Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Al-Quran dan iktibar sejarah

Posted by epondok di April 9, 2016


AL-QURAN terkandung kisah perjuangan golongan Nabi dan Rasul dan juga kisah manusia untuk dijadikan ibrah dan sumber teladan. Sifat kisah dan rantaian sejarah mengulangi jejak. Berlaku pada masa yang lalu diulangi semula manusia pada hari ini dan bakal berlaku lagi pada masa depan.

Kisah Nabi Lut as, Nabi Musa dan Firaun, kaum ‘Ad dan Thamut, Nabi Nuh, Abu Lahab dan isteri dan banyak lagi adalah kisah yang menarik untuk dianalisis supaya terdapat sumber teladan dan ibrah untuk dijadikan renungan.

Apa yang dirakamkan oleh al-Quran adalah pekerti manusia dalam menghadapi kebenaran dan berdepan dengan pihak yang menzalimi diri dan ingkar kepada perintah ALLAH. Hal begini berlaku berulang-ulang sejak dulu sehingga kini mungkin dalam bentuk yang berbeza tetapi tujuannya sama.

Kisah yang terdapat dalam al-Quran dirakamkan dengan maksud supaya orang terkemudian mengetahui bahawa apa yang berlaku dulu boleh berlaku pada masa kini dan masa depan sekiranya tidak wujud ibrah dan iktibar terhadap apa yang berlaku. ALLAH merakam semuanya itu dengan tujuan memperingatkan manusia supaya manusia belajar daripada kesilapan yang terjadi, kembali ke jalan yang ALLAH reda.

Kisah Nabi Lut AS yang menghadapi kaumnya yang ingkar terhadap perintah ALLAH termasuk isterinya dengan perbuatan terkutuk kaum sejenis akhirnya menerima musibah daripada ALLAH. Pada hari ini kegemaran kepada kaum sejenis semakin menjadi wabak dan di negara-negara Barat ia diterima sebagai sah di sisi undang-undang.

Amalan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transeksual) dibolehkan di Amerika Syarikat, Great Britain, Perancis dan lain-lain negara sebagai sebahagian dari hak asasi manusia. Ada kecenderungan kuasa Barat ingin memaksakan ianya diterima di negara-negara lain termasuk negara Islam.

Amalan LGBT ini bakal menghasilkan bencana kepada generasi umat manusia. Manusia menjadikan nafsu serakah sebagai sumber penting dalam kehidupan tanpa kawalan agama, etika dan undang-undang. Ianya mengakibatkan struktur kekeluargaan rosak dan terdedah kepada kerosakan generasi.

Kadar Aids/HIV semakin meningkat dan ini adalah salah satu bencana yang sedang dideritai. Bayangkan jika amalan LGBT ini berkembang menjadi wabak, kehidupan umat manusia akan terancam.

Sebab itu dalam al-Quran ALLAH memberi pedoman mengenai hakikat kejadian manusia. Dalam Surah Al Hujurat ayat 13, ALLAH menyebutkan sifat kejadian manusia yang berpasang-pasang (lelaki dan perempuan) supaya fitrah hubungan terjadi. ALLAH wujudkan bangsa-bangsa supaya rasa kekenalan (litaarrafu) terbina. Dari situ sifat saling bekerjasama, memahami dan muafakat terjadi.

Dalam ayat itu juga ALLAH menyatakan, “Yang terbaik di kalangan kamu ialah orang-orang yang muttaqeen”. Proses berpasang-pasang sifat fitrah dan melengkapi bukannya menjadikan kaum sejenis sebagai pasangan atau menjadikan antara bangsa-bangsa sebagai musuh.

ALLAH menyatakan dengan jelas yang terbaik dalam pasangan dan dan kehidupan berpasangan ikut jalur fitrah boleh menjadi orang yang berjiwa takwa.

Begitu juga kisah Nabi Musa dan Firaun adalah suatu ibrah yang sangat penting bagi manusia kerana memang kedapatan sehingga kini manusia yang ingkar, mendakwa dirinya Tuhan dan berlaku zalim terhadap diri dan manusia lain. Kisah ini memberi peringatan kepada manusia tentang sifat angkuh dan sombong seorang manusia yang tidak menerima hakikat dirinya sebagai hamba Tuhan.

Hal yang sama juga seorang manusia yang bernama Abu Lahab bersama isterinya amat menentang Rasulullah SAW dan tidak mahu menerima akidah tauhid sebagai jalan ke arah kebenaran.

Kisah-kisah yang terjadi untuk dijadikan ibrah supaya manusia memiliki daya renung yang tinggi terhadap kepentingan akidah tauhid dan akhlak karimah dijadikan pedoman hidup.

Hidup tanpa pedoman bakal kehilangan arah. Kisah dalam al-Quran dan Sunnah Rasulullah yang dijadikan sumber ikutan dan iktibar supaya jalan hidup manusia terpedoman.

Pada diri Rasulullah SAW terdapat qudwah hasanah atau contoh yang baik untuk dijadikan sumber ikutan dan amalan. Ianya dipedoman oleh al-Quran, ilmu yang benar dan bermanfaat supaya jalan siratulmustakim atau jalan yang lurus terbina. Tanpa mengikuti jalan yang  lurus iaitu jalan al-Quran dan As Sunnah kita akan mudah kesasaran dan sering hilang pertimbangan kerana pedoman hidup kita ialah nafsu-nafsi semata.
*  Sidek Baba

Tinggalkan komen