Pusat Pembangunan Pondok Berhad

Pondok Studies Development Centre

Hati penentu baik, buruk kehidupan

Posted by epondok di Mac 24, 2016


Oleh Nik Hasnah Ismail

Solat, zikir bantu Mukmin membersihkan hati dan sentiasa bersangka baik.

Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang beriman! Jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya (oleh itu, patuhilah larangan itu) dan bertakwalah kamu kepada Allah, sesungguhnya Allah penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Hujurat, ayat 12)

Umpama sebiji epal yang diperah sudah pasti mengeluarkan pati jus epal atau sebiji oren yang diperah akan menghasilkan jus oren. Begitu juga perumpamaan hati manusia, hati yang bersih akan mengeluarkan kata-kata yang baik dan menyenangkan, manakala hati yang tidak baik dengan pelbagai prasangka serta pandangan negatif akan diterbitkan daripada bibir orang yang hatinya penuh prasangka buruk.

Menerusi program Islam Itu Indah yang disiarkan di IKIMfm setiap Rabu, jam 10.15 pagi, Ustaz Pahrol Mohd Juoi berkata, selain sedar pentingnya mempunyai sangkaan baik yang membawa Mukmin menghuni syurga Allah SWT, mereka juga perlu tahu kesan sangkaan buruk adalah di neraka.

Miliki nilai hikmah tinggi

Seorang yang bersangka baik akan memiliki nilai hikmah tinggi dalam dirinya sementara orang yang bersangka buruk pula mempunyai hati kecil dan tidak ada kejujuran dalam setiap kata-kata serta perlakuannya. Bersangka buruk kepada manusia dan Allah SWT kerana hati tidak bersih. Hati menjadi kotor kerana tidak dibersihkan melalui solat, tidak ditenangkan dengan zikir, tidak disucikan oleh puasa bahkan tidak dekat dengan amal ibadah yang akan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Hakikatnya, dalam setiap apa yang terjadi di dunia ini adalah mengikut aturan dan kehendak Allah SWT. Bagi manusia yang bersangka baik dengan Allah SWT, mereka menerima ujian dan kesulitan dengan sabar serta solat. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sungguh, Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Namun, bagi mereka bersangka buruk dengan janji Allah SWT, setiap ujian dan ketentuan-Nya disambut dengan hati yang sempit, fikiran serabut, kata nista, bahkan tidak reda takdir yang disusun oleh Allah SWT kepadanya. Aturan cukup sempurna Sedangkan Allah SWT adalah Tuhan selayaknya menentukan perjalanan hidup manusia yang lebih baik kerana Allah Yang Maha Besar lebih tahu apa yang sebaiknya buat setiap hamba-Nya. Allah SWT menyusun hidup manusia dengan aturan cukup sempurna sebagaimana dicipta kedudukan langit dan bumi. Putaran perjalanan bumi dan matahari, susunan penciptaan alam ini menurut aturan yang menjadikan segala-galanya sempurna dan saling memberi kebaikan antara satu sama lain. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kepada Tuhanmulah kesudahannya segala sesuatu, Dan sesungguhnya Dialah yang menjadikan orang tertawa dan menangis. Dan sesungguhnya Dialah yang mematikan dan menghidupkan.” (Surah an-Najm, ayat 42-44)

Manusia yang hatinya tidak bersih sering melihat setiap berlaku yang tidak kena dengan kehendaknya sebagai sesuatu yang menyusahkan, tidak baik dan tidak elok. Sedangkan, jika hatinya bersih, dia akan melihat perkara menyulitkan sebagai sesuatu yang paling baik menurut takdir Allah SWT. Justeru, jika seorang itu selalu berusaha membersihkan hatinya daripada sifat mazmumah nescaya akan selamat daripada kepanasan api neraka. Tetapi jika dibiarkan hati jauh daripada suruhan Allah SWT, menuruti bisikan syaitan yang sentiasa menguasai nafsu menyebabkan dirinya akan tersesat ke jalan neraka. Jauhi sifat mazmumah Seorang Mukmin hendaklah sentiasa menjauhkan diri daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki, marah, suka mengumpat, fitnah dan sebagainya yang akan menjurus mereka melakukan perkara akan merosakkan hati. Sifat dengki datang daripada perasaan iri hati melihat hidup orang lain lebih senang, kaya raya, berharta, mewah dan tiada sebarang kesusahan, sedangkan nikmat kepada manusia itu juga satu bentuk ujian Allah SWT kepada hamba-Nya.

Begitu juga rasa cemburu terhadap kejayaan seseorang yang dapat kenaikan pangkat sedangkan kedudukan dan pangkat bukan anugerah, tetapi amanah perlu dilaksanakan. Malah, jika amanah itu tidak dilaksanakan seseorang itu akan menerima hukuman dan pembalasan Allah SWT. Oleh itu, jangan hanya meletakkan material sahaja sebagai sebab musabab untuk menjadi lebih baik dan jangan sesekali mengukur kebaikan serta kebahagiaan pada saat mendapat kesenangan sahaja. Oleh itu ubahlah pandangan mata hati dan berdoalah mendapat pengakhiran yang baik.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: