. Fadilatnya dirakamkan dalam sabda Baginda SAW maksudnya : “Solat berjemaah lebih afdal daripada solat berseorangan dengan kelebihan 27 darjat.” (Riwayat Bukhari).

Kelebihan solat berjemaah turut terbukti dari segi saintifik yang diakui oleh Prof. John Herbert, pakar sains fizik universiti di Amerika Syarikat selepas membuat kajian mengenai tujuan dan kelebihan solat berjemaah. Hasil kajian beliau mendapati sentuhan antara bahu jemaah ketika solat mampu menyeimbangkan cas elektrik positif dan negatif yang terdapat dalam tubuh manusia menjadikan tubuh lebih segar dan bertenaga. Penemuan itu membuka pintu hatinya, mendapat hidayah Allah dan memeluk agama Islam.

Solat yang sempurna mengikuti sifat solat Baginda SAW. Tatacara solat ini dapat diketahui melalui sunnah berdasarkan sabda baginda SAW maksudnya: “Solatlah sebagaimana kamu melihat aku solat.” (Riwayat Bukhari).

Malangnya hari ini, ramai yang bersolat dalam keadaan lalai, masih menjeling mesej di telefon bimbit dan tidak ketinggalan yang sering mempertikaikan solat orang lain. Bayangkan jika di hadapan raja dalam sesuatu majlis, pakaian rasmi mengikut protokol, telefon bimbit ditetapkan dalam mod senyap, duduk tertib menghormati protokol majlis, tetapi kenapa apabila meng­adap Allah semasa bersolat, kita tidak menjaga adab sepenuhnya?

Solat membezakan muslim dan bukan muslim. Muslim yang memelihara solat bererti dia memelihara agamanya. Tanpa solat runtuh agama seseorang. Jika diibaratkan dengan manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak mempunyai kepala tidak hidup, demikian tidak hidup agama bagi orang yang meninggalkan solat. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Pemisah seorang hamba dengan kekufuran dan keimanan adalah solat. Apabila dia meninggalkannya, maka dia melakukan kesyirikan.” (Riwayat Thabari).

Inilah wasatiyyahnya seorang muslim yang sihat menjalani cabaran seharian tanpa lupa tanggungjawab dan hubungan terhadap Penciptanya.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Semua makhluk termasuk malaikat mati

Posted by epondok di Mei 25, 2016

Oleh Fairuz Noordin

Rasulullah SAW menyebut jarak antara satu tiupan dengan tiupan berikutnya mengambil masa selama 40, tanpa dijelaskan oleh sahabat sama ada ia 40 tahun, hari atau bulan. Tiupan kedua sangkakala oleh malaikat Israfil menyebabkan kematian seluruh makhluk di langit dan bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan (ingatkanlah) hari ditiup sangkakala, lalu terkejutlah, gerun gementar, makhluk yang ada di langit dan yang ada di bumi, kecuali mereka yang dikehendaki Allah; dan semuanya akan datang kepada-Nya dengan keadaan tunduk patuh. Dan engkau melihat gunung-ganang, engkau menyangkanya tetap membeku, pada hal ia bergerak cepat seperti bergeraknya awan; (demikianlah) perbuatan Allah yang telah membuat tiap-tiap sesuatu dengan serapi-rapi dan sebaik-baiknya; sesungguhnya Ia amat mendalam pengetahuan-Nya akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Naml, ayat 87-88)

Ibnu Rafiq menyebut, terbelahnya langit terjadi di antara dua tiupan dan pada waktu itu bintang berhamburan jatuh berguguran, matahari serta bulan tidak lagi bersinar, maka suasana bertukar. Begitulah digambarkan seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “(Ingatlah) masa hari bumi ini diganti dengan yang lain, demikian juga langit; dan manusia semuanya keluar berhimpun menghadap Allah, Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa. Dan engkau akan melihat orang yang berdosa pada ketika itu diberkas dengan belenggu. Pakaian mereka dari belangkin (minyak tar), dan muka (serta seluruh badan) mereka diliputi oleh jilatan api neraka.” (Surah Ibrahim, ayat 48-50)

Tiupan ketiga seluruh penghuni dibangkit semula Menurut Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, menerusi slot Mau’izati di IKIMfm, tiupan ketiga ialah tiupan yang membangkitkan semula seluruh penghuni untuk menghadap Allah SWT. Manusia mengalami ketakutan yang amat sangat disebabkan azab Allah SWT dan melihat suasana di Padang Mahsyar. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai umat manusia, bertakwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa mengerikan) itu, tiap-tiap ibu yang menyusukan akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau melihat manusia mabuk, pada hal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.” (Surah Al-Haj, ayat 1-2)

Apabila semua makhluk dimatikan, malaikat maut (Izrail) datang menghadap Allah SWT dan menyebut: “Wahai Allah, penghuni langit dan bumi semuanya telah mati kecuali mereka yang Kamu kehendaki sahaja. Lalu Allah bertanya: Siapakah yang masih hidup? Malaikat Izrail berkata: Wahai Tuhanku, yang hidup adalah Engkau, yang Maha Hidup dan tidak akan mati, dan malaikat yang menjaga Arasy-Mu, Jibril, Mikail dan diriku. Allah berfirman: Matilah Jibril dan Mikail. Allah menjadikan Arasy boleh berkata-kata: Ya Tuhanku, benarkan Jibril dan Mikail itu mati. Allah membentak kepada malaikat penjaga Arasy: Diam kamu! Sesungguhnya Aku telah menetapkan kematian siapa sahaja yang berada di bawah Arasy-Ku, oleh kerana itu kedua-duanya mesti mati. Lalu dicabut nyawa mereka dan datang semula malaikat Izrail menghadap Allah dan berkata: Ya Allah, Jibril dan Mikail sudah dimatikan, tinggal diriku dan malaikat yang menjaga Arasy. Allah memerintahkan pula malaikat menjaga Arasy dimatikan.

Langit, bumi digulung

Kemudian Arasy diperintahkan oleh Allah supaya mencabut sangkakala daripada tangan Israfil dan dia pula yang memegangnya. Malaikat Izrail datang bertemu Allah semula dan memberitahu bahawa malaikat penjaga Arasy juga telah mati. Akhirnya malaikat Izrail juga dicabut nyawanya disertai tempikannya yang amat mengerikan. Yang tinggal hanyalah Allah SWT yang kemudian menggulungkan langit dan bumi bagaikan menggulung lembaran-lembaran kertas dan melipatnya dengan tiga kali lipatan. Lalu Allah bertanya dengan tiga kali tempikan: Di manakah raja-raja dan pembesar-pembesar serta mereka yang berkuasa di atas dunia dahulu? Milik siapakah pada hari ini? Lalu Allah SWT menyebut: Hari ini hari Allah yang memiliki segala sesuatu.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Al-Aqsa simbolik perjuangan nabi

Posted by epondok di Mei 24, 2016

Oleh Mohd Faiz Othman

MASJID al-Aqsa.

SEPANJANG perjalanan Rasulullah SAW untuk bertemu Allah SWT dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Baginda yang diiringi Malaikat Jibril singgah di beberapa lokasi dan hikmah di sebalik peristiwa dilalui bukan sahaja kepada Baginda, tetapi insan lain yang mengambil ibrah daripadanya.

Di Masjid al-Aqsa, Rasulullah SAW diperlihatkan kehadiran roh 124,000 nabi (menurut ulama) yang menantikan penghulu segala nabi iaitu Baginda sendiri dan dapat melihat Nabi Musa, Nabi Isa serta Nabi Ibrahim mendirikan solat. Rasulullah SAW juga mengimamkan solat bersama nabi yang berkumpul di Masjid al-Aqsa.

Ustaz Muhammad Syaari Abd Rahman yang berkongsi kisah Israk Mikraj itu dalam program Ibrah di IKIMfm berkata, perhentian Rasulullah SAW di Masjid al-Aqsa adalah simbolik dalam meneruskan perjuangan nabi-nabi terdahulu yang majoritinya dari Palestin. Katanya, suasana nabi di masjid berkenaan yang menunaikan solat dalam keadaan penuh kerehatan dan kegembiraan menyedarkan Rasulullah SAW bahawa solat akan menjadikan Baginda lebih kuat kerana sebelum peristiwa Israk Mikraj, Rasulullah SAW berada dalam kesedihan.

“Baginda berduka kerana ketika di Makkah dakwah Baginda ditolak, malah Baginda turut dicemuh dan dicaci. Oleh itu, Allah SWT menghadirkan motivasi pertama kepada Baginda dengan mengimamkan solat di Masjid al-Aqsa,” katanya.

Menurut beliau, sekuat manapun ujian dan musibah yang menimpa, hendaklah menjadikan solat sebagai kekuatan seperti dilakukan oleh nabi terdahulu, jangan biarkan diri diperhambakan oleh emosi dan syaitan. Ketika mikraj, sekali lagi Rasulullah SAW dipertemukan dengan nabi dan berkomunikasi bersama mereka. Ia adalah kegembiraan kedua bagi Rasulullah SAW terutama dapat bersua dengan Nabi Adam di langit pertama dan bertukar salam.

Di langit kedua, Nabi SAW dipertemukan oleh Allah SWT dengan Nabi Yahya dan Nabi Isa. Ucapan daripada Nabi Isa sangat memberi kesan motivasi kepada Nabi SAW dengan lafaz “Marhaban Bi Akhi As-Soleh Wa Nabi As-Soleh”.

Kemudian diperjalankan Nabi SAW ke langit ketiga dan bertemu insan paling indah rupa parasnya. Saat bersua dengan Nabi Yusuf, Baginda SAW teringatkan surah Yusuf dan kisah bagaimana Nabi Yusuf diusir oleh saudaranya sendiri. Menjadi kekuatan buat Rasulullah SAW saat Nabi Yusuf mengukir senyuman dan melafazkan salam kepada Baginda. Motivasi kepada Rasulullah

Di langit keempat, Nabi SAW bersua Nabi Idris. Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan Nabi Musa di langit keenam. Pertemuan itu diakhiri salam berserta tangisan Nabi Musa. Lantas Rasulullah SAW bertanya: “Mengapa menangis? Nabi Musa berkata: Ya Muhammad, aku menangis kerana akan ada pemuda yang bangkit selepas aku, yang mana pengikutnya lebih ramai masuk ke syurga berbanding pengikutku.” Mendengarkan itu, bertambah motivasi Baginda SAW meneruskan dakwahnya.

Di langit ketujuh, alangkah gembiranya Nabi Muhammad SAW dipertemukan dengan moyangnya sendiri, Nabi Ibrahim sedang bersandar berehat di Bait Al-Ma’mur. Nabi SAW diberikan kekuatan dengan lafaz daripada nabi terdahulu termasuk penjaga pintu tujuh petala langit yang memuliakan dan mengenali Nabi Muhammad SAW. Apabila diuji Allah SWT, banyak dengarkan ucapan motivasi. Saat lemah kerana ujian, datangkan kata-kata positif yang mampu membangkitkan semangat iaitu lafaz “aku hamba Allah”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Umur dah lanjut, tetapi masih hanyut

Posted by epondok di Mei 21, 2016

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM

INDIVIDU yang risaukan dosa-dosa mereka sebenarnya memiliki nilai INDIVIDU yang risaukan dosa-dosa mereka sebenarnya memiliki nilai iman yang tinggi. – GAMBAR HIASAN

“USTAZ! Bagaimana dengan diri saya ini? Usia dah mencecah 52 tahun, tapi hidup masih terumbang-ambing sekejap ke kiri sekejap ke kanan.”

Dengan mata berkaca lelaki ini bertanya kepada saya selesai program Ibrah Rasul Ulul Azmi Dari Jendela Al-Quran di Kuching, Sarawak baru-baru ini. Daripada air mukanya saya rasa lelaki ini seorang yang baik. Soalannya seolah-olah menampakkan longgokan dosa yang dilakukannya, tetapi saya memahaminya secara terbalik.

Beliau sebenarnya orang baik kerana “risau nasib penghujung hidupnya.” Orang sebegini dipuji Allah: “Dan orang yang memberi apa yang mereka berikan sedang hati mereka gementar (bimbang kalau amalan mereka ditolak Allah) kerana mereka yakin akan kembali kepada Tuhan mereka; mereka itulah orang yang segera mengerjakan kebaikan dan merekalah orang yang mendahului pada mencapainya,” (al-Mu’minun [23:60-61]).

