Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Setiap detik kehidupan tak terlepas kurniaan nikmat

Posted by epondok di April 18, 2016


Oleh Mohamad Fadzil Awang
ORANG yang rajin berusaha dan sentiasa berdoa akan menerima limpah kurnia daripada Allah SWT.
REALITINYA hari ini, ramai yang lalai untuk bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan Allah SWT. Sedar atau tidak, nikmat itu sangat banyak dan pelbagai bentuk. Setiap detik kehidupan kita tidak terlepas daripada kurniaan nikmat pemberian Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 16)
Syukur adalah ucapan, sikap dan perbuatan untuk berterima kasih kepada Allah SWT terhadap kurniaan yang diberikan-Nya. Darjat syukur lebih tinggi Menurut Imam Al-Ghazali, darjat syukur lebih tinggi daripada darjat sabar serta takut kepada Allah SWT. Kesyukuran itu adalah darjat paling mulia dan tertinggi. Allah SWT berfirman bermaksud: “Oleh itu, makanlah (wahai orang yang beriman) dari apa yang dikurniakan Allah SWT kepada kamu dari benda-benda yang halal lagi baik dan bersyukurlah akan nikmat Allah SWT, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata.” (Surah an-Nahl, ayat 114)
Mengapa masih ramai antara kita yang sombong untuk bersyukur dengan segala nikmat yang diberikan Allah SWT? Pernahkah kita berfikir setiap kekayaan yang dimiliki adalah milik mutlak Allah SWT? Kekayaan itu bersifat sementara dan tidak kekal. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Allah Maha kaya (tidak berhajat kepada sesuatu pun), sedang kamu semua orang miskin (yang sentiasa berhajat kepada-Nya dalam segala hal).” (Surah Muhammad, ayat 38)
Nikmat berkekalan, bertambah Manfaat bersyukur sebenarnya dapat kita rasakan seperti kekalnya nikmat yang dimiliki atau bertambahnya nikmat itu. Melihat kepada kesenangan orang lain tidak sepatutnya menjadikan kita iri hati sebaliknya reda dan syukur dengan pemberian Allah SWT. Allah SWT berpesan yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang Allah SWT berikan kepada sebahagian daripada kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang lelaki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan dan orang perempuan pula ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada Allah SWT akan limpah kurnianya. Sesungguhnya Allah SWT sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.” (Surah an-Nisa, ayat 32)
Sesiapa yang berusaha lebih, pasti akan mendapat lebih. Mengapa masih ada yang tidak mahu meredai hasil usaha lebih orang lain sedangkan kita masih bersikap malas untuk berusaha? Janji Allah SWT itu pasti. Sesiapa yang berusaha pasti akan mendapat lebih atas usaha sendiri. Rasulullah SAW bersabda: “Pekerjaan terbaik adalah seseorang yang berusaha dengan tangannya sendiri dan berbuat sehabis baik.” (Riwayat Imam Ahmad)
Bersyukur dengan lima perkara Seorang Mukmin yang taat dan mengaku beriman kepada Allah SWT seharusnya bersyukur dengan segala nikmat yang dikurniakan. Bersyukurlah dengan lima perkara sebelum terlepas nikmat daripada lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sakit dan hidup sebelum mati. Bersyukurlah dengan segala yang dikurniakan supaya kita terhindar daripada sifat kufur dan mendapat keredaan Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Dan Allah SWT mengeluarkan kamu dari perut ibu kamu dengan keadaan tidak mengetahui sesuatu pun dan Dia mengurniakan kepada kamu pendengaran dan penglihatan serta hati akal fikiran); supaya kamu bersyukur.” (Surah an-Nahl, ayat 78)

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: