Apabila sesebuah negara maju, institusi keluarga mungkin menjadi mangsa pertama di mana kanak-kanak tidak mendapat perhatian dan bimbingan secukupnya daripada ibu bapa mereka yang sibuk dengan kerjaya masing-masing. Ini boleh menimbulkan pelbagai gejala sosial dalam kalangan remaja.

Tidak ada nilai kemajuan ekonomi yang boleh memperkukuhkan fabrik sosial kita kecuali kita berjaya meningkatkan modal sosial di negara ini. Itulah sebabnya penting bagi Malaysia untuk mengimbangi pertumbuhan ekonomi yang pesat dengan nilai-nilai komuniti, moral dan etika. Nilai-nilai tersebut adalah asas kepada masyarakat bertamadun.

Penerapan nilai-nilai moral dan murni dalam kalangan rakyat Malaysia di tengah arus pemodenan yang pesat serta perubahan gaya hidup adalah cabaran utama di masa kini. Satu usaha kolektif daripada segenap lapisan masyarakat adalah diperlukan untuk mencapai matlamat ini.

Melihat kepada tingkah laku dan sikap sebilangan besar masyarakat sekarang, saya merasa ragu tentang keberkesanan kempen kita untuk menggalakkan budi bahasa dalam kalangan rakyat dan menjadikannya sebahagian daripada cara hidup. Walaupun kita mencapai kemajuan teknologi, kita berhadapan dengan isu kemerosotan moral dalam kehidupan seharian.

Kuala Lumpur berada di tangga ke-34 daripada senarai 36 ‘Bandar yang paling kurang sopan’ di dunia, yang disediakan oleh majalah Readers Digest lebih daripada tiga tahun lalu. Walaupun kita tidak pasti asas yang digunakan untuk senarai tersebut, hakikatnya masih terdapat ramai rakyat yang bersikap kurang sopan yang membuatkan Malaysia mendapat respon yang negatif.

Tingkah laku negatif seperti pembuli jalan raya, melanggar peraturan lalu lintas, membuang sampah me­rata-rata, tidak menghormati warga emas dan lain-lain membuktikan dengan jelas bahawa kita masih tidak mempunyai budi bahasa serta kesopanan yang sewajarnya.

Masanya telah tiba bagi semua rakyat Malaysia untuk bertanya sama ada apa yang mereka lakukan adalah cukup untuk memastikan kejayaan kempen kebangsaan dalam menggalakkan budi bahasa dan nilai-nilai mulia dalam kalangan masyarakat kita.

Berdasarkan pemerhatian saya, budi bahasa, kesopanan, kesabaran, rendah hati, bertoleransi dan saling menghormati masih belum menjadi sebahagian daripada cara hidup kita.

Banyak lagi yang perlu dilakukan untuk menerapkan nilai-nilai tersebut dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya generasi muda hari ini.

Penekanan terhadap kempen memupuk budi bahasa dan nilai murni adalah sangat penting memandangkan kemerosotan nilai-nilai tersebut, terutamanya dalam kalangan gene­rasi muda Malaysia. Ramai pelajar sekolah masa kini tidak mengucapkan ‘terima kasih’ apabila mereka diberi ganjaran sebagai pengiktirafan kepada pencapaian mereka. Ramai yang seolah-olah tidak mengamalkan budi bahasa walaupun mempelajarinya di sekolah.

Sebagai contoh, saya telah beberapa kali menyampaikan sijil atau anugerah kepada pelajar sebagai pengiktirafan kepada pencapaian akademik mereka, kecuali beberapa orang pelajar, kebanyakan mereka hanya beredar tanpa menyatakan terima kasih. Mereka seolah-olah mengambil mudah perkara ini.

Sudah menjadi kebiasaan di negara kira untuk melihat pemandu kenderaan tidak bertimbang rasa, kenderaan berada di petak kuning di jalan raya, meletakkan kenderaan di tempat yang dikhaskan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) atau berhampiran dengan pili bomba, membuang sampah di merata-rata tempat, merosakkan harta benda awam, memotong barisan dan tidak mengucapkan ‘maaf’ walaupun membuat kesilapan.

Tingkah laku kurang sopan lain termasuk bercakap kasar kepada pelanggan, merokok di kawasan larangan merokok, meludah di khalayak ramai dan tidak memberi tempat duduk kepada warga emas, OKU dan wanita mengandung semasa berada dalam pengangkutan awam. Banyak lagi contoh jika hendak disenaraikan.

Dengan integrasi teknologi digital dalam kehidupan seharian, ramai orang menjadi terlalu asyik dengan diri sendiri hinggakan tidak menghiraukan orang di sekeliling. Ahli keluarga yang asyik membelek tele­fon bimbit masing-masing semasa makan bersama keluarga kini menjadi lumrah di restoran dan rumah. Menghabiskan masa berkualiti de­ngan keluarga telah diganti dengan sentiasa memeriksa peranti mudah alih. Ini adalah sikap kurang sopan.

Media sosial menggalakkan tingkah laku yang baik seperti merapatkan hubungan kekeluargaan dan persahabatan serta menggalakkan sikap murah hati apabila pengguna media sosial menyambut baik kempen mengutip derma. Namun, budi bahasa dan sikap menghormati orang lain dilupakan apabila sesetengah rakyat menggunakan komputer dan menyebarkan kenya­taan berniat jahat, menghina, memfitnah dan mencela melalui media sosial.

Sudah tiba masanya bagi semua rakyat Malaysia untuk menangani isu ini dan bertanya kepada diri sendiri sejauh mana kita berbudi bahasa dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Menjalankan kempen untuk menggalakkan budi bahasa dan nilai-nilai murni adalah penting tetapi apa yang lebih mustahak adalah mempraktikkan amalan tersebut dalam kehidupan harian. Kepimpinan melalui teladan adalah penting untuk menjayakan kempen. Dalam hal ini, semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan perlu memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan mereka.

Kejayaan kempen berbudi bahasa mesti bermula dari peringkat sekolah, di mana budi bahasa dan nilai-nilai murni diajar kepada murid sekolah. Dalam hal ini, Pendidikan Moral di sekolah perlu diperkukuhkan untuk menekankan pentingnya mempelajari dan mengamalkan 36 nilai murni di sekolah. Adalah tidak wajar jika murid sekolah menghafal 36 nilai murni semata-mata untuk lulus subjek tersebut. Apa yang kita mahu capai adalah pengamalan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.

Saya percaya bahawa memupuk akhlak yang baik, nilai-nilai moral dan murni harus bermula dari usia muda seperti di rumah dan di tadika dan seterusnya diperkukuhkan semasa di sekolah rendah. Ini kerana apabila masuk ke sekolah mene­ngah, nilai-nilai yang dipelajari sebelum itu sudah lekat dalam fikiran mereka dan sukar bagi mereka untuk berubah.

Matlamat Wawasan 2020 bukan sahaja untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju sepenuhnya dari segi ekonomi tetapi juga untuk memastikan ia dibangunkan sepenuhnya dari semua dimensi, terutamanya dari aspek moral, etika dan penyayang.