Matlamat kehidupan mereka adalah tertumpu kepada kemajuan berbentuk material di mana mereka begitu gigih membangun dan membina negara serta berjaya mencipta teknologi moden sehingga mereka mampu menguasai dunia dalam abad terkini. Kegigihan dan ketekunan mereka dalam urusan duniawi amat dikagumi jika dibandingkan dengan masyarakat Islam masa kini. Mereka mempunyai disiplin dalam urusan pekerjaan seharian di mana mereka mampu untuk mengendalikan pel­bagai permasalahan berkaitan dengan urusan duniawi. Kejayaan mereka dalam aspek ini tidak boleh ditandingi oleh kebanyakan masyarakat Islam masa kini.

Kejayaan dan kecapaian mereka dalam mengendalikan urusan negara dan material sehingga dapat menguasai dunia bukan satu simbol kejayaan yang hakiki jika masyarakat dalam negara mereka mengenepikan nilai-nilai agama dan fitrah kejadian manusia. Tidak di­nafikan bahawa masyarakat sekular amat prihatin terhadap individu yang miskin dan kurang berkeupayaan di mana mereka memiliki institusi kebajikan yang sistematik dan boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain. Perkara berkaitan kemanusiaan dan kebajikan adalah salah satu agenda negara-negara sekular yang maju dan progresif.

Kelemahan dan kegagalan negara-negara sekular adalah berkaitan dengan pembentukan masyarakat dalam hal ehwal kerohanian dan keperibadian. Konsep individualistik berkaitan hal ehwal peribadi di mana hak individu untuk melakukan sesuatu secara bebas tidak boleh ditegur atau dicegah selama mana individu tersebut tidak melanggari undang-undang negara, menyebabkan ramai masyarakat dalam negara tersebut terumbang-ambing dalam arus hawa nafsu.

Konsep individualistik yang di­anuti oleh masyarakat sekular menafikan hak ibu bapa terhadap hal ehwal peribadi anak-anak apabila mereka apabila mencapai umur 18 tahun menyebabkan anak-anak memilih corak kehidupan sendiri tanpa pedoman daripada ibu bapa. Kebebasan yang sering menjadi pilihan mereka adalah lebih tertumpu kepada perkara berkaitan hawa nafsu dan corak hidup hedonistik yang bercanggah daripada kerohanian dan nilai-nilai keagamaan.

Dalam konteks kehidupan ­ma­­sya­rakat sekular tokoh-tokoh aga­ma tidak mempunyai hak untuk menghalang atau mencegah masyarakat daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya agama. Mereka hanya mampu menjelaskan perundangan agama sebagai panduan untuk masyarakat. Sejauh mana masyarakat menerima atau menolak panduan mereka bukan persoalan yang perlu dibahaskan. Misalnya, pada 1990-an terdapat gereja di Barat menjelaskan bahawa homoseks (hubungan sejenis jantina) adalah diharamkan oleh Tuhan kerana perkara tersebut dijelaskan di dalam kitab Injil.

Pengaruh sekularisme mengatasi pengaruh gereja kerana majoriti masyarakat Barat menganuti fahaman sekularisme maka kegiatan homoseksual menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di mana akhirnya terdapat gereja di Barat menerima gay dan lesbian menjadi biskop. Kehidupan masyarakat yang berteraskan kepada material dan kepuasan hawa nafsu sering mendorong mereka melakukan sesuatu kegiatan berdasarkan kepada bisikan naluri tanpa menghiraukan nilai agama dan fitrah kejadian mereka.

Apabila agama tidak dijadikan sebagai panduan hidup maka manusia bebas melakukan sebarang kegiatan sehingga di luar batas fitrah kejadian. Bisikan naluri yang mendorong kepada perbuatan yang bertentangan dengan fitrah kejadian dianggap sebagai hak individu yang perlu dihormati. Kemajuan sains dan teknologi yang terlalu tinggi dan canggih sehingga ke tahap yang boleh mencipta sesuatu yang menakjubkan menjadikan manusia terlupa akan hakikat fitrah kejadian mereka.

Dalam era teknologi yang serba canggih dan maju penjualan benih lelaki dan wanita mudah didapati dalam dunia sekular. Keturunan dan pertalian kekeluargaan individu yang adalah asas penting sebagai pengiktirafan ahli keluarga luput daripada pemikiran masyarakat sekular. Mereka bebas mendapatkan benih daripada lelaki atau wanita untuk mendapat anak melalui proses di luar fitrah kejadian manusia. Seorang lelaki yang menjual benihnya mampu memberi ramai wanita anak dan pasangan suami isteri.

Islam amat prihatin terhadap pertalian keturunan dan darah kerana ia menentukan hak dan pengiktirafan ahli keluarga yang mempunyai hubung kait dengan harta warisan dan mahram. Bagi masyarakat sekular, kepuasan dalam kehidupan tidak berdasarkan kepada nilai dan perundangan agama.

Pemikiran dan konsep hidup begini semakin hari kian menjadikan masyarakat sekular hilang pedoman hidup sebagai manusia yang berwibawa. Setiap perbuatan janggal yang dilakukan oleh mereka perlu dianggap sebagai fitrah kejadian mereka walaupun perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh masyarakat primitif. Peristiwa ibu atau bapa melakukan hubungan seks dengan anak-anak secara sukarela sudah tidak dianggap sebagai perbuatan terkutuk. Kejadian begini berlaku dalam masyarakat sekular kerana kepuasan dalam hidup sering dinilai dalam perspektif kepuasan hawa nafsu bukan pemikiran rasional yang berlandaskan kepada perundangan Tuhan.

Sebagai masyarakat Islam setiap kegiatan yang terkeluar daripada fitrah kejadian manusia atau hukum hakam Islam berkaitan keperibadian umat Islam perlu dicegah dan ditangani secara berhemah. Sikap membiarkan kejadian itu berleluasa dalam masyarakat boleh menjadikan umat Islam hilang kewibawaan sepertimana berlaku dalam masyarakat sekular di Barat. Takutilah Allah dalam berurusan dengan kehidupan di dunia ini.