Tapi awas! Jika amalan atau bekal rohani tidak cukup untuk menghadap Allah kelak, kita akan lapar dan dahaga di alam sana. Lapar dan dahaga akhirat sungguh luar biasa kerana ia bersulam azab yang sangat pedih. Menu makanannya adalah buah Zaqqum, minumnya pula air panas menggelegak dan ‘jus nanah’ yang meleleh daripada luka ahli neraka. Ini yang diulang sebut Allah dalam banyak surah termasuklah dalam surah al-Waqi’ah.

HADIS DAIF?

Sebut sahaja surah al-Waqi’ah, langsung terlintas ia adalah surah amalan yang bagus untuk dimurahkan rezeki. Benarkah begitu? Kelebihan itu disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. ketika beliau hampir meninggal. Beliau ditanya khalifah Uthman bin Affan r.a. tentang kerunsingan beliau. Abdullah berkata dia tidak risau kefakiran kepada anak-anaknya kerana sabda Rasulullah SAW:“Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam tidak akan ditimpa kefakiran selamanya,” (Imam al-Baihaqi meriwayatkannya dalam Sa’b al-Iman)

Walaupun begitu, hadis ini dihukum sebagai daif oleh ramai para ulama Hadis seperti Imam Ahmad, Imam Abu Hatim, Imam al-Daruqutni, Imam al-Baihaqi dan sebagainya. Pun begitu, atas umumnya kelebihan membaca al-Quran, surah ini boleh dibaca sebagai amalan bersama surah lain untuk mendapat hidayah daripada isinya dan ganjaran pahala pada setiap hurufnya. Sabda Rasulullah: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tompok awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah, kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan serta pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan) oleh ahli sihir,” – Sahih Muslim.

KEDAHSYATAN KIAMAT

Dalam hadis yang lebih sahih, surah al-Waqi’ah membawa sudut pandang yang lebih ‘kena atau tepat’ dengan isinya yang berkait rapat dengan kegemparan kiamat.

Rasulullah SAW beruban memikirkan kegemparan isi surah al-Waqi’ah bersama surah yang lain.

“Ibn ‘Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?” Baginda menjawab: “(Kedahsyatan isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban,” – Sunan al-Tirmizi, Mustadrak al-Hakim.

Surah al-Waqi’ah bukan surah biasa kerana bayangan kiamat yang digambarkannya amat dahsyat sehingga boleh melumpuhkan sendi lutut. Gunung digegarkan kuat sehingga menjadi debu berterbangan! Jika rumah kita bersebelahan dengan kawasan industri kuari, dentuman dinamit yang menggegar bukit bagi menghancurkan batunya pasti membuatkan kita tidak senang duduk.

Bayangkan pula jika makhluk Allah seteguh gunung Everest dileburkan menjadi debu. Pastinya tubuh kita sudah tidak berjasad pada waktu itu. Inilah gambaran surah al-Waqi’ah: “(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur-leburkan dengan selebur-leburnya, lalu jadilah ia debu yang bertebaran,” (al-Waqi’ah [56:4-6]).

Benar apa yang dirunsingkan Rasulullah SAW, kegemparan kiamat sangat dahsyat kerana bukan sahaja yang berusia boleh beruban, kanak-kanak pun tidak terkecuali. Firman Allah:“(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu – kalau kamu kufur ingkar – (daripada azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?,” (al-Muzzammil [73:17]).

Setelah berlaku kiamat, Allah dengan kuasa-Nya yang mutlak akan ‘mengangkat-mulia’ dan ‘menjatuh-hinakan’ beberapa kumpulan manusia dalam Surah al-Waqi’ah (ayat 3 dan 7-9). Manusia yang mulia terdiri daripada dua golongan iaitu golongan istimewa (VVIP) (ayat 10 – 26) dan golongan kanan (ayat 27 – 40). Manusia hina pula dihumban dan diseksa dengan dahsyat dalam neraka (ayat 41 – 57).

BEKALAN ROHANI

Surah al-Waqi’ah mengingatkan kita agar menyediakan bekal rohani sebanyak mungkin kerana apabila tiba di akhirat, wang ringgit dan emas permata tidak akan diterima sebagai mata wang. Hanya ‘mata wang pahala’ laku digunakan. Kunyah dan hadamlah surah ini sedaya mampu agar ia menjadi makanan berzat untuk rohani kita seiring kehendak Allah. Setelah rohani sihat dan segar bugar, kita mampu meraih tiket ke syurga sama ada sebagai VVIP atau golongan kanan.

Inilah rezeki sebenar yang wajib dikejar oleh semua yang mengaku beriman.