Orang yang risaukan dosa mereka sebenarnya memiliki nilai iman yang tinggi. Lihat bicara hadis ini: “Sesungguhnya orang beriman (sangat gerun) melihat dosanya seperti dia sedang berdiri di bawah bukit yang dirisaukan menimpanya, manakala orang yang jahat pula hanya melihat dosanya seperti seekor lalat melintasi hidungnya,” – Sahih Bukhari dan Sunan Tirmizi.

Bagi menjawab soalan sebegini, kita wajib memberikan mereka harapan sebagaimana firman Allah: “Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai para hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. Dan kembalilah kamu kepada Tuhan kamu dengan bertaubat dan serta berserah bulat-bulat kepada-Nya, sebelum kamu didatangi azab; kerana sesudah itu kamu tidak akan diberikan pertolongan,” (al-Zumar [39:53-54]).

PANDUAN MUDAH

Secara ringkas saya berikan dua panduan kepada beliau iaitu;

1 Memisahkan diri daripada kawan yang boleh mendorongnya kepada dosa.

Ia langkah awal yang sangat berkesan. Ia difahamkan daripada sebuah hadis: “Pada zaman dahulu ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang manusia. Lalu dia bertanya kepada penduduk negeri, “Siapa orang yang paling alim dalam negeri ini?” Maka ditunjukkan orang seorang rahib (pendeta Yahudi). Lalu didatangi rahib itu seraya mengatakan bahawa dia telah membunuh 99 orang manusia. Apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab Rahib: “Tidak!” Maka dibunuhnya rahib itu, dan genaplah korban pembunuhannya 100 orang.

Kemudian dia bertanya pula kepada penduduk; “Siapa orang paling berilmu dalam negeri ini?” Maka ditunjukkan orang kepadanya seorang lelaki yang alim. Dia menceritakan kepada orang alim itu bahawa dia telah membunuh 100 orang. Kemudian bertanya apakah pintu taubat masih terbuka baginya atau tidak? Jawab ulama, “Ya, sudah tentu. Siapa yang sanggup menghalangnya daripada bertaubat. Pergilah kamu ke negeri sekian, kerana di sana penduduknya menyembah Allah. Sembahlah Allah bersama mereka dan jangan kembali lagi ke negerimu kerana negerimu adalah negeri yang buruk (dengan penghuninya boleh mendorongmu melakukan kejahatan).

Lelaki itu lantas bertolak ke negeri yang ditunjuk si alim. Di tengah perjalanan, lelaki itu meninggal dunia. Maka bertengkarlah malaikat rahmat dengan malaikat azab. Kata malaikat rahmat, orang ini telah bertaubat dan dia sedang menghadap dengan hati yang taubat itu kepada Allah SWT. Kata malaikat azab, dia belum pernah melakukan kebaikan sedikit jua pun.

Tiba-tiba datang satu malaikat dengan rupa manusia, lalu dia berdiri di tengah-tengah mereka seraya berkata, ukurlah jarak kedua negeri itu, ke mana yang lebih dekat bawalah dia ke situ. Setelah diukur ternyata yang lebih dekat ialah negeri yang di tujunya. Maka dibawalah dia oleh malaikat rahmat,” – Sahih Muslim.

2 Berdamping dengan orang soleh.

Oleh kerana sukar mengenalpasti siapakah orang soleh pada zaman ini, saya nasihatkan beliau agar berjinak dengan surau dan masjid. Ikatlah diri pada dua waktu solat yang utama iaitu Maghrib dan Isyak kerana pada kedua-dua waktu ini majlis ilmu selalu dijalankan. Ilmu yang disuburkan bersama teman masjid yang soleh mampu mengubah landskap hidup seseorang untuk menjadi orang yang baik.

INSAN TERPILIH

Ketika saya memberikannya dua cadangan ini, matanya kemerahan seakan menahan sebak di dada. Murah air mata kerana mengenang dosa juga petanda iman yang bagus. Sabda Rasulullah SAW: “Tidak akan masuk neraka lelaki (juga wanita) yang menangis kerana takutkan Allah melainkan susu (yang diperah) kembali ke dalam kantungnya (ia suatu kiasan mustahil lelaki tersebut akan dimasukkan ke dalam neraka sebagaimana mustahil susu akan kembali ke dalam kantung asalnya). Dan debu jihad pada jalan Allah tidak akan bersatu dengan asap neraka jahanam,” – Sunan Tirmizi.

Alhamdulillah, lelaki ini sebenarnya sangat beruntung kerana sedang dipanggil Allah kembali ke pangkal jalan sebagaimana firman Allah: “Dan Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat (syurga), dan Dia sentiasa memberi petunjuk hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya) ke jalan yang betul lurus (yang selamat itu),” (Yunus [10:25]).

Allah yang menghantar kita ke dunia ini putih lagi suci daripada sebarang dosa, sangat mahukan kita kembali kepada-Nya juga dalam keadaan putih lagi suci. Sebagai manusia, kita tidak boleh lari daripada memalitkan jiwa yang suci ini dengan lumpur dosa. Apa yang penting adalah sejauh mana usaha kita untuk kembali membersihkan jiwa. Bagaimana caranya? Gunakan “sabun rohani” iaitu taubat nasuha, semoga Allah menerima kita kembali.

 

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Wuduk dan El Nino

Posted by epondok di Mei 20, 2016

SAMA-SAMALAH berdoa kepada Allah supaya diturunkan hujan dan terhindar SAMA-SAMALAH berdoa kepada Allah supaya diturunkan hujan dan terhindar daripada kesan kepanasan melampau. – GAMBAR HIASAN

Sebelum ini negara mengalami cuaca panas melampau dengan sesetengah kawasan mencatatkan suhu mencecah 37 hingga 40 darjah Celsius. Ia berpunca daripada fenomena El Nino yang melanda negara sejak Ogos 2015.

Pendedahan kepada cuaca panas memberi kesan terhadap kesihatan manusia seperti strok haba yang membawa kematian. Masyarakat perlu bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya menghadapi fenomena ini. Maklumat bagi krisis ini boleh dilayari melalui laman web Kementerian Kesihatan dan membuat pemantauan suhu di kawasan persekitaran melalui laman web Jabatan Meteorologi.

Dalam menangani situasi kepanasan melampau sebegini, ibadah wuduk disyariatkan Allah SWT sebagai amalan harian, bahkan diwajibkan untuk mendirikan solat lima waktu. Amalan ini mempunyai kelebihan luar biasa yang bertindak balas dengan diri manusia. Mengambil wuduk atau membasahkan diri dapat mengimbangi haba dan suhu badan. Ia boleh disifatkan sebagai ejen penyejuk yang boleh menyegarkan kembali tubuh badan. Penyejukan ini diperlukan bagi mengelak daripada berlakunya kepanasan badan melampau.

Penjelasan berkaitan wuduk dinyatakan secara jelas oleh Allah dalam Surah al-Maidah, ayat 6 yang menjelaskan anggota wuduk wajib dan cara mengerjakannya serta Surah al-Nisa’ ayat 43 yang menyatakan air sebagai agen penyucian wuduk serta perkara yang membatalkannya.

HIKMAH BERWUDUK

Wuduk mendidik umat Islam bertanggungjawab dalam memelihara kebersihan diri. Setiap hari anggota tubuh manusia pasti melakukan banyak aktiviti yang menjadi punca kekotoran dan jangkitan penyakit. Anggota yang paling banyak melakukan pekerjaan ialah tangan, kaki, mulut dan hidung. Anggota lain yang biasanya terdedah kepada debu dan kuman ialah muka, telinga serta kepala.

Justeru, wuduk dilakukan dengan menyapukan air ke bahagian-bahagian ini agar kuman dan kotoran yang menjadi punca pelbagai penyakit tidak bertapak lama pada anggota tubuh manusia. Wuduk merupakan satu agen penyucian fizikal manusia. Bahagian tubuh yang dibersihkan ketika berwuduk merupakan bahagian terdedah yang sentiasa menjadi tumpuan mikro organisma pembawa penyakit. Apabila berwuduk, bahagian kulit tersebut dibersihkan sekali gus berupaya menghindari jangkitan penyakit.

Penyucian fizikal yang dilakukan pada bahagian anggota wuduk, tidak dapat dipisahkan dengan penyucian rohani terhadap anggota tersebut. Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk sekali gus menunaikan ibadah solat lima waktu seperti yang disyariatkan. Anggota-anggota yang sering berdosa disucikan dengan wuduk. Rasulullah SAW bersabda bermaksud :

“Apabila seorang hamba Muslim atau Mukmin berwuduk, lalu dia membasuh mukanya maka keluarlah dari mukanya segala dosa yang disebabkan oleh penglihatan matanya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua tangannya maka keluarlah dari kedua-dua tangannya segala dosa yang disebabkan oleh perbuatan kedua-dua tangannya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir. Apabila dia membasuh kedua-dua kakinya maka keluarlah dari kedua-dua kakinya segala dosa yang dilakukan oleh kedua-dua kakinya bersama dengan air atau bersama titisan air yang terakhir sehingga ia keluar dalam keadaan bersih dari segala dosa,” – Riwayat Muslim.

Wuduk mampu memberi kesan positif terhadap tubuh manusia sama ada secara jasmani mahupun rohani. Wuduk yang dilaksanakan mengikut tertib berupaya menghindarkan umat Islam daripada pelbagai penyakit yang berkaitan dengan fizikal manusia. Ia juga boleh menjadi terapi terbaik untuk kesihatan diri.

Secara fizikal, wuduk memberi kesan positif kepada jasmani manusia khususnya dari sudut kebersihan tubuh badan seseorang. Penggunaan air untuk berwuduk menunjukkan bahawa ibadah ini sangat berkait rapat dengan kebersihan dan kesihatan diri secara langsung kerana air mutlak yang digunakan merupakan air yang suci lagi menyucikan.

Oleh itu, umat Islam seharusnya sentiasa berusaha untuk berwuduk dan mengekalkannya selagi tiada keuzuran yang menghalang, malahan digalakkan memperbaharui wuduk.

Inilah wasatiyyah seorang Muslim yang sentiasa beristiqamah melaksanakan perintah Allah SWT, di samping menangani situasi bahang panas El Nino yang dihadapi.

Sama-sama kita berdoa kepada Allah supaya menurunkan hujan bagi mengatasi kemarau dan terhindar daripada kesan kepanasan melampau, semoga cuaca negara kita kembali pulih seperti sediakala.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Banyakkan puasa bulan Syaaban

Posted by epondok di Mei 19, 2016

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

MASA amat pantas berlalu. Kini kita sudah berada pada 6 Syaaban. Syaaban adalah bulan kelapan dalam tahun Hijrah. Bulan ini terletak antara dua bulan yang dimuliakan iaitu Rejab dan Ramadan. Bagaimanapun, ramai dalam kalangan kita lupa atau lalai tentang hal ini.

Perkara ini disebut oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: “Syaaban; bulan yang sering dilalaikan insan; antara Rejab dan Ramadan. Syaaban adalah bulan di mana amal-amal diangkat kepada Rabb Semesta Alam; maka aku suka jika amalku diangkat, sedang aku dalam keadaan puasa.” (Riwayat Ahmad dan Nasa’i)

Sesuai dengan kedudukannya sebelum Ramadan, maka kita amat digalakkan melakukan beberapa amalan sebagaimana yang ditunjukkan oleh baginda SAW dalam bulan Syaaban.

Antara amalan yang sangat digalakkan adalah berpuasa sunat. Sebab itu, berdasarkan riwayat sahih disebutkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada sebahagian besar hari dalam bulan Syaaban. Aisyah berkata: “Tidak ku lihat Rasulullah SAW menyempurnakan puasanya dalam sebulan penuh, selain di bulan Ramadan. Dan tidak aku lihat bulan yang beliau paling banyak berpuasa di dalamnya selain bulan Syaaban.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Kedua, dalam bulan Syaaban amal-amal kita diangkat kepada Allah SWT. Hal ini disebut menerusi sabda Nabi SAW sebagai mana diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasa’i di atas.

Selain itu, amalan kita turut dibentangkan di hadapan Allah SWT pada setiap hari (waktu pagi dan petang) dan dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis. Ini sebagaimana yang terkandung dalam hadis-hadis sahih.

Ibnu Rajab menambah yang dikatakan juga makna lain tentang puasa Syaaban adalah ia persis latihan puasa Ramadan. Ini supaya apabila tibanya Ramadan badan kita tidak terkejut untuk melaksanakan kewajipan ibadat puasa. Sebaliknya, telah terlatih sehingga merasakan manis dan enaknya puasa Syaaban sebelum Ramadan, sehingga ia memasuki puasa Ramadan dengan kuat dan semangat. (Latha-if al-Ma’arif, hal. 252)

Ketiga, gunakan kesempatan bulan ini untuk melunasi hutang-hutang puasa, khususnya bagi wanita yang masih belum selesai mengqada puasa Ramadan. Demikian pula bagi kita khasnya para suami bertanggungjawab mengingatkan isteri dan ahli keluarga agar memanfaatkan Syaaban bagi yang belum selesai mengqada puasanya.

Saidatina Aisyah berkata: “Aku punya hutang puasa Ramadan, aku tak dapat mengqadanya kecuali di bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Nabi SAW.” (Riwayat Bukhari)

Keempat, satu lagi perkara yang patut diperhebatkan adalah memperbanyak ibadah dan amal kebajikan secara umum. Ini termasuk menggiatkan solat rawatib, qiamullail, tilawah al-Quran, bersedekah dan lain-lain. Menyedari bahawa bulan ini adalah bulan diangkatnya amalan, alangkah baik jika kita mempertingkatkan kualiti amal kebajikan.

Tentang malam nisfu Syaaban (malam 15 Syaaban), hadis yang boleh dipegang adalah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam nisfu Syaaban, maka Dia ampuni hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain)

Dalam kesempatan umur yang ada jangan kita lupa memanjatkan doa kepada Allah SWT agar kita dipertemukan dengan bulan Ramadan yang mulia. Bulan di mana ibadat sunat diberi ganjaran fardu dan ibadat wajib diberi ganjaran 70 kali ganda.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kiamat : Saat Bumi Tergoncang & Digoncang

Posted by epondok di Mei 18, 2016

Fairuz Hj. Noordin

DI dalam  Surah Al-Zalzalah, Allah menceritakan bagaimana keadaan yang berlaku kepada bumi saat tibanya hari kiamat, maksudnya: “Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya. Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya , Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); “Apa yang sudah terjadi kepada bumi?” Pada hari itu bumi pun menceritakan khabar beritanya: Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian). Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka. Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!

Daripada Ali bin Ma’bad meriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, katanya, Rasulullah SAW telah bersabda: “Apabila Allah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala dan memberikannya kepada malaikat Israfil. Lalu malaikat Israfil memberikannya kepada anak buahnya yang matanya sentiasa memandang ke Arasy menunggu perintah untuk meniupkannya.” Abu Hurairah bertanya kepada Baginda, “Wahai Rasulullah apakah sangkakala itu?” Lalu Baginda menjawab, “Ia sebuah tanduk yang amat besar. Demi diriku yang berada di tangannya, besar lingkaran dan lubangnya seperti lingkaran di antara langit dan bumi, kelak akan ditiup sebanyak tiga kali. Tiupan yang pertama untuk mengejutkan, tiupan kedua akan memusnahkan dan tiupan ketiga untuk membangkitkan semula makhluk untuk menghadap Allah SWT.” Tiupan pertama oleh malaikat Israfil mengejutkan semua makhluk, manusia kebingungan kecuali mereka yang dipilih oleh Allah. Pada waktu itu semuanya datang di dalam keadaan merendah diri, tunduk dan takut kepada Allah. Dan Allah berfirman, “Dan kamu boleh melihat bukit-bukit dan gunung –gunung yang kamu sangkakan kuat sebelum ini, dia akan berterbangan dan seperti awan-awan yang bergerak.” Kemudian Allah berkata, “Semua itu ciptaan Allah yang diciptakan sempurna sebelum saat itu. Sesungguhnya Dia (Allah) maha mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Rasulullah menjelaskan keadaan ini berlaku pada hari Jumaat pada pertengahan bulan Ramadan.

