Orang berusia lanjut ada yang nyanyuk dan berperangai seperti kanak-kanak. Jika kanak-kanak senang didokong apabila meragam, namun jasad orang tua yang bersikap seperti kanak-kanak bukan mudah mahu ditatang. Berikutan itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita doa bagi mengelakkan tua nyanyuk:
“Ya Allah! Aku mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) bakhil. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) penakut, Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada dilanjutkan usia sehingga tua nyanyuk. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada ujian dunia dan aku juga mohon perlindungan-Mu dari azab kubur,” – Sahih Bukhari).

SUDUT POSITIF

Walaupun tua kelihatan lemah, namun ada kebaikan padanya. Jiwa mereka tenang, pengalaman panjang meniti usia membantu mereka mengenal mana garam, gula, kaca dan permata sebenar.

Sebut sahaja ketakutan manusia kepada tua, lemah dan mati, rupanya masyarakat purba pernah membicarakan kewujudan kisah “air ajaib” yang boleh melanjutkan usia dan mengekalkan keremajaan. Ia dikhayalkan dengan nama “ainul hayat” (air kehidupan), air atma jiwa dan fountain of youth. Kisah pencarian fountain of youth turut diepikkan dalam filem Pirates of Carribean lakonan Johnny Depp. Soalannya, adakah ia benar wujud dan apa kata al-Quran dan Sunnah tentang khayalan ini.

PENJELMAAN SEMULA

Bila sains berkembang dengan pesat, cerita hikayat ainul hayat semakin dilupakan. Pun begitu, ia tetap menjelma dalam dimensi lain yang lebih agresif iaitu kebanjiran produk kecantikan “lupa mati” yang dislogankan dengan keajaiban anti penuaan. Bukanlah saya ingkar ilmu Allah pada perkembangan Sains, tapi usahlah begitu ghairah membelai fizikal kerana bimbang dihinggapi penyakit tua, lemah dan mati sehingga lupa akhirat. Nak mati atau tak mahu mati, semua manusia tetap akan mati walau sekuat mana sekalipun sistem kawalan peribadi dilakukan:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh,” (al-Nisa’ [4:78])

Jangan terlalu berangan-angan ingin hidup lama. Apa guna hidup lama jika hanya dosa dihimpun memenuhi “memori kad amalan” kita? Jangan sampai amaran Rasulullah SAW ini terkena kepada kita. Sabda baginda:
“Hati orang berusia (tua) sentiasa muda pada dua perkara iaitu cintakan dunia dan angan-angan yang panjang,” – Sahih Bukhari.

Yang gugur bukan semuanya tua dan masak. Banyak sekali yang gugur akibat dipukul ribut dan angin kencang. Jika yang muda boleh gugur bila-bila masa sahaja, yang tua pastinya lebih mudah tercabut tangkai dek lemahnya otot di badan.

Jika melihat kedut wajah atau uban rambut di cermin, usahlah kalut mahu mencari ainul hayat atau produk anti penuaan. Sebaliknya bersyukurlah kerana Allah memberikan peluang hidup di dunia bagi menyimpan bekal dibawa ke alam sana. Jangan takut tua, lemah atau mati sebaliknya takutlah kerana tidak bersedia untuk bertemu Allah.