Agama, pemikiran dan ideologi memainkan peranan penting sama ada untuk meleraikan kerumitan pertembungan pelbagai hala ini ataupun juga bagi mengusutkan lagi kerumitan yang sedia ada.

Justeru dalam menghadapi ca­­baran agama, pemikiran dan ideologi serba rencam ini pengungkapan atau artikulasi agama khususnya agama Islam bagi umat Islam sangat perlu diperbaharui agar terus relevan dan dinamik dalam menangani kemelut pertembu­ngan agama, pemikiran dan ideologi masa kini.

Umat Islam dalam menghadapi pelbagai kemelut dalaman dan luaran semasa tidak boleh lagi berasa selesa mengambil pendekatan memandang ringan kewujudan kepelbagaian aliran pemikiran ini ataupun sekadar mengelak dari menangani cabaran-cabaran pemikiran tersebut.

Lihat sahaja betapa ramai ge­nerasi muda umat yang menjadi keliru, tersasar dan malah ada yang berputus asa dengan pengungkapan agama yang sangat simplistik, artifisial, bersifat sensasi dan kontroversi tanpa dilandaskan atas hujah logika yang rasional dan sistematik.

Pendekatan fiqhiyyah atau meng­hukum atau sekadar mengutip ce­bisan-cebisan teks al-Quran dan ha­dis tidak akan meyakinkan generasi muda masa kini tentang kebenaran dan keupayaan agama mereka da­lam mendepani cabaran agama, pemikiran dan ideologi semasa.

Umat Islam hari ini juga wajar menyedari bahawa kemelut agama, pemikiran dan ideologi yang sedang mereka hadapi bukanlah suatu perkara asing jika mereka mengetahui sejarah perkemba­ngan pemikiran dalam peradaban Islam.

Kemunculan pelbagai bentuk faham agama dan aliran pemikiran yang bersifat melampau pernah wujud dalam kehidupan masyarakat umat Islam terdahulu dan sebagai jawapan terhadap kemelut kepelbagaian pemikiran tersebut, muncul pula golongan sarjana yang berusaha menangani kemelut tersebut agar pemikiran dan kehidupan umat Islam sentiasa berada di atas landasan akidah dan pemikiran Islam yang betul selari dengan semangat dan roh agama Islam itu sendiri.

Para sarjana Islam sentiasa ak­hirnya melihat kemelut-kemelut pemikiran yang menyentuh persoalan akidah umat mestilah ditanggapi dengan kembali kepada pendekatan ilmiah iaitu dengan melestarikan antara peranan akal dan wahyu. Dan dalam konteks ini, disiplin ilmu yang paling dikenali menggarap persoalan ini ialah ilmu kalam.

Ilmu kalam atau nama lainnya ilmu usuluddin atau ilmu tauhid adalah disiplin ilmu Islam yang mempunyai sejarah dan tradisi yang panjang lagi kaya dalam membina akidah dan pemikiran umat Islam dalam menangani pelbagai bentuk aliran-aliran agama, pemikiran dan ideologi. Dalam tradisi keilmuan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang didokongi hampir 90 peratus umat Islam di seluruh dunia, ilmu kalam terbukti berjaya mewariskan kesinambu­ngan faham akidah dan pemikiran Islam yang ilmiah, rasional dan sistematik yang memanifestasikan ciri-ciri wasatiyyah, keharmonian, perpaduan dan kemajuan yang berjaya mencipta Peradaban Islam yang disegani untuk berabad-abad lamanya.

Umat Islam semasa sepatutnya teruja untuk meneroka, mengembang malah mempertahankan tradisi keilmuan ilmu kalam yang pada setiap abad yang menghasilkan ilmuwan unggul seperti Abu Hanifah, Abu Hassan al-Ash’ari, Abu Mansur al-Maturidi, al-Baqillani, al-Baghdadi, al-Juwayni, al-Ghazali, al-Nasafi, al-Shahrastani, al-Razi, al-Amidi, al-Iji, al-Taftazani, al-Sanusi dan al-Jurjani.

Kesemua mereka ini adalah bintang-bintang utama dalam mem­­bina dan mengungkapkan fa­ham akidah dan pemikiran Islam mendepani kepelbagaian pe­mikiran yang wujud di waktu me­reka yang mungkin ada persamaan dan yang sedang berkembang di hari ini.

Malangnya abad 20 yang berlalu telah meninggalkan kesan yang sangat parah dalam dunia umat Islam iaitu hilangnya keupayaan umat untuk mengungkapkan atau mengartikulasi faham akidah dan pemikiran Islam yang relevan dan dinamik sebaliknya didominasikan dengan retorik politik dan pelampiasan amarah bukan sahaja dalam kehidupan sosio-politik malah juga dalam kehidupan dan penghayatan agama.

Perkara ini berlaku akibat dari terputusnya perkembangan keilmuan Islam abad 20 dengan tradisi keilmuan Islam terdahulu yang telah menghasilkan tokoh-tokoh besar seperti nama-nama yang di­sebutkan. Kemuflisan ilmiah umat abad 20 banyak dipengaruhi oleh sikap menolak dan membenci tradisi keilmuan Islam silam termasuklah dalam bidang akidah dan pemikiran Islam.

Walhal pada tradisi keilmuan Islam silamlah khususnya dalam ilmu kalam, kekuatan logika, rasionalisasi dan sistemisasi menjadi kerangka yang disediakan untuk umat Islam memahami agama mereka.

Sudah tiba masanya pengungkapan dan artikulasi lebih rasional, ilmiah, sistematik dan intelektual tentang akidah dan pemikiran Islam dalam mendepani cabaran-cabaran pertembungan agama, pemikiran dan ideologi yang pelbagai ini dipaparkan dalam ruang-ruang awam umat Islam dan juga bukan Islam sebagai bukti hikmah dan rahmah agama Islam.

Di atas kesedaran ini maka, Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI) Malaysia sebuah badan bukan kerajaan yang terdiri dari sekumpulan intelektual dan profesional yang peka terhadap isu-isu pemikiran umat dengan kerjasama Kalam Research dan Media (KRM) UAE sebuah institusi penting di peringkat antarabangsa dalam menjayakan wawasan menghidupkan kembali dinamika ilmu kalam telah mengambil inisiatif menganjurkan Simposium Kalam Antarabangsa Kuala Lumpur atau The 1st Kuala Lumpur International Kalam Symposium (KLIKS 2016) pada 22 hingga 24 Mac lalu.

KLIKS menampilkan dua tokoh terkemuka ilmu kalam semasa iaitu Profesor Dr. Aref Ali Nayed dan Sheikh Dr. Saeed Foudeh.

Kedua-dua tokoh ilmu kalam ini dikenali sebagai sarjana muda Islam yang telah mencetus gagasan pembangunan ilmu kalam dalam kehidupan umat Islam semasa.

Persidangan mengenai ilmu ka­lam yang julung-julung kalinya di­adakan di Malaysia ini sekali gus meletakkan negara ini di barisan hadapan dalam usaha mewujudkan persefahaman, keharmonian dan ke­amanan sejagat dalam dunia penuh konflik ketika ini melalui pendekatan ilmiah penuh hikmah dan berpaksikan rahmah agama Islam itu sendiri.