Menurut perkongsian oleh Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani melalui slot Mau’izati pada setiap Khamis, jam 5.15 petang di IKIMfm, seperti yang disebut oleh Allah, pada hari itu tiupan sangkakala yang pertama akan menggoncangkan alam. Diikuti tiupan kedua, hati manusia ketika itu berada di dalam keadaan yang kering (tiada perasaan) kerana ketakutan yang amat sangat. Pada ketika itu bumi di dalam keadaan seperti perahu di lautan yang bergoyang dengan dahsyat dipukul ombak. Ibu yang menyusukan anak sekalipun akan mencampakkan anaknya pada ketika itu sedangkan pada hakikatnya seorang ibu amat menyayangi anaknya, tetapi oleh kerana kebingungan, seorang ibu sanggup melakukan perkara sedemikian. Ibu-ibu yang mengandung akan mengalami keguguran dan menurut Rasulullah, wajah anak-anak kecil akan berubah menjadi wajah orang tua dan kelihatan syaitan-syaitan berterbangan melarikan diri sehingga mereka tiba di suatu tempat dan ditangkap oleh para malaikat dan memukul mereka sehingga mati.

Pada ketika itu manusia manusia benar-benar berada di dalam ketakutan dan masing-masing memanggil-manggil di antara satu sama lain. Allah menjelaskan, “Wahai kaum-Ku sesungguhnya aku ini benar-benar bimbang terhadap kamu akan hari siksaan, hari yang masing-masing di dalam keadaan berpaling ke belakang dan berlari. Tidak ada seorang pun yang dapat menyelamatkan diri daripada azab Allah SWT. Siapa yang disesatkan oleh Allah, dia tidak akan diberi petunjuk oleh Allah.” Pada masa itu mereka melihat perkara luar biasa yang tidak pernah disaksikan sebelum ini, ditimpa dengan perasaan mabuk dan mengalami gegaran yang luar biasa dan hanya Allah mengetahui ketakutan mereka pada waktu itu. Kemudian mereka memandang ke arah langit, lalu tiba-tiba langit menjadi cair, matahari dan bulan terbelah, bintang-bintang hancur berkecai dan kemudian langit ditutup untuk mereka. Rasulullah SAW bersabda:  “Orang yang sudah mati tidak mengetahui sedikitpun tentang peritiwa itu.” Lalu Abu Hurairah bertanya kepada Rasulullah siapakah yang dikecualikan sebagaimana firman Allah SWT. Rasulullah berkata, “Mereka adalah para syuhada yang sentiasa mendapat rezeki daripada Allah, kejutan bagi mereka yang masih hidup sahaja.” Allah SWT mahukan orang yang merasakan kejahatan mereka pada hari yang amat dahsyat itu memberikan keselamatan bagi para syuhada dan azab kepada mereka yang sentiasa melakukan dosa.

Allah berfirman maksudnya, “Wahai manusia, bertakwalah kamu pada tuhanmu. Sesungguhnya goncangan pada saat hari Allah menutup ala mini, satu benda yang menggemparkan di dalam hidup kamu.” Manusia berada di dalam seperti itu sehingga masa yang diinginkan oleh Allah. Para ulama menceritakan setelah berlakunya tiupan sangkakala yang pertama, manusia berada di dalam ketakutan dan dengan tiupan kedua menyebabkan mereka mula berhamburan dalam kebingungan dan rasa tersiksa. Segala gerak dan aturan alam menjadi hancur, matahari dan bulan musnah berkepingan dan langit terbelah, gugusan langit akan luluh. Alam dipenuhi dengan asap tebal dan awan hitam kegelapan, manusia bertempikan dan mati bergelimpangan tanpa ada satupun yang tersisa di atas muka bumi ini.

Setiap benda di dunia ini semuanya akan hancur, yang kekal hanyalah Allah yang mempunyai ketinggian dan kemuliaan. Firman Allah, “Jangan sekali-kali kamu berdoa dan meminta kepada selain daripada-Ku kerana tidak ada tuhan melainkan Dia. Setiap benda yang ada di atas muka bumi ini semua akan musnah dan hancur lebur kecuali yang tidak hancur ialah Allah dan Dialah (Allah) pemutus segala urusan pada hari tersebut kamu akan dikembalikan kepada Allah.”

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »