Antaranya, mampu memperoleh ganjaran besar daripada Allah SWT di hari akhirat kelak.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya,” (Surah Al-Ahzab: 56)

Dengan kelebihan tersebut, ramai para sahabat dan ulama zaman dahulu mengambil inisiatif untuk membukukan bacaan selawat, doa dan puji-pujian kepada baginda SAW.

Usaha itu bukan hanya untuk manfaat diri mereka sahaja tetapi bagi memudahkan umat Islam membaca dan mengingati bacaan tersebut walau berada di mana sahaja. Antara mereka adalah ulama sufi tersohor, Imam al-Jazuli.

Ulama berketurunan Imam Hassan Ali, cucu kepada Nabi Muhammad SAW itu telah mengarang kitab Dala`il al-Khayrat yang dianggap karya seni agung dan digunakan sehingga ke hari ini.

Gubahan selawat ini telah menjadi sebuah kitab doa yang penting di tanah airnya, Maghribi dan tersebar di seluruh pelosok dunia Islam serta dianggap sebagai sumber utama kepada selawat ke atas Rasulullah SAW.

SUMBER INSPIRASI

Tradisi mengalunkan selawat daripada kitab Dala`il al-Khayrat sama ada dalam majlis keraian atau persendirian masih lagi diamalkan sehingga ke hari ini. Malah, kitab hebat itu turut menjadi inspirasi kepada penulis khat, juru hias dan pelukis di bengkel-bengkel Diraja untuk menghasilkan manuskrip doa yang dihias indah serta menonjolkan kepelbagaian rekaan dinasti-dinasti Islam yang tersendiri.

Bagi memastikan legasi kitab tersebut terus subur dan tersebar ke seluruh pelosok muka bumi Allah SWT ini, sebilangan ulama tersohor selepas daripada beliau telah menyalin isi kandungan kitab berkenaan.

Sebagai menyambung usaha tersebut, Muzium Kesenian Islam Malaysia (MKIM), Kuala Lumpur mengambil langkah untuk mempamerkan kepada umum kitab-kitab ulama yang menyalin isi kandungan kitab Dala’il al-Khayrat bermula 11 Mac sehingga 31 Ogos ini.

Menurut Kurator Muda MKIM, Izuan Fadzil Mohammad, pameran tersebut menampilkan 27 buah koleksi kitab sedemikian yang ditulis oleh ulama dari Maghribi, Asia Tenggara, China, Turki, Afrika Utara dan India.

“Himpunan kitab-kitab berkenaan bermula dari abad ke-16 hingga abad ke-19,” katanya ketika ditemui semasa sesi pra tonton media mengenai pameran itu di MKIM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pameran tersebut turut menampilkan sebuah manuskrip berbentuk sehelai kertas panjang yang menghimpunkan semua kandungan kitab Dala`il al-Khayrat dan ia dihasilkan oleh al-Hafiz Mahbub Muhammad dari Loharu, India pada tahun 1879.

“Para pengunjung juga akan dapat mengetahui kandungan Dala’il al-Khayrat dan memahami isi, lapan ahzab (selawat harian) serta elemen-elemen penting yang terdapat di dalam manuskrip selawat ini.

“Pameran ini turut memberi peluang kepada para pengunjung untuk menyaksikan kepelbagaian ciri-ciri Dala’il al-Khayrat dari rantau yang berbeza seperti Afrika Utara, Asia Tengah, Turki, Benua Kecil India, China dan Asia Tenggara,” katanya.

BAHAGIAN MENARIK

Bahagian menarik di dalam manuskrip ini adalah halaman berilustrasi dengan imej raudah, mimbar, Mekah dan Madinah. Pada bahagian permulaan manuskrip itu, Imam Al–Jazuli menulis:

“Ini merupakan penerangan tentang al-Rawdah al-Mubarakah (Taman Indah dan Barakah), tempat di mana Nabi Muhammad SAW dimakamkan bersama-sama dua sahabat baginda iaitu Saidina Abu Bakar r.a. dan Saidina Umar r.a.”

Selain itu, bahagian khas mengenai Nabi Muhammad SAW dan tradisi berselawat ke atas baginda SAW akan membantu para pengunjung terutamanya yang bukan beragama Islam untuk memahami tentang kehidupan baginda.

“Inilah tujuan kenapa Dala’il al-Khayrat menekankan perihal kecintaan mendalam terhadap Nabi Muhammad SAW dan menjadi inspirasi dalam tradisi selawat yang masih di amalkan sehingga ke hari ini,” kata Izuan Fadzil