Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Archive for April 2016

Ideologi kapitalis menidakkan fitrah manusia

Posted by epondok di April 30, 2016

Oleh Azril Mohd Amin
Ideologi kapitalis yang menguasai kebanyakan negara di dunia pada era kontemporari ini umumnya menganggap manusia sebagai insan yang baik dan mendakwa kejahatan muncul daripada manusia disebabkan pembatasan atau halangan dikenakan terhadap kehendak mereka. Oleh demikian, menurut ideologi kapitalisme, tuntutan kehendak manusia harus dibiarkan sebebas-bebasnya supaya mereka mampu menzahirkan tabiat baiknya yang semula jadi. Ini antara punca munculnya idea kebebasan yang menjadi ciri menonjol dalam ideologi kapitalisme.
Bagi ideologi itu demi hak asasi, manusia harus dibebaskan daripada kawalan tuhan dalam urusan kehidupan untuk mereka menikmati kebebasan sempurna. Empat jenis kebebasan Terdapat empat jenis kebebasan di dalam ideologi kapitalisme yang menjadi hak setiap manusia dan harus dihargai oleh manusia lain, iaitu kebebasan beragama, menyatakan pendapat, hak milik dan bertingkah laku. Justeru, bukanlah sesuatu yang menakjubkan apabila kita mendapati di kebanyakan negara yang menjunjung ideologi kapitalisme, masyarakatnya mengizinkan murtad berleluasa khususnya dalam kalangan umat Islam. Malah, dalam kalangan mereka sendiri, fahaman tidak bertuhan berleluasa serta tindakan keluar-masuk ataupun berpindah agama seumpama memilih barangan di rak pameran sesebuah pasar raya. Mereka juga mengamalkan agama mengikut hawa nafsu dan tafsiran sendiri. Institusi serta golongan agama yang mempunyai autoriti ilmu diserang dengan pelbagai label negatif. Kecenderungan ini semakin berleluasa di Malaysia.
Kebebasan menyatakan pendapat pula menurut mereka adalah kebebasan mengeluarkan pendapat dengan apa cara sekalipun tanpa mempedulikan pendapat itu menghormati ajaran agama atau tidak. Kebiadaban penerbit majalah Charlie Hebdo adalah contoh tindakan melaksanakan hak menyatakan pendapat yang melanggar batasan agama dan moral.
Di Malaysia, keangkuhan seumpama itu terserlah dalam kalangan mereka yang berselindung di sebalik hak kebebasan menyatakan pendapat dan menolak keperluan mengekalkan undang-undang Akta Hasutan 1948 yang digubal berdasarkan Perkara 10(4) Perlembagaan Persekutuan, untuk menetapkan had kepada kebebasan bersuara. Kewujudan kebebasan hak milik diterapkan ideologi kapitalisme juga menjadi antara hak yang ditonjolkan.
Ramai berpendapatan ratusan ribu manusia setiap bulan, walaupun hakikatnya jutaan, manusia yang kekal di lembah kemiskinan sehingga ada yang akhirnya mati akibat kekurangan khasiat, penyakit malah akibat kebuluran. Namun begitu, isu jurang kemiskinan yang mendalam bukanlah menjadi keprihatinan ideologi kapitalisme kerana pendekatan memaksimumkan keuntungan adalah keutamaan mereka sekalipun menafikan hak orang lain. Kebebasan bertingkah laku pula adalah bentuk hak asasi manusia yang pada saat ini sering menjerumuskan manusia ke jurang kehinaan. Mereka bebas melakukan apa sahaja tanpa mempedulikan baik, buruk, halal atau haram sesuatu tindakan itu.
Gaya kehidupan songsang yang dianuti dan diamalkan golongan liberal, LGBTIQ (lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan tanda tanya) serta fahaman tidak bertuhan sebagai contoh, adalah penzahiran hak kebebasan bertingkah laku tiada batasan yang turut berasal daripada ideologi kapitalisme. Di saat masyarakat dunia sedang dihancurkan ideologi kapitalisme, Islam kekal sebagai agama yang menyediakan jawapan terhadap kekeliruan manusia dalam mencari makna diri. Allah SWT mencipta manusia dengan segala kurniaan potensi yang wujud pada diri mereka. Secara fitrah, manusia mempunyai naluri beragama dan bagi seorang Muslim, ini dibuktikan melalui kecenderungan beribadah menyembah Allah SWT.
Mukmin perlu ikut peraturan Islam melarang apa juga bentuk paksaan untuk berada dalam agama, namun ketika seseorang melafazkan syahadah secara sedar dan faham kesannya maka dia terikat dengan seluruh peraturan Islam. Allah SWT menegaskan dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan katakanlah (wahai Muhammad): Kebenaran itu ialah yang datang dari Tuhan kamu, maka sesiapa yang mahu beriman, hendaklah ia beriman; dan sesiapa yang mahu kufur ingkar, biarlah dia mengingkarinya. Kerana Kami telah menyediakan bagi orang yang berlaku zalim itu api neraka, yang meliputi mereka laksana khemah; dan jika mereka meminta pertolongan kerana dahaga, mereka diberi pertolongan dengan air yang seperti tembaga cair yang membakar muka; amatlah buruknya minuman itu, dan amatlah buruknya neraka sebagai tempat bersenang-senang.” (Surah al-Kahfi, ayat 29)
Begitu juga Allah SWT menciptakan manusia dengan memiliki naluri untuk mempertahankan diri dan dengan naluri itu manusia sentiasa ingin dilindungi maruah diri. Akan tetapi pembelaan maruah diri tidak boleh dilakukan secara sembarangan menurut kehendak akal manusia semata-mata. Makna diri manusia harus didasarkan pada peraturan Allah SWT, seperti sabda Rasulullah SAW: “Tidak beriman salah satu di antara kalian sehingga hawa nafsunya tunduk kepada yang aku bawa (Islam).” (Riwayat Imam Muslim)

Allah SWT menciptakan manusia dan diizinkan fitrah manusia untuk tertarik pada jantina yang berlawanan secara semula jadi. Allah SWT menciptakan manusia hanya terdiri daripada dua jenis untuk melahirkan keturunan maka dengan pernikahan antara lelaki dan perempuan jalan yang benar dan diperakui. Manusia perlu berwaspada supaya tidak menjadikan ideologi kapitalisme yang di luar peraturan Islam sebagai anutan mereka. Sesungguhnya kita wajib menyedari peraturan berasal daripada ideologi selain Islam akan membawa kerosakan apabila diambil dan diterapkan secara membuta-tuli. Begitu juga idea hak asasi manusia bersumberkan ideologi kapitalisme. Tidak patut jika umat Islam terpesona atau mengambil dan menerapkannya secara melulu tanpa membataskan dengan prinsip agama, budaya dan iktibar sejarah.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Peringatan besar daripada surah al-Waqi’ah

Posted by epondok di April 28, 2016

ABDULLAH BUKHARI ABDUL RAHIM AL-HAFIZ

RAMAI runsing apabila makan tak cukup atau harta berkurang, tapi sedikit yang risau jika bekal tidak cukup untuk ke akhirat. Sekiranya makan tidak cukup, tubuh mungkin menyusut tapi hidup masih boleh diteruskan kerana Allah tidak pernah mengenakan bil oksigen, matahari, bulan, sendi badan dan sebagainya.

Tapi awas! Jika amalan atau bekal rohani tidak cukup untuk menghadap Allah kelak, kita akan lapar dan dahaga di alam sana. Lapar dan dahaga akhirat sungguh luar biasa kerana ia bersulam azab yang sangat pedih. Menu makanannya adalah buah Zaqqum, minumnya pula air panas menggelegak dan ‘jus nanah’ yang meleleh daripada luka ahli neraka. Ini yang diulang sebut Allah dalam banyak surah termasuklah dalam surah al-Waqi’ah.

HADIS DAIF?

Sebut sahaja surah al-Waqi’ah, langsung terlintas ia adalah surah amalan yang bagus untuk dimurahkan rezeki. Benarkah begitu? Kelebihan itu disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud r.a. ketika beliau hampir meninggal. Beliau ditanya khalifah Uthman bin Affan r.a. tentang kerunsingan beliau. Abdullah berkata dia tidak risau kefakiran kepada anak-anaknya kerana sabda Rasulullah SAW:“Sesiapa yang membaca surah al-Waqi’ah setiap malam tidak akan ditimpa kefakiran selamanya,” (Imam al-Baihaqi meriwayatkannya dalam Sa’b al-Iman)

Walaupun begitu, hadis ini dihukum sebagai daif oleh ramai para ulama Hadis seperti Imam Ahmad, Imam Abu Hatim, Imam al-Daruqutni, Imam al-Baihaqi dan sebagainya. Pun begitu, atas umumnya kelebihan membaca al-Quran, surah ini boleh dibaca sebagai amalan bersama surah lain untuk mendapat hidayah daripada isinya dan ganjaran pahala pada setiap hurufnya. Sabda Rasulullah: “Bacalah al-Quran kerana ia akan datang memberi syafaat kepada pembacanya pada hari kiamat nanti. Bacalah Zahrawain, iaitu surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran, kerana kedua-duanya akan datang pada hari kiamat nanti, seperti dua tompok awan menaungi pembacanya atau seperti dua kelompok burung yang sedang terbang dalam formasi hendak membela pembacanya. Bacalah al-Baqarah, kerana dengan membacanya beroleh berkat dan dengan tidak membacanya beroleh penyesalan serta pembacanya tidak dapat dikuasai (dikalahkan) oleh ahli sihir,” – Sahih Muslim.

KEDAHSYATAN KIAMAT

Dalam hadis yang lebih sahih, surah al-Waqi’ah membawa sudut pandang yang lebih ‘kena atau tepat’ dengan isinya yang berkait rapat dengan kegemparan kiamat.

Rasulullah SAW beruban memikirkan kegemparan isi surah al-Waqi’ah bersama surah yang lain.

“Ibn ‘Abbas menyebut, pada suatu hari Abu Bakar r.a. bertanya kepada Rasulullah SAW: “Wahai Rasulullah, engkau sudah beruban?” Baginda menjawab: “(Kedahsyatan isi kandungan) surah Hud, al-Waqi’ah, al-Mursalat, al-Naba’ dan al-Takwir menjadikan aku beruban,” – Sunan al-Tirmizi, Mustadrak al-Hakim.

Surah al-Waqi’ah bukan surah biasa kerana bayangan kiamat yang digambarkannya amat dahsyat sehingga boleh melumpuhkan sendi lutut. Gunung digegarkan kuat sehingga menjadi debu berterbangan! Jika rumah kita bersebelahan dengan kawasan industri kuari, dentuman dinamit yang menggegar bukit bagi menghancurkan batunya pasti membuatkan kita tidak senang duduk.

Bayangkan pula jika makhluk Allah seteguh gunung Everest dileburkan menjadi debu. Pastinya tubuh kita sudah tidak berjasad pada waktu itu. Inilah gambaran surah al-Waqi’ah: “(Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur-leburkan dengan selebur-leburnya, lalu jadilah ia debu yang bertebaran,” (al-Waqi’ah [56:4-6]).

Benar apa yang dirunsingkan Rasulullah SAW, kegemparan kiamat sangat dahsyat kerana bukan sahaja yang berusia boleh beruban, kanak-kanak pun tidak terkecuali. Firman Allah:“(Sekiranya kamu tidak ditimpa azab di dunia), maka bagaimana kamu dapat menjaga dan menyelamatkan diri kamu – kalau kamu kufur ingkar – (daripada azab) hari yang huru-haranya menyebabkan kanak-kanak menjadi tua beruban?,” (al-Muzzammil [73:17]).

Setelah berlaku kiamat, Allah dengan kuasa-Nya yang mutlak akan ‘mengangkat-mulia’ dan ‘menjatuh-hinakan’ beberapa kumpulan manusia dalam Surah al-Waqi’ah (ayat 3 dan 7-9). Manusia yang mulia terdiri daripada dua golongan iaitu golongan istimewa (VVIP) (ayat 10 – 26) dan golongan kanan (ayat 27 – 40). Manusia hina pula dihumban dan diseksa dengan dahsyat dalam neraka (ayat 41 – 57).

BEKALAN ROHANI

Surah al-Waqi’ah mengingatkan kita agar menyediakan bekal rohani sebanyak mungkin kerana apabila tiba di akhirat, wang ringgit dan emas permata tidak akan diterima sebagai mata wang. Hanya ‘mata wang pahala’ laku digunakan. Kunyah dan hadamlah surah ini sedaya mampu agar ia menjadi makanan berzat untuk rohani kita seiring kehendak Allah. Setelah rohani sihat dan segar bugar, kita mampu meraih tiket ke syurga sama ada sebagai VVIP atau golongan kanan.

Inilah rezeki sebenar yang wajib dikejar oleh semua yang mengaku beriman.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Pupuk keinginan tinggi jadi insan soleh tunduk nafsu

Posted by epondok di April 27, 2016

Oleh Nik Hasnah Ismail
SESUNGGUHNYA keinginan untuk menjadi baik adalah suatu yang normal dan fitrah bagi setiap orang. Bahkan menurut ahli sufi apabila timbul keinginan untuk menjadi orang yang baik, bererti kita telah mendapat jemputan Allah SWT untuk menuju ke suatu daerah kebaikan.
Menerusi rancangan Islam Itu Indah yang disiarkan setiap Rabu, jam 10.30 pagi di radio IKIMfm, Ustaz Pahrol Mohd Juoi menekankan mengenai pentingnya mempunyai keinginan untuk menjadi baik kerana dengan kebaikan inilah yang akan menjuruskan seseorang Mukmin itu mengerjakan amal soleh di sisi Allah SWT. Bermula daripada keinginan akan muncul rangsangan atau dorongan untuk bertindak.
Sebetulnya sesuatu yang positif dan lazim bagi seseorang Mukmin memiliki rasa ingin atau mahu. Tetapi yang menjadi persoalan adalah apabila keinginan tidak diawasi dengan iman menyebabkan ia berlandaskan kepada hawa nafsu yang merosakkan. Seseorang Mukmin yang berlandaskan keinginan yang memuncak tanpa ada batasan akan mudah tunduk kepada keinginan hawa nafsu yang menjadikannya alpa untuk membezakan perkara baik dan buruk, halal dan haram serta dibenarkan atau sebaliknya. Seseorang yang diperhambakan oleh keinginan sehingga menjerumuskan diri ke lembah dosa tidak akan mampu membezakan perkara yang buruk dan baik.
Cepat rasa kecewa, putus asa
Sebab itulah, mereka yang mempunyai keinginan hawa nafsu memuncak akan merasa cepat kecewa, mudah putus asa, suka menyalahkan dan bertindak di luar kewarasan apabila keinginannya tidak dipenuhi atau tidak berjaya dilakukan. Apabila mendapat hajat atau keinginan yang diharapkan kita pula menjadi manusia yang mudah lupa diri, bongkak dan sombong dengan anugerah nikmat yang Allah SWT sehingga membuatkan kita mudah menafikan hak orang lain dalam rezeki yang diperoleh. Dalam lembaran Islam, orang yang hebat akan memiliki keinginan tinggi, suci dan murni.
Keinginan menuju jalan
Islam dengan tujuan membina kehebatan agama Islam menjadikan sahabat adalah insan mulia yang luar biasa. Dikisahkan dalam suatu peristiwa ketika Saidina Umar al-Khattab bersama sahabat yang lain berkumpul dan berbicara tentang keinginan mereka jika mendapat kekayaan harta benda yang Allah kurniakan. Habiskan harta di jalan Islam Semua mereka mahukan setiap kekayaan dan anugerah harta benda itu dihabiskan ke jalan Islam yang suci. Kehebatan sahabat Rasulullah SAW tidak dapat dipertikaikan lagi. Kesetiaan, kasih sayang dan kesucian hati mereka amat cukup luar biasa.
Diriwayatkan dalam sebuah kisah sahabat Baginda yang mereka tidak langsung berkeinginan dengan kesenangan dunia tetapi tumpuan keinginan mereka adalah menanam ketaatan yang tinggi kepada Allah SWT dan menjadi penghuni syurga bersama baginda Rasulullah SAW.
Begitu juga kisah tentang seorang sahabat iaitu Abu Ayyub al-Ansari yang barangkali memberi inspirasi dan pengajaran kepada kita hari ini untuk membina keinginan yang tinggi iaitu menjadi hamba yang soleh, umat yang menuruti sunah Baginda Rasulullah SAW dan akhirnya menjadi penghuni syurga firdaus yang kekal abadi. Abu Ayyub dikurniakan Allah SWT dengan usia yang panjang, dalam usia yang lanjut itu beliau tetap memiliki semangat jihad dan cintakan agama yang tinggi. Sehinggakan pada saat Abu Ayyub mendengar sabda Baginda Rasulullah SAW bahawa “Suatu hari nanti akan ditawan Kota Kostantinopel. Sesiapa yang berjaya menawan kota itu, dia adalah sebaik-baik tentera dan pemimpin”.
Mendengar akan itu, Abu Ayyub dengan semangat juang yang tinggi belayar ke kota Kostantinopel bagi berjihad membina empayar Islam dan menegakkan agama Allah.
Abu Ayyub figura hebat Islam
Pada usia yang mencecah 80-an, dengan izin Allah SWT, Abu Ayyub meninggal dunia. Sungguhpun demikian, Abu Ayyub sebagai figura hebat Islam meninggalkan wasiat kepada mujahid agar mayatnya ditanam di hadapan Kota Konstatinopel supaya dia boleh mendengar bunyi tapak kaki kuda dan suara mujahid yang berjihad menegakkan agama Allah. Kuasa keinginan yang digarap Abu Ayyub menjadi pedoman bahawa sesiapapun kita ia bukan syarat membina keinginan yang tinggi kerana Allah SWT. Sesungguhnya jika kita ada keinginan demi agama, Allah SWT akan memperkenankan walaupun dalam bentuk berbeza. Hakikatnya seseorang Mukmin juga perlu faham akan hakikat kehidupan. Setiap keinginan yang kita dambakan bukan bererti semuanya baik untuk kita.
Segala pergerakan, kemahuan dan keperluan kita, ia adalah di bawah kekuasaan Allah SWT. Tidak semua perkara yang kita mahu kita akan dapat, kerana Allah SWT yang Maha mengetahui segala-galanya akan memberi apa yang kita perlu, tetapi bukan apa yang kita mahu. Justeru, sebagai hamba yang mengharapkan kasih sayang dan belas ihsan Allah SWT, hendaklah kita selalu merendahkan keinginan yang disebabkan dorongan hawa nafsu, sebaliknya selalu memperhebatkan keinginan berbuat kebaikan dan ibadat yang akan mendekatkan diri kita dengan Allah SWT, seterusnya menjadi penghuni syurga Allah SWT yang kekal abadi.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Kuliah Subuh Perdana Habib Ali bin Syeikh Abu Bakar bin Salim di Pondok Pasir Tumboh 29 April ini

Posted by epondok di April 26, 2016

iklan habib

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »

Tanda hati sihat

Posted by epondok di April 25, 2016

MOHD. RADZI MOHD. ZIN

 

DALAM jasad kita, ada seketul daging yang berpe­ranan penting menentukan baik buruknya peribadi seseorang. Sebab itu, dalam masyarakat Melayu ada istilah baik hati dan busuk hati. Kalau disebut orang itu baik hati maka ramai yang suka berkawan dengannya. Sebaliknya, kalau disebut busuk hati sudah tentu masyarakat menjauhkan diri daripadanya.

Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang maksud­nya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad manusia ada seketul daging (segumpal darah), jika baik maka baiklah seluruh anggota dan jika rosak maka rosaklah seluruh anggota, itulah hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Soalnya, bagaimana cara untuk kita melihat dan menentukan hati itu sejahtera atau sebaliknya. Sebabnya, kedudukan hati itu di dalam diri dan tidak boleh dilihat secara fizikal. Namun yang pasti, manusia bersetuju ba­hawa hati dan perasaan haruslah dijaga daripada sifat-sifat yang merosakkan.

Seorang yang tubuhnya segar-bugar belum pasti memiliki hati yang sihat. Jika fizikalnya sahaja yang sihat tetapi masih berat atau liat beribadat maknanya hati seseorang itu sedang sakit. Jika orang itu mampu tercegat di depan televisyen selama berjam-jam malah berjaga hingga larut malam menonton perlawanan bola sepak tetapi gagal me­laksanakan solat tahajud yang memakan masa hanya lima minit, maka yakinlah bahawa hatinya sedang sakit.

Seorang tabien dan ulama sufi, Imam Hasan al-Basri berkata: “Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup.”

1. Semasa solat – Orang yang hatinya sihat akan merasai nikmat dan manisnya solat berjemaah waima bacaan imamnya panjang. Analoginya, ibarat orang sihat yang sedang lapar. Sudah pasti dia makan dengan penuh berselera berbanding orang yang sakit. Kita bawakan pelbagai jenis makanan kepadanya tetapi dia hanya mampu melihat ke­rana tidak ada selera makan.

2. Semasa baca al-Quran – Antara mukjizat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW adalah al-Quran yang di dalamnya terkandung petunjuk kepada orang beriman. Orang yang hatinya sihat, tidak akan jemu untuk membaca al-Quran secara istiqamah. Makin dibaca makin rasa seronok dan terasa nikmatnya. Jika sehari tidak dapat baca al-Quran maka hidupnya resah gelisah.

3. Semasa berzikir – Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya dengan mengingati Allah (zikir) hati jadi tenang.” (ar-Ra’d: 28)

Ada banyak zikir yang boleh kita amalkan dalam kehidupan seharian. Antara yang amat di­anjurkan adalah membaca penghulu segala istighfar yang dibaca selepas subuh dan asar. Begini bacaannya; “Ya Allah, Engkaulah Rabbku tiada tuhan yang layak disembah melainkan Engkau. Engkau telah menciptakan aku dan aku adalah hamba-Mu. Dan aku tetap di atas perjanjian dan taat setia terhadap-Mu dengan segala kemampuanku. Aku berlindung dengan-Mu daripada kejahatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat-Mu kepadaku dan aku mengakui dosa yang aku lakukan, oleh itu ampunilah dosaku. Sesungguhnya tiada yang dapat mengampunkan dosa melainkan Engkau.”

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mengucapkannya pada siang hari (pagi) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia pada hari tersebut sebelum petang maka dia dalam kalangan ahli syurga. Dan sesiapa yang mengucapkannya pada waktu malam (petang) dengan penuh keyakinan dengannya lalu dia meninggal dunia maka dia dalam kalangan ahli syurga.” (Riwayat al-Bukhari).

Marilah kita segera mengubat hati kita yang sakit. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan ­tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti dilakukan di dunia sebagai hamba Allah.

Seorang ulama, Ibrahim Al-Khawas berkata: “Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang soleh”.

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

3 Penyakit yang ditakuti manusia

Posted by epondok di April 23, 2016

TUA, lemah dan mati! Itulah tiga penyakit yang sangat ditakuti manusia. Kerana kemuncak kegentaran itu, pelbagai usaha dilakukan bagi menjamin jasad fana mereka tidak dijamah sakit tua, lemah dan mati. Natijahnya, banyak produk kecantikan anti penuaan muncul dalam pasaran. Manusia sanggup berhabis wang ringgit bagi mengelakkan dipandang lemah atau tua. Jika ada produk kebal mati pun manusia akan bertambah ghairah mengejarnya. Takut atau berani, mahu atau enggan, manusia tetap tidak dapat lari daripada sumpahan tua, lemah dan mati:
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu Dia menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya dan Dia lah jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa,” (al-Rum [30:54]).
Sering kita saksikan bagaimana penyakit tua menampakkan kelemahan manusia.

Orang berusia lanjut ada yang nyanyuk dan berperangai seperti kanak-kanak. Jika kanak-kanak senang didokong apabila meragam, namun jasad orang tua yang bersikap seperti kanak-kanak bukan mudah mahu ditatang. Berikutan itu, Rasulullah SAW mengajarkan kita doa bagi mengelakkan tua nyanyuk:
“Ya Allah! Aku mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) bakhil. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada (sifat) penakut, Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada dilanjutkan usia sehingga tua nyanyuk. Aku juga mohon perlindungan-Mu daripada ujian dunia dan aku juga mohon perlindungan-Mu dari azab kubur,” – Sahih Bukhari).

SUDUT POSITIF

Walaupun tua kelihatan lemah, namun ada kebaikan padanya. Jiwa mereka tenang, pengalaman panjang meniti usia membantu mereka mengenal mana garam, gula, kaca dan permata sebenar.

Sebut sahaja ketakutan manusia kepada tua, lemah dan mati, rupanya masyarakat purba pernah membicarakan kewujudan kisah “air ajaib” yang boleh melanjutkan usia dan mengekalkan keremajaan. Ia dikhayalkan dengan nama “ainul hayat” (air kehidupan), air atma jiwa dan fountain of youth. Kisah pencarian fountain of youth turut diepikkan dalam filem Pirates of Carribean lakonan Johnny Depp. Soalannya, adakah ia benar wujud dan apa kata al-Quran dan Sunnah tentang khayalan ini.

PENJELMAAN SEMULA

Bila sains berkembang dengan pesat, cerita hikayat ainul hayat semakin dilupakan. Pun begitu, ia tetap menjelma dalam dimensi lain yang lebih agresif iaitu kebanjiran produk kecantikan “lupa mati” yang dislogankan dengan keajaiban anti penuaan. Bukanlah saya ingkar ilmu Allah pada perkembangan Sains, tapi usahlah begitu ghairah membelai fizikal kerana bimbang dihinggapi penyakit tua, lemah dan mati sehingga lupa akhirat. Nak mati atau tak mahu mati, semua manusia tetap akan mati walau sekuat mana sekalipun sistem kawalan peribadi dilakukan:
“Di mana jua kamu berada, maut akan mendapatkan kamu (bila sampai ajal), sekalipun kamu berada dalam benteng yang tinggi lagi kukuh,” (al-Nisa’ [4:78])

Jangan terlalu berangan-angan ingin hidup lama. Apa guna hidup lama jika hanya dosa dihimpun memenuhi “memori kad amalan” kita? Jangan sampai amaran Rasulullah SAW ini terkena kepada kita. Sabda baginda:
“Hati orang berusia (tua) sentiasa muda pada dua perkara iaitu cintakan dunia dan angan-angan yang panjang,” – Sahih Bukhari.

Yang gugur bukan semuanya tua dan masak. Banyak sekali yang gugur akibat dipukul ribut dan angin kencang. Jika yang muda boleh gugur bila-bila masa sahaja, yang tua pastinya lebih mudah tercabut tangkai dek lemahnya otot di badan.

Jika melihat kedut wajah atau uban rambut di cermin, usahlah kalut mahu mencari ainul hayat atau produk anti penuaan. Sebaliknya bersyukurlah kerana Allah memberikan peluang hidup di dunia bagi menyimpan bekal dibawa ke alam sana. Jangan takut tua, lemah atau mati sebaliknya takutlah kerana tidak bersedia untuk bertemu Allah.

Posted in Artikel Pilihan | Leave a Comment »

Amar makruf nahi mungkar jamin kerukunan hidup

Posted by epondok di April 22, 2016

WAN ROSLILI ABD. MAJID

 

KASIH sayang, keprihatinan, dan kebimbangan Nabi Muhammad SAW terhadap umat Baginda terzahir dalam banyak hadis. Antaranya hadis Riwayat Bukhari dan Muslim berikut: “Perumpamaan aku dengan kamu (umatku) ibarat seorang lelaki yang menyalakan api. Lalu serangga dan binatang-binatang melata datang ke arah api tersebut. Lelaki tersebut berusaha untuk menghalangnya. Dan aku memegang penghalang bagi kamu daripada neraka (supaya kamu menjauhkan diri daripadanya), sedangkan kamu pula tidak menghiraukan aku (lalu akhirnya kamu masuk ke dalam api tersebut).”

Khusus bagi umat akhir zaman, Baginda pernah memberi amaran: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pun kamu akan mengikut mereka.” Sahabat-sahabat lantas bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah Yahudi dan Nasrani yang tuan maksudkan itu?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi jika bukan mereka.” (Riwayat Muslim).

Menurut Imam al-Nawawi, sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta serta lubang biawak adalah merujuk kepada idea, pemikiran, cara dan gaya hidup golongan Yahudi dan Nasrani. Dengan kata lain, umat Islam akhir zaman menerima atau menyetujui maksiat dan kemungkaran tetapi bukan kekufuran mereka. Imam al-Nawawi seterusnya mene­gaskan bahawa hadis salah satu mukjizat nabi. Jus­teru, kita dapat melihat bahawa apa yang dikhabarkan oleh Ba­ginda telah pun kini menjadi kenyataan.

Jika dahulu, pemikiran dan cara hidup masyarakat barat dianggap sesuatu yang jelek dan mesti ditolak tetapi tidak lagi hari ini. Sebilangan umat Islam bukan sahaja menerima dan mengagumi, malah menuruti cara hidup masyarakat barat. Lebih malang, terdapat kalangan umat Islam sendiri menjadi pendukung atau peneraju pemikiran serta agenda mereka.

Kenyataan bahawa dunia tidak lagi bersempadan membuka jalan yang luas untuk pemikiran songsang seperti liberal­isme dan pluralisme untuk meresapi pemikiran umat Islam. Dengan itu semakin lantanglah kedengaran suara-suara yang menuntut sesuatu atas nama kebebasan. Justeru, sesuatu tindakan yang diambil atas asas menjaga agama dan peri laku umat Islam dikecam sebagai melanggar hak asasi pihak-pihak yang terbabit.

Lebih mendukacitakan apabila pihak berkuasa agama yang menjalankan tugas dengan penuh berhemah dan profesional dilemparkan dengan kata-kata kesat dan ugutan. Kebebasan yang diperjuangkan pemikir liberalisme memberikan kebebasan tanpa sempadan kepada manusia untuk menuruti hawa nafsu dengan sewenang-wenangnya. Sebaliknya dalam Islam, kebebasan tertakluk dalam lingkungan yang dibenarkan oleh syarak. Perkara-perkara yang dibenarkan itu pula pastinya yang diakui benar (haq) dan baik serta tidak menimbulkan kemudaratan terhadap mereka.

Tanggungjawab menyeru kepada kebaikan dan menghalang kemungkaran (amar makruf nahi mungkar) atau dikenali sebagai sistem hisbah salah satu asas terpenting dalam peme­rintahan. Hal ini sebagaimana ditegaskan dalam ayat yang berikut: “…dan sesungguhnya Allah akan membantu sesiapa yang menolong agama-Nya (agama Islam)’ sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Kuasa; iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan solat serta memberikan zakat dan mereka menyuruh me­lakukan kebaikan serta melarang daripada melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar….” (Surah al-Hajj 22 : 40-41).

Disebabkan kepentingan sistem itulah maka dilaksanakan sejak zaman Nabi SAW, Khulafa’ al-Rasyidin dan khalifah seterusnya lalu kemudiannya diinstitusikan sebagai suatu sistem. Asas yang penting ini turut diserapkan dalam penggubalan undang-undang di negara-negara Islam termasuk Malaysia. Justeru, Akta/Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (AKJS) yang digubal antara lain bagi menghalang kesa­lahan berhubung akidah, kesucian agama dan institusi Islam, dan kesusilaan mestilah dihormati. Lebih penting lagi, seluruh rakyat mesti memberikan sokongan padu agar undang-undang ini dapat dikuatkuasakan dengan berkesan.

Dalam hubungan ini juga kita dapat melihat bagaimana prinsip Rukun Negara yang meletakkan tanggungjawab terhadap setiap warga negara untuk menghormati keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang (syariah mahupun sivil) serta memelihara kesopanan serta kesusilaan amat berkaitan. Dalam Perlembagaan, pemartabatan agama Islam sebagai agama negara melalui Perkara 3 (1) menzahirkan kedaulatannya yang perlu dipertahankan.

Setiap individu mesti mengambil perhatian bahawa sebarang bentuk perbuatan yang bertujuan menghina pihak berkuasa agama atau mengingkari, melanggar atau mempertikaikan perintah atau arahan Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Agama Islam, Majlis atau Mufti yang dinyatakan atau diberikan oleh fatwa adalah suatu kesalahan. Oleh yang demikian, sekiranya disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dijatuhi hukuman tertentu misalnya sebagaimana diperuntukkan dalam Seksyen 9 AKJS (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997.

Keseluruhan kandungan agama Islam ialah kebaikan dan kemaslahatan bagi manusia sejagat. Justeru, setiap per­atu­­­r­an dan hukum yang ditetapkan bertujuan memelihara mas­lahah dan mengelakkan kemudaratan menimpa manusia umumnya. Inilah yang dirumuskan oleh ulama usul fiqh sebagai maqasid (matlamat) syariah.

Dengan mengambil kira pemeliharaan agama sebagai matlamat asas syariah yang terpenting dan berada pada urut­an tertinggi, maka usaha perlu digembleng bagi menangani segala bentuk anasir dan perlakuan yang jelas menimbulkan ancaman terhadap agama Islam dan institusinya serta pegang­an agama dan akhlak umatnya. Penguatkuasaan undang-undang bagi membendung kemungkaran dan memelihara akhlak anggota masyarakat tidak bertepatan sama sekali dianggap sebagai pelanggaran hak asasi mereka.

Hal ini disebabkan setiap perlakuan salah yang dilakukan bermakna pelanggaran batasan (hudud) dan peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Pelanggaran batasan ini pula dianggap sebagai perbuatan menzalimi diri sendiri (Surah al-Talaq 65:1). Salah satu keistimewaan persaudaraan dalam Islam ialah kewujudan hak dan tanggungjawab tertentu yang mesti dilaksanakan sesama Muslim. Perlakuan salah yang dianggap sebagai tindakan menzalimi diri sendiri, mafhum daripada hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari menyatakan bahawa Nabi SAW mengingatkan bahawa Muslim yang melihat saudaranya yang melakukan kezaliman, termasuk terhadap diri sendiri, bertanggungjawab membantu saudaranya itu dengan menghentikan perbuatan tersebut.

Dalam skop yang lebih luas, seluruh anggota masyarakat dipertanggungjawabkan dengan amanah untuk menghentikan kemungkaran yang jelas dilihat berlaku melalui pelbagai cara sama ada dengan kuasa, nasihat, mahupun juga sekadar tidak meredainya. Semuanya ini bertujuan mewujudkan kehidupan bermasyarakat yang aman damai lagi sejahtera selain menterjemahkan maksud pengutusan Nabi SAW itu sendiri sebagai rahmat bagi sekalian alam.

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Sekulerisme dan Wibawa manusia

Posted by epondok di April 21, 2016

SAODAH ABD. RAHMAN

 

PARA aktivis hak asasi manusia berpendapat kehidupan dan hubungan PARA aktivis hak asasi manusia berpendapat kehidupan dan hubungan sejenis adalah hak individu yang boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan tidak menjejaskan orang lain. GAMBAR HIASAN berita-hot.blogspot.com

FAHAMAN sekularisme yang dianuti oleh masyarakat di negara Barat bukan sahaja boleh menyebabkan penganutnya memisahkan kehidupan mereka daripada nilai-nilai agama malah boleh juga menghapuskan fitrah penciptaan manusia. Kefahaman terhadap nilai-nilai agama dan jati diri sebagai makhluk Allah yang berwibawa kian hari semakin pupus. Masyarakat sekular lebih mementingkan kemewahan dan kemajuan material daripada pembentukan kerohanian dan keperibadian berunsurkan kepada perundangan dan nilai-nilai agama.

Matlamat kehidupan mereka adalah tertumpu kepada kemajuan berbentuk material di mana mereka begitu gigih membangun dan membina negara serta berjaya mencipta teknologi moden sehingga mereka mampu menguasai dunia dalam abad terkini. Kegigihan dan ketekunan mereka dalam urusan duniawi amat dikagumi jika dibandingkan dengan masyarakat Islam masa kini. Mereka mempunyai disiplin dalam urusan pekerjaan seharian di mana mereka mampu untuk mengendalikan pel­bagai permasalahan berkaitan dengan urusan duniawi. Kejayaan mereka dalam aspek ini tidak boleh ditandingi oleh kebanyakan masyarakat Islam masa kini.

Kejayaan dan kecapaian mereka dalam mengendalikan urusan negara dan material sehingga dapat menguasai dunia bukan satu simbol kejayaan yang hakiki jika masyarakat dalam negara mereka mengenepikan nilai-nilai agama dan fitrah kejadian manusia. Tidak di­nafikan bahawa masyarakat sekular amat prihatin terhadap individu yang miskin dan kurang berkeupayaan di mana mereka memiliki institusi kebajikan yang sistematik dan boleh dijadikan contoh kepada masyarakat lain. Perkara berkaitan kemanusiaan dan kebajikan adalah salah satu agenda negara-negara sekular yang maju dan progresif.

Kelemahan dan kegagalan negara-negara sekular adalah berkaitan dengan pembentukan masyarakat dalam hal ehwal kerohanian dan keperibadian. Konsep individualistik berkaitan hal ehwal peribadi di mana hak individu untuk melakukan sesuatu secara bebas tidak boleh ditegur atau dicegah selama mana individu tersebut tidak melanggari undang-undang negara, menyebabkan ramai masyarakat dalam negara tersebut terumbang-ambing dalam arus hawa nafsu.

Konsep individualistik yang di­anuti oleh masyarakat sekular menafikan hak ibu bapa terhadap hal ehwal peribadi anak-anak apabila mereka apabila mencapai umur 18 tahun menyebabkan anak-anak memilih corak kehidupan sendiri tanpa pedoman daripada ibu bapa. Kebebasan yang sering menjadi pilihan mereka adalah lebih tertumpu kepada perkara berkaitan hawa nafsu dan corak hidup hedonistik yang bercanggah daripada kerohanian dan nilai-nilai keagamaan.

Dalam konteks kehidupan ­ma­­sya­rakat sekular tokoh-tokoh aga­ma tidak mempunyai hak untuk menghalang atau mencegah masyarakat daripada melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai dan budaya agama. Mereka hanya mampu menjelaskan perundangan agama sebagai panduan untuk masyarakat. Sejauh mana masyarakat menerima atau menolak panduan mereka bukan persoalan yang perlu dibahaskan. Misalnya, pada 1990-an terdapat gereja di Barat menjelaskan bahawa homoseks (hubungan sejenis jantina) adalah diharamkan oleh Tuhan kerana perkara tersebut dijelaskan di dalam kitab Injil.

Pengaruh sekularisme mengatasi pengaruh gereja kerana majoriti masyarakat Barat menganuti fahaman sekularisme maka kegiatan homoseksual menjadi satu kebiasaan bagi masyarakat di mana akhirnya terdapat gereja di Barat menerima gay dan lesbian menjadi biskop. Kehidupan masyarakat yang berteraskan kepada material dan kepuasan hawa nafsu sering mendorong mereka melakukan sesuatu kegiatan berdasarkan kepada bisikan naluri tanpa menghiraukan nilai agama dan fitrah kejadian mereka.

Apabila agama tidak dijadikan sebagai panduan hidup maka manusia bebas melakukan sebarang kegiatan sehingga di luar batas fitrah kejadian. Bisikan naluri yang mendorong kepada perbuatan yang bertentangan dengan fitrah kejadian dianggap sebagai hak individu yang perlu dihormati. Kemajuan sains dan teknologi yang terlalu tinggi dan canggih sehingga ke tahap yang boleh mencipta sesuatu yang menakjubkan menjadikan manusia terlupa akan hakikat fitrah kejadian mereka.

Dalam era teknologi yang serba canggih dan maju penjualan benih lelaki dan wanita mudah didapati dalam dunia sekular. Keturunan dan pertalian kekeluargaan individu yang adalah asas penting sebagai pengiktirafan ahli keluarga luput daripada pemikiran masyarakat sekular. Mereka bebas mendapatkan benih daripada lelaki atau wanita untuk mendapat anak melalui proses di luar fitrah kejadian manusia. Seorang lelaki yang menjual benihnya mampu memberi ramai wanita anak dan pasangan suami isteri.

Islam amat prihatin terhadap pertalian keturunan dan darah kerana ia menentukan hak dan pengiktirafan ahli keluarga yang mempunyai hubung kait dengan harta warisan dan mahram. Bagi masyarakat sekular, kepuasan dalam kehidupan tidak berdasarkan kepada nilai dan perundangan agama.

Pemikiran dan konsep hidup begini semakin hari kian menjadikan masyarakat sekular hilang pedoman hidup sebagai manusia yang berwibawa. Setiap perbuatan janggal yang dilakukan oleh mereka perlu dianggap sebagai fitrah kejadian mereka walaupun perbuatan tersebut tidak dilakukan oleh masyarakat primitif. Peristiwa ibu atau bapa melakukan hubungan seks dengan anak-anak secara sukarela sudah tidak dianggap sebagai perbuatan terkutuk. Kejadian begini berlaku dalam masyarakat sekular kerana kepuasan dalam hidup sering dinilai dalam perspektif kepuasan hawa nafsu bukan pemikiran rasional yang berlandaskan kepada perundangan Tuhan.

