Sistem nilai yang diamalkan dalam masyarakat tidak berteraskan nilai-nilai agama, tetapi bersandarkan kepada asas-asas kebendaan. Negara kita juga tidak terkecuali, budaya hidup bercorak individualistik dan mementingkan diri sendiri tanpa mempedulikan masyarakat lain menjadi amalan hidup sebahagian masyarakat.

Situasi ini nyata membimbangkan, Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) menyatakan lebih 700,000 orang mendapatkan khidmat bantuan agensi tersebut sejak ia ditubuhkan pada tahun 2006. Sepanjang tahun 2015, seramai 135,000 orang hadir ke pejabat AKPK untuk menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi. Daripada jumlah tersebut, 23 peratus terjebak dengan masalah kewangan disebabkan perancangan dan disiplin yang lemah termasuk berbelanja tanpa mengikut kemampuan sebenar, diikuti kegagalan dalam perniagaan (16 peratus) dan penggunaan serta pengurusan bayaran semula kad kredit yang lemah (11 peratus).

Mengikut statistik AKPK juga, hampir 80 peratus golongan muda gagal mengawal penggunaan kad kredit. Ia memang mempunyai kelebihan, namun jika tidak digunakan dengan bijak, ramai terjerumus dengan hutang yang banyak dan boleh diisytiharkan muflis.

Kebanyakan kes berlaku dalam kalangan orang muda yang ingin kelihatan bergaya walaupun pendapatan tidak seberapa, bak kata pepatah, ‘biar papa asalkan bergaya’, menyebabkan penggunaan kad kredit sebagai alternatif pembayaran sering disalah guna.

Kad kredit merupakan instrumen berguna jika tahu menggunakannya dengan bijak. Dalam hal ini, Islam amat menekankan al-Aulawiyat dalam pengurusan kewangan iaitu keutamaan untuk membelanjakan sesuatu itu secara berhemah dan kena pada kedudukannya lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang kurang memberangsangkan hari ini.

Membazir

Sementara itu, syarikat menyelia sisa pepejal SWCorp melaporkan, pada tahun 2014 rakyat Malaysia menghasilkan 30,764 tan sisa pepejal sehari (sampah) dan 36,659 tan sisa pepejal sehari untuk seluruh negara, 45.5 peratus daripada jumlah ini adalah sisa makanan.

Kos perbelanjaan untuk pengurusan sisa-sisa pepejal di negeri-negeri bawah seliaan SWCorp mencecah RM1.4 bilion pada tahun sebelumnya. Ini menunjukkan bahawa, rakyat Malaysia secara sedar mahupun tidak banyak membazir makanan dengan membuang 16,680 tan makanan sehari.

Manakala pada bulan Ramadan, dilaporkan rakyat negara ini membuang kira-kira 270,000 tan makanan yang tidak disentuh. Berdasarkan perkiraan, jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang, enam kali ganda melebihi populasi 27 juta rakyat negara ini. Jika 270,000 tan makanan itu dilonggokkan, ia bersamaan dengan ketinggian 30 buah bangunan KLCC yang berketinggian 452 meter itu.

Situasi ini amat menyedihkan memandangkan kita sebagai rakyat yang hidup dalam sebuah negara Islam seharusnya mempunyai tahap kesedaran lebih tinggi dalam menangani sebarang unsur pembaziran yang turut salah di sisi agama.

Allah SWT berfirman maksudnya : “Sesungguhnya orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al Isra’ : 27)

Dalam sebuah hadis diriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah menjahit dan menampal kasut baginda. Perbuatan berkenaan telah memanjangkan jangka hayat baju dan kasut baginda. Kisah ini memberi gambaran yang jelas bahawa Rasulullah sendiri mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang dalam kehidupan baginda.

Dalam sebuah riwayat yang lain dinyatakan bahawa sahabat baginda, Sayidina Abu Bakar r.a. pernah berpesan kepada keluarganya agar mengkafankan beliau dengan baju yang beliau miliki. Ini kerana beliau berpendapat kain baharu boleh dimanfaatkan oleh orang yang masih hidup. Di sini memperlihatkan bahawa sahabat Rasulullah SAW juga menunjukkan sikap yang sama dengan baginda iaitu mengoptimumkan penggunaan sesuatu barang.

Dalam keadaan inilah, antara ibadat sunat yang dianjurkan dan menjadi amalan Rasulullah SAW sendiri ialah solat sunat dhuha. Bagi mereka yang mengerjakan solat sunat duha, Insya-Allah, Allah akan sentiasa mencukupkan segala keperluan seseorang hamba-Nya sepanjang siang hari, sebagaimana dirakamkan dalam sebuah hadis Qudsi Rasulullah bersabda bahawa Allah berfirman yang bermaksud:

“Hai anak Adam! rukuklah untuk-Ku empat rakaat di awal siang (waktu dhuha), nescaya Aku cukupkan (keperluan) engkau sehingga ke akhirnya,” – Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmidzi dan al-Nasa’i.