Dalam cuaca yang panas begini, ramai yang mengeluh. Kulit rasa terbakar apabila terdedah kepada matahari terutama pada waktu tengah hari. Kesan langsung kepada kita adalah bacaan paras air empangan turut merosot dan sekurang-kurangnya enam empangan yang dilaporkan berada dalam kritikal di seluruh negara.

Bagi yang bekerja di dalam pejabat yang dilengkapi pendi­ngin hawa barangkali panasnya tidak sangat dirasai. Namun, bayangkan mereka yang bekerja berbumbungkan langit seperti petani, penarik beca dan pekerja binaan. Sudah tentu lebih terasa bahang kepanasannya.

Apa yang berlaku ini mengingatkan kita kepada beberapa hal.

Pertama, kepentingan air kepada makhluk dan tumbuh-tumbuhan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi; dan (pada) pertukaran malam dan siang; dan (pada) kapal-kapal yang belayar di laut dengan membawa benda-benda yang bermanfaat kepada manusia; demikian juga (pada) air hujan yang Allah turunkan dari langit lalu Allah hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya, serta Ia biakkan padanya daripada berbagai-bagai jenis binatang; demikian juga (pada) peredaran angin dan awan yang tunduk (kepada kuasa Allah) terapung-apung di antara langit dengan bumi…” (al-Baqarah: 164)

Kedua, kenaikan suhu dunia atau pemanasan global ini antara puncanya adalah perbuatan manusia yang menebang hutan secara rakus. (rujuk ayat 41 surah al-Rum)

Ketiga, dikaitkan juga dengan berleluasanya gejala maksiat dan pencabulan hak asasi rakyat oleh golongan atasan menyebabkan terhentinya rahmat Allah dalam bentuk hujan.

Apa yang berlaku ini sepatutnya menyedarkan betapa manusia tidak mampu menghadapi cuaca panas di dunia ini. Apatah lagi untuk berhadapan dengan neraka Allah yang tahap kepanasannya jauh lebih hebat sehingga digambarkan hangus daging dan tulang manusia. Kemudiannya Allah tumbuhkan kembali daging yang baru untuk menyeksa mereka yang ba­nyak melakukan maksiat di muka bumi. (rujuk ayat 56 surah al-Nisa’)

Dalam kita me­lakukan pelbagai ikhtiar termasuk menggunakan air secara berhemah dan mungkin pembenihan hujan, inilah peluang kita melakukan solat istisqa’ atau solat minta hujan. Solat dua rakaat ini adalah sunat muakkad kepada mereka yang dilanda kemarau. Ini dilakukan secara berjemaah di tanah yang lapang.

Antara perkara yang perlu dilakukan sebelum solat ini adalah:

a) Bertaubat – dengan bersungguh-sungguh iaitu meninggalkan segala maksiat yang membawa kepada bencana kemarau.

b) Bersedekah – khasnya kepada fakir miskin atau mereka yang memerlukan, meninggalkan segala bentuk kezaliman dengan mengembalikan semula hak yang dirampas dan mendamaikan orang yang bersengketa.

c) Berpuasa sunat – dilakukan selama empat hari berturut-turut. Pada hari keempat ditunaikan solat istisqa’.

Selepas solat, imam hendaklah berkhutbah di atas mimbar. (Sila rujuk kaifiat solat istisqa’ dalam kitab fiqh untuk maklumat lengkap).

Akhirnya marilah kita berdoa: “Ya Allah, jadikanlah hujan yang akan Engkau turunkan sebagai rahmat kepada kami. Jangan Engkau jadikannya sebagai punca azab, penghanyut, bala, kemusnahan dan banjir besar kepada kami.”