POLIS memeriksa mayat bayi perempuan baru lahir yang dipercayai dicampak dari tingkat 18 Blok C, Flat Danau Kota dalam kejadian 29 Februari lalu.

Baru-baru ini rakyat Malaysia sekali lagi digemparkan dengan berita pembunuhan anak. Kali ini dengan cara yang lebih kejam iaitu melepaskan anak jatuh dari tingkat yang tinggi. Siapa sangka orang yang melakukan perbuatan kejam itu ibunya sendiri.

Bukan sahaja dianggap tidak berperikemanusiaan malah seakan-akan membakar nilai kasih sayang seorang yang bergelar ibu.

Di manakah kisah-kisah murni tentang pengorbanan ibu untuk anaknya yang selalu didendangkan ketika kita kecil dahulu? Atau sudah menjadi retorik bagi generasi kini? Generasi yang kononnya lebih pintar dalam mengira, lebih cekap dalam berhujah, atau lebih terbuka dalam berfikir.

Malangnya dalam suasana manusia yang dikatakan lebih berilmu mereka tidak pula menggunakannya sebagai panduan hidup.

Sekiranya kita tidak mahu kotoran itu terus terpalit kepada generasi anak-anak kita, tidak boleh tidak kita mesti segera mencari penyelesaian yang konkrit bagi memadam sejarah hitam ini atau paling tidak menjernihkan sedikit keadaan yang telah menimpa kita.

Pertama, kita mesti kembali kepada ajaran Islam. Walaupun saranan itu agak klise, hakikatnya itulah hukum alam yang tidak dapat dinafikan. Cubalah mengingkarinya nescaya kita akan kecewa pada akhirnya.

Sesungguhnya kehidupan yang baik telah dijanjikan kepada golongan yang sentiasa menjadikan Islam sebagai panduan dalam kehidupan.

Memetik al-Quran surah an-Nahl ayat ke-97 yang bermaksud: “Barang siapa mengerjakan amal soleh, baik lelaki mahupun perempuan dalam keadaan beriman, maka pasti akan Kami berikan kepadanya kehidupan yang baik dan akan Kami beri balasan dengan pahala yang lebih baik daripada apa yang telah mereka kerjakan.”

Jelas melalui ayat di atas, Islam adalah segala-galanya. Adakah kita masih mahu menolak bahawa tanpa ajaran Islam kita boleh menemui kebahagiaan? Atau masihkah kita percaya bahawa kita dapat hidup aman bahagia dengan kekayaan harta dan hiburan semata-mata?

Oleh itu jadikanlah al-Quran sebagai pedoman hidup dan pasti kita akan bertemu ketenangan yang dicari.

Kedua, perlu perkukuhkan lagi sistem sokongan jiran tetangga yang sentiasa mengambil tahu tentang jirannya yang lain. Begitu juga usaha mengukuhkan lagi sistem kekeluargaan terutama bagi memelihara kestabilan sosial.

Persoalannya, bagaimana kita mahu mendidik keluarga menjadi keluarga yang berkualiti?

Berbalik semula kepada jawapan pertama tadi iaitu kembali kepada ajaran Islam. Kedua-duanya saling berkait rapat demi memastikan keharmonian dan keamanan dalam kehidupan bermasyarakat.