Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Al-Quran membangun generasi

Posted by epondok di April 1, 2016


AL-QURAN adalah sumber ilmu yang membawa perkhabaran dan kebenaran untuk manusia. Ia menjadi petunjuk kepada manusia, khususnya orang-orang yang bertakwa (hudan linnas hudan lilmuttaqeen). Tanpa petunjuk manusia boleh hilang pedoman dan bimbingan.

Tamadun Islam masa lalu dibangunkan menerusi sumber daripada al-Quran. Al-Quran dijadikan pedoman melakukan tadabur atau kajian serta telitian mengenai alam dan kehidupan. Hikmah dari tradisi tadabur itu menghasilkan penemuan yang sifatnya saintifik. Ia menghasilkan tamadun tidak saja ditunjangi dengan nilai-nilai agama tetapi juga hasil kajian yang serasi dengan petunjuk daripada al-Quran.

Generasi Qurani yang terhasil dalam zaman kebangunan Islam tidak saja berilmu dan mempunyai akhlak yang tinggi tetapi mampu melakukan integrasi (naqli-akli) sehingga ilmu Islam kelihatan sepadu dan membangun fikrah Islami.

Fiqrah Islami adalah sesuatu yang amat penting dalam memahami ilmu dan pendidikan Islam supaya ia bakal membentuk watak dan sahsiah yang tidak saja unggul dari segi pemikiran tetapi unggul juga dari sudut amalan.

Citra Islam ialah citra beriman dan beramal soleh. Islam tidak sekadar indah dalam peribadatan khususi, tetapi indah juga juga dalam amali. Islam tidak hanya memberi fokus kepada sistem kepercayaan (aqidah) tetapi juga kepada cara hidup.

Cara hidup Islami menjadi matlamat akhir kehidupan seorang Muslim dan Mukmin supaya ia berada dalam reda ALLAH. Inilah tuntutan binaan generasi Qurani supaya ilmunya berkembang, amalannya menjadi sumber ikutan dan asas tamadun terbina.

Maksud tamadun dalam Islam tidak sekadar ilmu yang benar dan bermanfaat yang disuburkan tetapi tuntutan amal soleh harus mampu dimanifestasikan supaya keindahan Islam terlihat.

Keindahan Islam terlihat kepada watak dan pekerti mulia yang dimiliki supaya resam amanah, keikhlasan, kejujuran, keadilan dan kesejahteraan menjadi sumber amalan.

Lazim dilihat produktiviti rohiyyah umat Islam relatif tinggi tetapi produktiviti amaliah dalam erti kata yang luas relatif rendah. Islam sering dilihat dalam bentuk syarah dan tazkirah tetapi tidak terpancar dalam bentuk amal. Amat penting proses internalisasi (penyerapan) dalam tradisi pengajaran dan pembelajaran berlaku supaya kesan penghayatan terjadi.

Ilmu dan kemahiran yang berkembang dalam sistem pendidikan harus ditunjangi dengan etika tinggi supaya nilai-nilai Qurani dapat bersama. Teknologi selamanya alat. Keupayaan alat yang ditunjangi etika dan nilai dan mampu membangun akal-budi insan menjadi matlamat.

Pembinaan generasi berasaskan jendela al-Quran memberi fokus kepada akhlak manusia kerana kebangunan rijal atau manusia menuntut kekuatan akhlak sebagai proses peradaban berlaku. Tanpa akhlak kemajuan hanya bersifat mekanistik. Pembangunan dan kemajuan mesti bersama dengan roh yang membimbing manusia memiliki akhlak mulia.

Proses pendidikan dalam proses pembangunan generasi al-Quran tidak sekadar suatu proses pemindahan ilmu dan maklumat daripada pendidik kepada murid tetapi mengambil kira proses transformasi diri. Transformasi diri membentuk sikap dan pekerti supaya generasi dalam pendidikan terbina ilmu, kemahiran dan akhlaknya.

Tanpa akhlak dan binaan pekerti yang Qurani pendidikan akan menjadi hampa dan kosong. Pendidikan tanpa roh menjadikan manusia robot. Pendidikan bersama dengan roh Qurani menjadikan manusia hidup dalam kehidupan. Kehidupan yang dipandu dengan pekerti manusiawi boleh menghindari watak yang sifatnya haiwani dan gelagatnya merosakkan.

Fokus terhadap sains dan teknologi tidaklah salah. Tetapi sains dan teknologi tanpa etika dan nilai menyebabkan salah guna terjadi. Salah guna terhadap produk sains dan teknologi boleh memberi kesan kepada kehidupan manusia.

Sebab itu menjadikan al-Quran dan nilai-nilai Quraninya yang diperkukuhkan dengan Sunnah Nabi bakal menghasilkan watak dan pekerti yang menyantuni alam dan manusia. Jangan dibiarkan tangan-tangan yang serakah merosakkan alam dan kualiti manusiawi kerana al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa kerosakan alam adalah akibat perbuatan tangan-tangan manusia.

Justeru menjadikan al-Quran sebagai asas pembentukan generasi adalah sesuatu yang amat dituntut kerana tanpanya manusia bakal menjadi mekanistik tanpa roh yang memandu perubahan.
* Sidek Baba

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: