“Al-Mughirah bin Syu’bah r.a. menceritakan telah berlaku gerhana matahari pada hari kewafatan bayi Rasulullah SAW yang bernama Ibrahim. Orang ramai berbicara mengatakan matahari sedang gerhana kerana kewafatan Ibrahim. (Menafikan kepercayaan ini) Rasulullah SAW lantas bersabda: “Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian atau kelahiran seseorang. (Tetapi kedua-duanya adalah tanda kebesaran Allah). Apabila kamu semua melihatnya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat,” – Sahih Bukhari.

Inilah kehebatan Rasulullah SAW yang meletakkan segala perkara di bawah lembayung Tauhid. Atas semangat ini, Islam mengiktiraf fenomena alam sebagai sains yang dikawal selia oleh Allah yang berada di sebalik semua keajaiban alam. Semakin banyak mengkaji alam, semakin dalam keimanan dan keyakinan seorang Muslim kepada Allah. Prinsip inilah yang wajib menjadi “roh” tamadun Islam.

MATAHARI BERSUJUD?

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW menyatakan setiap hari selepas terbenam menjelang tibanya malam, sang matahari akan bersujud kepada Allah:

“Pada suatu hari Rasulullah SAW bertanya kepada para sahabat (ketika matahari mulai terbenam): “Tahukah kamu semua, ke manakah matahari itu pergi?” Para sahabat menjawab: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda menyambung: “Ia beredar sampai ke perhentiannya di bawah ‘Arasy, lalu ia sujud. Ia berterusan sujud sampai datang perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula! Ia pun pergi dan terbit dari tempat ia terbit (di awal pagi). Kemudian ia beredar lagi hingga sampai pula di tempatnya di bawah ‘Arasy, lalu ia sujud sampai datang pula perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula. Ia pun pergi dan terbit dari tempat ia terbit (di awal pagi). Kemudian ia beredar lagi, tidak pernah mungkir sedikit pun hingga ia sampai pula kembali di tempatnya di bawah ‘Arasy. Tiba-tiba ia mendapat perintah: Bangkitlah, dan muncullah di tempat engkau biasa tenggelam. Maka terbitlah ia di Barat.” (setelah itu kiamat pun berlaku),” – Sahih Muslim.

Matahari sujud kepada Allah setiap malam? Apa yang nyata kepada kita, matahari tetap wujud pada paksinya ketika malam menjelma. Sebelah bahagian bumi mengalami malam kerana permukaannya tidak dijamah oleh cahaya matahari. Jika benar matahari meninggalkan paksinya dan bersujud kepada Allah, pastinya keseluruhan bumi menjadi gelap.

Hadis ini sukar difahami, oleh itu kita perlu merujuk kepada huraian para ulama hadis bagi memahaminya secara tepat. Maksud sujud matahari dalam hadis ini bukan sujud hakiki seperti sujud manusia menyungkurkan dahinya ke lantai, tetapi merujuk kepada kepatuhannya yang mutlak kepada sistem aturan Allah di alam ini (Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari).

Kepatuhan matahari dalam kiasan “sujud dan tasbih” kepada sistem alam diulang sebut dalam banyak ayat, antaranya:

“Tidakkah engkau mengetahui bahawa segala yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud (patuh) kepada Allah dan (antaranya termasuklah) matahari, bulan, bintang, gunung-ganang, pokok kayu, binatang, serta sebahagian besar daripada manusia? Dan banyak pula (antara manusia) yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa yang dirancangkanNya,” (al-Hajj [22:18]).

Akhirnya, jika anda kagum dengan matahari yang begitu banyak fungsinya kepada alam, sewajibnya anda mesti mengagumi dan menyembah Penciptanya.

“Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah malam dan siang, serta matahari dan bulan. Janganlah kamu sujud kepada matahari dan janganlah pula sujud kepada bulan, sebaliknya hendaklah kamu sujud kepada Allah yang menciptanya, kalau betullah kamu hanya beribadat kepada Allah,” (Fussilat [41:37]).

Jika makhluk sehebat matahari, langit, bumi, bulan, gunung dan sebagainya sanggup tunduk kepada Allah tanpa ingkar, pastinya kita yang serba kerdil lagi hina ini lebih patut merembas dahi kita ke lantai kepada Allah. Semoga cara ini dapat membantu kita mengenal diri sebagai hamba dan mencapai kelazatan sujud dan tasbih kepada Allah.