Sebagai masyarakat Islam setiap kegiatan yang terkeluar daripada fitrah kejadian manusia atau hukum hakam Islam berkaitan keperibadian umat Islam perlu dicegah dan ditangani secara berhemah. Sikap membiarkan kejadian itu berleluasa dalam masyarakat boleh menjadikan umat Islam hilang kewibawaan sepertimana berlaku dalam masyarakat sekular di Barat. Takutilah Allah dalam berurusan dengan kehidupan di dunia ini.

 

Posted in Fokus Isu | Leave a Comment »

Ikhlas rintis amalan baik demi kemaslahatan ummah

Posted by epondok di April 20, 2016

DIDIK anak menderma sejak kecil langkah melahirkan Mukmin bertakwa.
RASULULLAH SAW bersabda: “Sesiapa yang melakukan perbuatan baik dalam Islam, maka dia mendapat ganjaran pahala amalan baiknya dan juga memperoleh pahala orang yang ikut melakukannya tanpa mengurangi pahala mereka sedikit pun. Dan sesiapa yang melakukan perbuatan buruk dalam Islam, maka dia akan mendapat dosa daripada perbuatannya itu dan juga dosa orang yang ikut melakukannya tanpa mengurangi dosa mereka sedikit pun.” (Riwayat Muslim)
Rasulullah SAW mengungkapkan hadis itu tatkala melihat seorang lelaki Ansar membawa bungkusan dan disebabkan bungkusan itu berat hingga hampir-hampir dia tidak mampu memikulnya. Lantas dia sedekahkan bungkusan itu kepada kaum Bani Mudhar yang datang ke Madinah dalam keadaan menyayat hati. Tindakan sahabat Ansar itu kemudian diikut oleh penduduk Madinah lainnya. Mereka berduyun-duyun memberikan sebahagian harta mereka sehingga kelihatan satu longgokan makanan dan satu longgokan pakaian.
Merintis amalan baik
Walaupun pada zahirnya hadis itu membicarakan mengenai menginfakkan harta, pada hakikatnya ia mencakupi semua amalan sama ada yang baik atau buruk. Tema utama hadis itu adalah merintis kepada melakukan amalan kebaikan. Mereka atau perintis yang memulakan amalan kebaikan kebiasaannya membawa natijah cukup berkesan bagi dirinya dan orang lain. Menariknya, amalan merintis kebaikan tidak hanya akan memperoleh ganjaran pahala untuk dirinya malah akan memperoleh ganjaran pahala daripada orang lain yang mencontohi tindakan itu. Justeru, seorang Muslim sangat dianjurkan untuk merintis dan mempelopori amalan baik termasuk amalan sunah Rasulullah SAW yang mulai dilupai umat Islam.
Tidak ketinggalan, amalan berupa inovasi baharu dan terkini itu memberi faedah serta maslahah ummah selama mana ia tidak melanggar syariat Islam. Amalan sunah dirintis Rasulullah SAW, sahabat Perlu diinsafi bahawa merintis amalan kebaikan sewajibnya dilandaskan dengan keikhlasan dan mestilah dimulai daripada diri sendiri terlebih dahulu. Rasulullah SAW dan sahabat adalah perintis kepada amalan kebaikan. Pelbagai amalan sunah yang diamalkan oleh umat Islam sekarang ini telah dirintis dan dimulai oleh Rasulullah SAW serta sahabat. Mereka mengamalkan sunah terlebih dulu dan daripada contoh ditunjukkan amalan itu menjadi ikutan.
Saidina Umar al-Khatab telah mempamerkan contoh teladan terbaik sewaktu beliau menjadi khalifah. Diriwayatkan, Saidina Umar mengajak ahli keluarganya hidup dalam keadaan serba sederhana. Pernah Saidina Umar merenggut makanan yang segar daripada tangan mereka, bahkan dari mulut mereka. Bumi seakan bergoyang kencang dan langit bergegar menyimbah bumi ketika Saidina Umar mengetahui seorang ahli keluarganya menuntut keistimewaan.
Apabila melaksanakan sesuatu undang-undang atau melarang suatu perkara, Saidina Umar terlebih dulu mengumpulkan ahli keluarga dan memberi peringatan keras dengan berkata: “Sesungguhnya aku telah melarang orang lain daripada perbuatan begitu dan begini kerana masyarakat melihat kalian seperti burung melihat daging. Jika kalian terjerumus, maka mereka pun akan terjerumus; dan jika kalian takut, mereka pun akan takut. Demi Allah, tidaklah aku mendengar seseorang pun daripada kalian yang melanggar laranganku terhadap masyarakat, melainkan akan kulipatgandakan seksaan baginya kerana hubungan kerabatnya denganku. Oleh itu, sesiapa yang mengkehendaki di antara kalian, bolehlah dia maju dan sesiapa yang mengkehendaki, hendaklah dia mundur.”
Merintis dan mempelopori amalan kebaikan menjadi keutamaan bagi seorang Muslim, bahkan semangat yang dianjurkan Islam adalah semangat untuk menjadi Muslim yang pertama dalam merintis amalan kebaikan.
Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan bagi tiap-tiap umat ada arah (kiblat) yang masing-masing menujunya; oleh itu berlumbalah kamu mengerjakan kebaikan; kerana di mana sahaja kamu berada maka Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun pada Hari Kiamat untuk menerima balasan); sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.” (Surah al-Baqarah, ayat 148)

Posted in Amalan Pilihan | Leave a Comment »

Majlis Munajat Perdana dan Solat Istisqa’ minta hujan Negeri Kelantan pada Jumaat ini

Posted by epondok di April 19, 2016

istisqa'

Posted in Program Terbaru | Leave a Comment »