Kemudiannya dalam kelas tafsir, dikupas pula mengenai ayat al-Quran pertama diwahyukan iaitu Iqra’ atau Bacalah yang bermaksud Islam menekankan kepada kepentingan menuntut ilmu – hakikatnya, umat Islam serba ketinggalan dalam segenap segi.

Selepas itu, antara hadis yang lazimnya disebut oleh kebanyakan daripada kita sejak kecil sehingga dewasa ialah “Kebersihan itu separuh daripada iman,” – cuba-cubalah jenguk di kebanyakan tandas masjid atau surau, daripada jauh semerbak bau hancing dan tahi terapung dalam mangkuk tandas, umat Islam juga menjuarai carta pengotor tegar yang dengan sewenang-wenangnya membuang sampah ke dalam sungai dan melalui cermin tingkap kereta.

Para asatizah juga selalu menyebut tentang hadis bahawa tangan di atas lebih mulia daripada tangan di bawah – masalahnya umat Islam masih selesa untuk sentiasa terus berada “di bawah” dan kekal meminta-minta.

Apa silapnya, adakah kerana ajaran Islam itu mempunyai kecacatan dan kelemahan? Jawapannya ialah tidak benar sama sekali. Islam itu amat syumul yang mencakupi setiap sesuatu bermula seawal janin di dalam rahim hingga ke liang lahad dan seterusnya membawa kepada akhirat.

Jawapannya amat mudah iaitu kerana tidak mengikuti dan mematuhi ‘manual’ yang dibekalkan. Sama seperti memiliki kereta termahal di dunia, contohnya seperti jentera Koenigsegg CCXR Trevita, pemiliknya boleh sahaja memandunya dengan sesuka hati, tetapi perlu diingatkan jika berterusan melenjannya tanpa mengikuti manual dibekalkan, adakah ia mampu bertahan lama? Silap-silap dalam masa dua tiga hari sahaja jentera canggih itu boleh musnah jahanam.

Begitulah juga dengan manusia sekiranya tidak mematuhi manual iaitu al-Quran dan Sunnah yang dibekalkan. Manual itu boleh juga diumpamakan seperti brek – jika kereta yang dipandu tiada brek pasti akan terjun ke dalam gaung, begitu juga dengan manusia yang breknya tidak ‘makan’.

Sebenarnya keengganan mematuhi manual itu berpunca daripada wabak penyakit berbahaya yang kini begitu teruk melanda umat Islam, iaitu penyakit wahan!. Apa itu wahan?

Rasulullah SAW telah mengingatkan tentangnya sejak lebih 1,400 tahun lalu. Sabda baginda seperti diriwayatkan oleh Abu Daud : “Hampir pasti kalian akan dikerumuni seperti sekumpulan pemangsa merebut makanan’’. Maka seseorang bertanya: apakah kerana sedikitnya jumlah kita? Sabda nabi: bahkan kalian ramai namun kalian seperti buih yang terapung dan Allah telah mencabut rasa gentar daripada dada musuh terhadap kalian dan Allah telah menanamkan dalam hati kalian penyakit wahan. Seseorang bertanya: Ya Rasulullah apakah penyakit wahan itu? Nabi bersabda: cinta dunia dan benci kepada kematian,”

Apa yang menjadi masalah, umat Islam lazimnya enggan mengakui kelemahan diri dan memberikan satu alasan popular yang selalu diulang-ulang bahawa punca utama masalah ini ialah kerana kelicikan pencatur iaitu – Yahudi. Mungkin ada betulnya tetapi ia juga bertitik tolak daripada perangai umat Islam sendiri yang enggan berubah.

Jika kita sendiri enggan ‘bergerak’ maka semestinya orang lain pasti akan menggerakkan kita. Martabat Yahudi naik kerana mereka amat mengutamakan ilmu pengetahuan, iaitu memaksimumkan apa yang tersirat daripada kalimah suci pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah.

Di negara ini khususnya, umat Islam terlalu sibuk dengan pelbagai program hiburan dan segelintir pula amat bersungguh-sungguh apabila membicarakan perkara ranting hinggakan sesama asatizah pun sanggup melabelkan kumpulan tidak sehaluan dengan pelbagai tagline buruk yang tidak sanggup didengari.

Sedangkan, setiap hari saudara seagama di Palestin, Syria dan beberapa negara lain terus disembelih, malah bagi yang keluar rumah pada waktu pagi tidak semestinya dapat kembali ke rumah pada petang dalam keadaan bernyawa. Cukup-cukuplah umat Islam membiarkan diri untuk terus dihina, ubatilah penyakit wahan itu.