Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Al-Quran dan ilmu hisab

Posted by epondok di Mac 29, 2016


KONSEP hisab, hasabah dan muhasabah amat berkait rapat dengan al-Quran. Ia mempunyai konotasi dan makna yang unik dan tidak sama dengan konsep matematik yang kita gunakan selama ini. Konsep matematik mengajar manusia bagaimana angka itu dimanipulasikan untuk keperluan lapangan kerja dan juga penyelidikan di samping memberi kemahiran menghitung dan mengira.

Hisab, hasabah dan muhasabah mengambil dimensi menegak (hablumminallah) dan dimensi merentas (hablumminnas). Paksi ini menjadi asas kepada epistemologi (ilmu) Islam yang menemukan titik keseimbangan hubungan dengan ALLAH dan hubungan dengan manusia/sistem. Paksi ini menyebabkan ilmu hisab jauh lebih holistik maksud dan natijahnya.

Tasawwur Islami (Islamic world-view) terbina di atas paksi hubungan menegak (vertical relation) dan hubungan merentas (horizontal relation) dan menghubungkan pandangan semesta dengan ALLAH dan manusia/sistem.

Asas neutraliti (berkecuali) dari nilai menegak tidak terdapat. Nilai Qurani sentiasa menjadi pedoman bila melakukan penghisaban, hasabah dan muhasabah, Pertimbangan kira-mengira selamanya terhubung dengan pertimbangan terhadap ALLAH.

Melakukan penghisaban terhadap diri umpamanya sering dirujuk kepada ALLAH. Manusia mempunyai keterbatasan dalam memikir dan melakukan sesuatu. Pertimbangan bahawa ALLAH Maha Mengetahui akan sesuatu menyebabkan kecermatan terjadi supaya bila kesilapan yang terjadi kita kembali kepada ALLAH dan mohon keampunan dan petunjuk daripada-Nya.

Bila kita melaksanakan amanah di pejabat, kita melakukan yang terbaik dan amanah terhadap butiran yang kita hasilkan supaya ia tepat dan seimbang lantaran penghisaban di depan ALLAH tetap menjadi pertimbangan. Ini menyebabkan kita berada dalam keadaan jujur, tidak melakukan penyelewengan kerana ALLAH Maha Tahu apa yang kita lakukan. Jika ini terjadi ketelusan dan keadilan akan terjadi. Dan organisasi yang kita dukung berada dalam keadaan baik.

Konsep hisab, hasabah dan muhasabah merintis asas ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti. Ketepatan memang menjadi matlamat dalam pengurusan sesuatu. Dengan ketepatan ia mampu menjawab persoalan yang berbangkit kerana ketepatan dalam menguruskan sesuatu adalah suatu amanah.

Hal yang sama terhubung dengan keseimbangan dalam mengatur sesuatu supaya sifatnya saling menyempurnakan dan merintis jalan keadilan. Kehidupan manusia sering didepani dengan upaya keseimbangan supaya sesuatu itu menjadi saksama. Jiwa hasabah sentiasa memandu manusia dalam melakukan sesuatu pertimbangan ALLAH sentiasa dijadikan pedoman.

Apa lagi dengan konsep muhasabah menjadi penghubung langsung antara manusia dengan ALLAH menginsafi kekurangan dan kelemahan yang ada dan mohon hidayah dan keampunan supaya kesilapan dapat diperbetulkan dan faedahnya kepada orang lain bertambah.

Ada beza yang nyata antara falsafah matematik yang sifatnya mekanistik dengan konsep hisab, hasabah dan muhasabah yang sifatnya holistik dan menghubungkan manusia dengan Pencipta.

Pertimbangan ini penting disuburkan ke dalam diri insan kerana asas matematikal semata-mata tidak dapat menghubungkan kita dengan ALLAH sedangkan asas hisab, hasabah dan muhasabah sentiasa menjadikan pertimbangan ALLAH sebagai sesuatu yang paling utama.

Harta dalam alam ini adalah sebagai suatu amanah. Bila ia disalahgunakan akibat ketidaktepatan menggunakannya, hilang keseimbangan dan akauntabiliti lantaran tanggungjawab kita hanya kepada manusia dan sistem dan menyebabkan ketidakadilan terjadi.

Tetapi sekiranya amanah ini terhubung dengan ALLAH dan memahami maksud ketepatan, keseimbangan dan akauntabiliti yang terhubung dengan ALLAH, amanah dari ALLAH akan diuruskan sebaik mungkin kerana ketidaktepatan, ketidakseimbangan dan tanpa akauntabiliti akan membawa kepada kemudaratan.

Justeru konsep hisab, hasaba dan muhasabah harus dijadikan asas pengiraan dan penghitungan kerana ia mendukung dimensi menegak dengan ALLAH sedangkan matematik secara merentasnya menghubungkan diri dengan manusia dan sistem semata-mata. Hubungan manusia dengan ALLAH menjadi asas ubudiyyah yang tinggi dan memberi pedoman yang telus dan tulus supaya kira-kira dan penghitungan dilakukan dalam kerangka dilakukan kerana ALLAH dan hikmahnya untuk manusia.

*  Sidek Baba,

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: