Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksud­nya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Soalnya, bagaimana cara untuk kita melihat dan menentukan hati itu sejahtera atau sebaliknya. Sebabnya, kedudukan hati itu di dalam diri dan tidak boleh dilihat secara fizikal. Namun yang pasti, manusia bersetuju ba­hawa hati dan perasaan haruslah dijaga daripada sifat-sifat yang merosakkan.

Seorang yang tubuhnya segar-bugar belum pasti memiliki hati yang sihat. Jika fizikalnya sahaja yang sihat tetapi masih berat atau liat beribadat maknanya hati seseorang itu sedang sakit. Jika orang itu mampu tercegat di depan televisyen selama berjam-jam malah berjaga hingga larut malam menonton perlawanan bola sepak tetapi gagal me­laksanakan solat tahajud yang memakan masa hanya lima minit, maka yakinlah bahawa hatinya sedang sakit.

Seorang tabien dan ulama sufi, Imam Hasan al-Basri berkata: “Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”

1. Semasa solat – Orang yang hatinya sihat akan merasai nikmat dan manisnya solat berjemaah waima bacaan imamnya panjang. Analoginya, ibarat orang sihat yang sedang lapar. Sudah pasti dia makan dengan penuh berselera berbanding orang yang sakit. Kita bawakan pelbagai jenis makanan kepadanya tetapi dia hanya mampu melihat ke­rana tidak ada selera makan.

2. Semasa baca al-Quran – Antara mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran yang di dalamnya terkandung petunjuk kepada orang beriman. Orang yang hatinya sihat, tidak akan jemu untuk membaca al-Quran secara istiqamah. Makin dibaca makin rasa seronok dan terasa nikmatnya. Jika sehari tidak dapat baca al-Quran maka hidupnya resah gelisah.

3. Semasa berzikir – Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya dengan mengingati Allah (zikir) hati jadi tenang.” (ar-Ra’d: 28)

Ada banyak zikir yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian. Antara yang amat di­anjurkan adalah membaca penghulu segala istighfar yang dibaca selepas subuh dan asar. Begini bacaannya; “Ya Allah, Engkaulah Rabbku tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku tetap di atas perjanjian dan taat setia terhadap-Mu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosa yang aku lakukan, oleh itu ampunilah dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dalam kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam (petang) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dalam kalangan ahli syurga.” (Riwayat al-Bukhari).

Marilah kita segera mengubat hati kita yang sakit. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan ­tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti dilakukan di dunia sebagai hamba Allah.

Seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas berkata: “Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang soleh”.