Katanya ketika itu, angka tersebut diperoleh hasil daripada tinjauan melalui program-program ceramah serta motivasi yang dikendalikannya di seluruh negara serta pemerhatiannya terhadap gaya hidup umat Islam masa kini.

Artikel mengenai hasil kajiannya itu kemudian telah di­siarkan oleh Utusan Malaysia bertarikh 16 Jun 2004 dan ditulis oleh bekas Pengarang Meja Agama, Allahyarham Zuarida Mohyin.

Mohd. Fadzilah kemudian merumuskan hanya sekitar 17 hingga 20 peratus yang menunaikan solat fardu cukup lima waktu dalam sehari dan jumlah itu terlalu kecil sekiranya dibandingkan dengan jumlah penganut agama Islam di negara ini.

Baru-baru ini dalam satu khutbah Jumaat di sebuah masjid sekitar Salak Selatan di ibu kota. Khatib bertugas turut menyampaikan mesej yang sama iaitu 80 peratus umat Islam di negara ini gagal menyempurnakan solat wajib lima waktu sehari.

Meskipun tempoh kajian itu agak lama iaitu lebih daripada 10 tahun namun saya percaya kedudukannya tidak jauh berubah sekiranya kita melihat gaya hidup dan kesedaran terhadap menyempurnakan solat wajib lima waktu dalam kalangan umat Islam ketika ini.

Tambahan pula dalam era digital dan serba moden ini selain tuntutan tugas yang begitu hebat di pejabat atau di mana-mana sahaja pengabaian terhadap kewajipan menunaikan solat wajib lima waktu jelas itu ketara, seolah-olah tiada langsung ada masa untuk bersolat walaupun sekadar 10 hingga 15 minit sahaja.

Dalam khutbahnya, beliau menekankan betapa penting­nya seseorang itu memelihara lima solat wajib iaitu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak kerana ibadat tersebut akan menjadi penentu sama ada kita diberikan balasan baik atau menerima azab yang amat pedih ketika di akhirat kelak.

Malah khatib berkenaan turut mengingatkan mereka yang cuai dalam mendirikan solat juga akan diseksa di akhirat seperti mana amaran Allah SWT dalam surah al-Maa’un ayat 4-5 yang bermaksud:” Maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersolat. (Iaitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya.”

Ayat di atas memperlihatkan kepada kita, golongan yang lalai da­lam menyempurnakan solatnya akan ditimpa azab daripada Allah SWT apatah lagi mereka yang langsung tidak menunaikan solat.

Lalai dalam solat banyak penafsirannya oleh para ulama dan salah satunya sengaja melewat-lewatkan solat sehingga hampir luput waktu. Sebaik-baik solat sebagaimana perintah Rasulullah SAW adalah pada awal waktu.

Dalam satu hadis Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Amalan yang mula-mula akan dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat adalah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalan yang lain dan jika solatnya itu rosak, binasalah segala amalannya yang lain.” – Riwayat Thabrani.

Berdasarkan hadis di atas, boleh kita simpulkan segala amal kebajikan yang dilakukan sepanjang hidup tidak akan diterima oleh Allah SWT sekiranya kita gagal menyempurnakan kewajipan bersolat. Segala amalan baik akan hancur dan tidak berguna.

Justeru, tidak seorang pun terkecuali daripada kewajipan menunaikan solat meskipun dalam keadaan kita terlantar sakit melainkan wanita yang didatangi haid. Hakikatnya, kita banyak menangis disebabkan urusan-urusan duniawi tetapi apabila bab agama sukar air mata kita mengalir. Kita tidak menangis atas urusan agama.

Misalnya, apabila anak tidak layak menyertai program realiti kita mula menangis tetapi jika anak tidak tahu bersolat dan membaca al-Quran tiada setitispun air mata yang jatuh.

Sungguhpun begitu kita masih belum terlambat. Selagi nyawa dikandung badan, pintu taubat masih terbuka. Sesungguhnya Allah SWT yang bersifat Maha Pengasih dan Maha Penyayang amat mengasihi hamba-hamba-Nya yang berusaha ke arah kebaikan.